Skip to main content

Iklan

Iklan

Nadi Kampus

ePustaka: 12 cerpen 'Setangkai Anggerik Untuk Cikgu' pupuk nilai positif pada remaja

Anggaran Waktu Membaca:

BERITAmediacorp: Bulan Ramadan molek dimanfaatkan para remaja untuk bermuhasabah diri.

Salah satu cara untuk mencetuskan usaha ini adalah menerusi kegiatan membaca.

Kumpulan 12 cerpen karya Nazariah Nasir berjudul Setangkai Anggerik Untuk Cikgu sesuai dihayati untuk tujuan ini, apatah lagi untuk golongan kanak-kanak dan awal remaja yang berusia antara 12 hingga 14 tahun.

Selain menghidangkan kisah pelbagai tema, ia juga senang dibaca kerana teknik pengkaryaan dan penggunaan bahasanya sangat mudah.

Antara cerpen yang menarik di dalam buku ini ialah “Titipan di Hujung Ramadan”. Kisah tentang Zarul yang amat marah dan benci dengan adik angkatnya, Diana, sehingga sering memperkecilkan kemampuannya.

Zarul juga menyelar kedua-dua ibu bapanya tanpa rasa hormat kerana mengambil Diana tinggal serumah dengan mereka.

Kebiadaban Zarul berakhir dengan penyesalan apabila rahsia dirinya sendiri didedahkan oleh bapanya – Zarul juga sebenarnya adalah anak angkat dalam keluarganya!

Niat tidak mewajarkan perbuatan seumpama itu.

Begitulah antara inti pati cerpen Setangkai Anggerik untuk Cikgu yang menjadi judul kumpulan cerpen ini.

Ikram seorang pelajar yang menghidapi Sindrom Kurang Daya Tumpuan dan Hiperaktif (ADHD) sering menimbulkan masalah kepada para pendidik dan teman-temannya di sekolah.

Mujurlah, seorang daripada gurunya, Cikgu Nabilah, tabah mendidiknya dengan penuh kasih sayang dan keyakinan.

Sebagai tanda penghargaan, Ikram telah menghadiahkan Cikgu Nabilah setangkai anggerik. Malangnya, anggerik itu diperolehi dengan mencuri daripada jirannya!

Apakah yang terjadi di akhir cerita?

Cerpen-cerpen Insaf Seorang Penagih dan Terjebak menyentuh isu penagihan bahan terlarang dan pergaulan sosial yang negatif.

Watak-watak utama dalam karya-karya ini dihukum berat akibat jenayah yang mereka lakukan. Namun, cahaya keinsafan muncul akhirnya berkat kesedaran dari dalam diri sendiri dan sokongan ahli keluarga.

Kesilapan memilih teman dalam talian boleh mengakibatkan masa depan remaja rosak.

Begitulah nasib Juliana, dalam cerpen Suatu Penyesalan, yang hamil akibat terpedaya dengan cinta palsu bersama seseorang yang dikenalinya menerusi Facebook.

Apakah nasib pelajar pintar yang bakal menduduki peperiksaan peringkat GCE O ini?

Bacalah buku ini untuk mengetahui kesudahan cerpen-cerpen yang dikongsikan tadi selain menekuni tujuh lagi karya yang terkandung di dalam buku ini.

Sila lungsuri laman katalog NLB di https://catalogue.nlb.gov.sg untuk mendapatkan maklumat lanjut tentang buku ini.

Tajuk: Setangkai Anggerik untuk Cikgu: Kumpulan Cerpen
Penulis: Nazariah Nasir
Penerbit: Singapura: Caliph Readers, 2020
Nombor Panggilan: Y SING Malay NAZ
Pengulas: Herman Rothman, Pustakawan, NLB

Sumber : BERITA Mediacorp/fa
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan