Skip to main content

Iklan

Iklan

Nadi Kampus

ePustaka: '3 Kertas, 3 Krayon, 3 Pensel Warna' usul pendekatan terbaik membesarkan anak

Penyataan bahawa membesarkan anak itu merupakan suatu amanah dan tanggungjawab bersama yang dipikul oleh kedua-dua ibu bapa bukan sesuatu yang dapat dipertikaikan.

Anggaran Waktu Membaca:

BERITAmediacorp: Penyataan bahawa membesarkan anak itu merupakan suatu amanah dan tanggungjawab bersama yang dipikul oleh kedua-dua ibu bapa bukan sesuatu yang dapat dipertikaikan.

Yang sering menjadi persoalan ialah pendekatan yang diambil.

Masalahnya, ramai dalam kalangan ibu bapa yang masih dibelenggu dengan dua gaya yang bertentangan – sama ada mereka mengamalkan gaya keibubapaan yang bersifat autoritarian ataupun yang bersifat permisif.

Namun tidak kurang juga golongan yang telah mengambil jalan tengah, iaitu gaya keibubapaan yang bersifat autoritatif.

Ditulis oleh penulis blog Adlil Rajiah, "3 Kertas, 3 Krayon, 3 Pensel Warna" membicarakan isu-isu berkaitan keibubapaan berdasarkan pengalaman penulis membesarkan anak beliau dengan cara asuhan yang lebih bersifat autoritatif.

Dibahagikan kepada tiga bahagian utama, iaitu tip keibubapaan, tip pakar psikiatri dan idea aktiviti kanak-kanak, ia membincangkan beberapa aspek dan permasalahan keibubapaan yang sering menjadi bahan bicara golongan ibu bapa, baik daripada golongan yang berpengalaman mahupun sebaliknya.

Antaranya ialah cara melatih anak menuruti peraturan tanpa menggunakan kekerasan, cara mengawal anak daripada ketagih peranti digital, kepentingan bermain, serta cara membantu anak memahami dan mengawal perasaan.

Kekuatan buku ini terletak pada pendekatannya yang berpusat kepada kanak-kanak (child-centric) di mana perasaan serta pemikiran anak diberikan keutamaan dalam setiap permasalahan.

Beberapa nasihat buat para ibu atau bapa tunggal, serta resipi makanan untuk kanak-kanak turut disajikan buat santapan pembaca.

Namun, terdapat beberapa kelemahan yang dikenal pasti tentang buku ini.

Pertama, penulis sering menggunakan kaedah motivasi ekstrinsik demi memastikan anak menyelesaikan tugasan yang diberikan. Kaedah sedemikian telah dikritik oleh beberapa pakar keibubapaan seperti Alfie Kohn yang telah menunjukkan kesan jangka panjang terhadap kanak-kanak yang sentiasa bergantung kepada ganjaran luaran seperti diberikan hadiah pelekat dan sebagainya.

Kedua, penulis tidak menyertakan sebarang bahan rujukan, meskipun berulang kali merujuk kepada kajian atau makalah untuk memperkukuhkan hujah yang ingin disampaikan.

Akhir kata, buku ini baik dimanfaatkan terutama sekali oleh para ibu bapa yang sedang mencari jawapan bagi persoalan-persoalan berkaitan keibubapaan, demi memperolehi pencerahan serta mempertingkatkan pengetahuan tentang proses membangunkan generasi masa depan.

Tajuk Buku: 3 Kertas, 3 Krayon, 3 Pensel Warna
Penulis/Editor: Adlil Rajiah
Penerbit: Selangor: Must Read, 2021
Nombor Panggilan: Malay 649.1 ADL
Pengulas: Muhammed Shahril Shaik Abdullah, Pustakawan, NLB

Sumber : BERITA Mediacorp/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan