Skip to main content

Nadi Kampus

ePustaka: 15 Perangkap Positiviti Toksik

Anggaran Waktu Membaca:
ePustaka: 15 Perangkap Positiviti Toksik

(Gambar: ePustaka)

Diterbitkan : 28 Mar 2026 02:02PM Dikemas Kini : 28 Mar 2026 02:03PM
SINGAPURA: Pernahkah anda meluahkan masalah kepada seseorang tetapi dibalas dengan nasihat seperti “relaks” dan “fikir positif”?

Bukan kelegaan yang dirasakan.

Sebaliknya, anda berasa tidak difahami dan emosi sendiri seakan-akan dinafikan.

Pengalaman ini bukan sesuatu yang asing - ramai yang terperangkap dalam tekanan untuk sentiasa kelihatan positif walaupun terpaksa mengabaikan kesihatan mental sendiri.

Di sinilah buku “15 Perangkap Positiviti Toksik” membuka mata pembaca menerusi kupasan erti sebenar “positiviti toksik” dan mengapa ia boleh menjadi lebih berbahaya daripada yang kita sangka.

Buku ini menelusuri bahaya di sebalik konsep “positiviti toksik” dengan membezakan secara jelas antara sikap positif yang sihat dan yang memudaratkan.

Penulis menghuraikan 15 kesan negatif utama, antaranya bagaimana respons yang terlalu “positif” sebenarnya menidakkan emosi dan keperluan seseorang, selain hanya menjadi penyelesaian sementara yang gagal menangani punca sebenar sesuatu masalah.

Lebih membimbangkan, ia juga menghalang kita daripada benar-benar memahami emosi sendiri dan membina daya tahan menghadapi cabaran kehidupan.

Menariknya, buku ini bukan sekadar mengkritik, tetapi turut menawarkan strategi praktikal untuk mengurus emosi dengan lebih sihat serta panduan menjadi lebih berempati - baik terhadap diri sendiri mahupun orang lain.

Salah satu kekuatan utama buku ini terletak pada pendekatan praktikal yang diketengahkan oleh penulis. Beliau bukan sahaja menjelaskan konsep, malah menyediakan strategi dan latihan minda yang boleh diamalkan untuk membina daya tahan diri serta “melatih” otak - khususnya amigdala - agar kekal seimbang.

Antara cadangan lain yang dikongsikan termasuk membina persepsi yang realistik, seperti menyenaraikan risiko sesuatu keputusan, menyediakan pelan sandaran, serta memberikan ruang masa yang mencukupi untuk memproses setiap langkah tanpa tergesa-gesa menafikan emosi.

Selain itu, kandungannya disusun dalam bentuk ringkas dan mudah dihadam, dengan bab-bab pendek yang disertai ilustrasi ringkas untuk mengukuhkan pemahaman pembaca.

Walaupun berpaksikan kajian daripada sumber yang boleh dipercayai - selari dengan latar belakang penulis sebagai ahli psikologi perkembangan - gaya penulisannya kekal mesra pembaca, jelas dan menarik, menjadikan buku ini sesuai dinikmati oleh khalayak umum.

Secara keseluruhannya, buku ini sangat sesuai untuk sesiapa sahaja yang ingin memperkukuhkan daya ketahanan diri serta menjadi seorang teman yang lebih dipercayai dan berempati kepada insan tersayang.

Dengan gaya penulisan yang ringkas dan padat, kandungan buku ini mudah dihadam sekali gus membolehkan pembaca memperoleh ilmu berharga dalam masa yang singkat.

Dalam dunia yang serba pantas dan sarat dengan tekanan untuk sentiasa kelihatan “berjaya” dan “sempurna”, buku ini mengingatkan kita untuk kekal jujur terhadap diri sendiri, lebih peka terhadap emosi dan keperluan diri serta orang lain, dan seterusnya mengamalkan cara yang sihat untuk menghadapi cabaran kehidupan.

Lungsuri laman katalog https://catalogue.nlb.gov.sg untuk mendapatkan maklumat lanjut bagi meminjam buku ini di perpustakaan NLB.

Tajuk: 15 Perangkap Positiviti Toksik
Penulis: Nurhafizah Ramli
Nombor Panggilan: 152.4 NUR
Penerbit: Kajang, Selangor: Aras Mega, 2025.
Pengulas: Nur Fitri Muhammad Syafran, Pustakawan Kanan, NLB
 
Sumber : BERITA Mediacorp/AY/ay
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita