Skip to main content

Iklan

Iklan

Nadi Kampus

eMpower perkasa siswa NUS tangani keprihatinan masuk ke alam pekerjaan

Anggaran Waktu Membaca:
eMpower perkasa siswa NUS tangani keprihatinan masuk ke alam pekerjaan

Gambar: NUSMS & PBMUKS

SINGAPURA: Dalam pasaran pekerjaan yang pesat berubah, memperolehi ijazah saja tidak menjamin kerjaya yang baik pada masa hadapan.

Para majikan kini, mempertimbangkan pelbagai ciri, antara lain termasuk kemahiran insani, sebelum mengambil seseorang itu untuk bekerja.

Kemahiran sedemikian bagaimanapun bukanlah mudah untuk diperolehi. Ia memerlukan seseorang untuk mengorak langkah untuk menimba pengalaman daripada usaha membina rangkaian, penglibatan dalam kerja-kerja sukarela mahupun bekerjasama.

Lantaran itu, belia diajak untuk membuat perancangan awal supaya mereka dapat menangani keprihatinan yang muncul dalam melangkah ke alam pekerjaan dan mencapai aspirasi kerjaya masing-masing.

Demikian ditekankan panelis karyawan di bahagian pertama acara 'eMpower', yang berlangsung pada Rabu (22 Jan) di Universiti Nasional Singapura (NUS).
Ahli strategi di Eden Strategy Institute, Safafisalam Bohari Joan merupakan salah seorang panelis karyawan di bahagian pertama acara 'eMpower', yang berlangsung pada Rabu (22 Jan) di Universiti Nasional Singapura (NUS). (Gambar: NUSMS & PBMUKS)
Para panelis acara tersebut terdiri daripada ahli strategi di Eden Strategy Institute, Safafisalam Bohari Joan, Dr Mohamed Noordin, Ketua Keselamatan, Operasi IT, dan Pegawai Perlindungan Data (DPO) di Doctor Anywhere dan pengasas The Black Hole Group, Mustaffa Kamal.

eMpower edisi ke-6 itu merangkumi dua bahagian. Bahagian pertama acara tersebut bermatlamat untuk memupuk kemahiran praktikal, seperti menulis resume dan teknik temu duga, dalam kalangan belia.

Lebih 50 mahasiswa NUS, daripada pelbagai jurusan, menghadiri acara tersebut.
Dr Mohamed Noordin, Ketua Keselamatan, Operasi IT, dan Pegawai Perlindungan Data (DPO) di Doctor Anywhere merupakan salah seorang panelis karyawan di bahagian pertama acara 'eMpower', yang berlangsung pada Rabu (22 Jan) di Universiti Nasional Singapura (NUS). (Gambar: NUSMS & PBMUKS)
Dianjurkan sejak 2019, acara tahunan itu merupakan hasil kerjasama Persatuan Bahasa Melayu Universiti Kebangsaan Singapura (PBMUKS) dan Persatuan Muslim NUS.

EMPOWER TERAP UNSUR INTERAKTIF; AJAK SISWA NUS DAPATKAN NASIHAT KARYAWAN

Ditanya mengenai kelainan yang ditampilkan dalam acara eMpower tahun ini, mahasiswa NUS Tahun 2 jurusan Perniagaan, Amira Humaira menyentuh tentang hasrat pasukannya untuk menawarkan pendekatan yang lebih interaktif, di samping memastikan perkongsiaan yang lebih menyeluruh.
Mahasiswa NUS Tahun 2 jurusan Perniagaan, Amira Humaira. (Gambar: NUSMS & PBMUKS)
Misalnya, acara itu menerapkan unsur interaktif, di mana terdapat segmen pusingan-robin (round robin), yang memberi pengalaman pembelajaran yang lebih tertumpu kepada peserta, berbanding ceramah yang biasanya diadakan sebelum ini. Melalui segmen itu, peserta berpeluang untuk berinteraksi dengan karyawan diundang dengan lebih dekat lagi dan mendapat nasihat yang lebih khusus daripada mereka.

Selain itu, Amira menarik perhatian bahawa panelis karyawan itu dipilih dengan teliti, agar ia meliputi pelbagai sektor termasuk sektor awam, swasta, dan keusahawanan.

"Dengan ini, kami berazam untuk memberi perspektif luas kepada para peserta mengenai pelbagai laluan kerjaya yakni nasihat yang lebih khusus kepada setiap sektor," jelas Amira, yang merupakan penyelaras projek acara tersebut.

BELIA DIGALAK AMBIL TANGGUNGJAWAB TERHADAP MASA DEPAN MEREKA SENDIRI

Salah seorang daripada panelis yang diundang, Encik Mustaffa mengalu-alukan usaha dalam mempersiapkan para belia bagi alam pekerjaan.
Pengasas The Black Hole Group, Mustaffa Kamal merupakan salah seorang daripada panelis karyawan di bahagian pertama acara 'eMpower', yang berlangsung pada Rabu (22 Jan) di Universiti Nasional Singapura (NUS). (Gambar: NUSMS & PBMUKS)
Ini memandangkan acara itu menyediakan wadah bagi belia untuk memperolehi perspektif dan nasihat daripada penceramah daripada pelbagai latar belakang.

Encik Mustaffa berkata: "Perjalanan kerjaya setiap orang berbeza dan tidak linear. Adalah mustahil untuk mengambil huraian menyeluruh dalam mengemudi kerjaya.

"Para peserta mungkin bersetuju atau tidak bersetuju tetapi yang lebih penting ialah mereka memperoleh perspektif. Mereka kemudian boleh membuat pertimbangan dan keputusan mengikut gaya dan cita-cita mereka sendiri," kongsinya kepada BERITA Mediacorp.
Gambar: NUSMS & PBMUKS
Dengan sambutan memberangsangkan yang diterima, pihak penganjur meluahkan rasa besar hati mereka memandangkan eMpower masih rata-rata dianggap sebagai wadah berkesan dalam kalangan mahasiswa NUS untuk membina keyakinan diri bagi mengatasi cabaran masa depan baik dalam dunia pekerjaan mahupun kehidupan peribadi.

"Kami juga berharap acara ini dapat memupuk hubungan bermakna antara mahasiswa-mahasiswi dan karyawan, sekali gus menguatkan jaringan masyarakat Melayu/Islam," luah Amira.

Bahagian kedua acara eMpower akan berlangsung pada 5 Feb dengan fokus terhadap pembangunan diri dan panduan bagi mengimbangi tuntutan pekerjaan, agama, serta keluarga.
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan