Dulu buka kedai memancing, belia ini kini kendali 5 kedai gula-gula
Mohamed Haikkel Firdhaus (kiri), Pengasas SGFR Store dan Putri Rahadatul ‘Aisy (kanan), Pengasas Bersama SGFR Store. (Gambar: Syazwani Sanep/BERITA Mediacorp)
Diasaskan pada 2020, Haikkel menubuhkan perniagaan, SGFishingRigz Pte Ltd, yang menjual peralatan memancing khusus bagi anak muda yang ingin berjinak-jinak dengan kegiatan tersebut.
Menceritakan detik timbul idea untuk membuka kedai gula-gula, Haikkel berkata: “Pada suatu hari tu, saya memutuskan untuk menawarkan (air minuman) Prime. Ia sesuatu yang sedang tular di Amerika. Saya kurang pasti jika ia akan berhasil.
“Keesokan harinya, apabila saya pergi ke kedai selepas memuat naik video di TikTok, saya terkejut apabila mendapati kesemua 10 karton habis dijual,” kongsinya kepada BERITA Mediacorp.
Melihat sambutan yang diterima, Haikkel pun nekad mengubah haluan perniagaannya dengan menjual air minuman itu serta aneka produk gula-gula yang diimport dari luar negara.
Dinamakan SGFR Store, yang diolah daripada perniagaan sebelumnya, ia dilancarkan oleh Haikkel serta rakan-rakan pengasas yang lain termasuk Putri Rahadatul ‘Aisy pada 2023. BERITA Mediacorp difahamkan bahawa pasukan di sebalik SGFR store itu terdiri daripada pelajar politeknik berusia dalam lingkungan 19 hingga 22 tahun.
Ia kini berkembang kepada lima cawangan di Singapura setakat ini.
Dalam usaha menyuntik kelainan terhadap perniagaannya kali ini, Haikkel juga menawarkan pengalaman bertema kepada pelanggannya ketika berbelanja, seperti tema permainan arked di cawangannya di Wisteria Mall.
KANAK-KANAK, REMAJA SEBAHAGIAN BESAR PELANGGAN SGFR STORE
Golongan kanak-kanak dan remaja membentuk sebahagian besar pelanggan SGFR Store.
Berdasarkan tinjauan BERITA Mediacorp di cawangan SGFR Store di Wisteria Mall, pelanggan yang membanjiri kedai tersebut, rata-rata terdiri daripada pelajar sekolah rendah dan menengah.
"Harga pelajar" yang ditawarkan bagi produk yang dijual di kedainya juga satu daya tarikan bagi pelanggan.
Sebagai contoh, satu paket gula-gula 'Sour Patch Kids' dijual dengan potongan harga S$1 bagi pelajar, berbanding harga asalnya iaitu S$5.50.
BUKANKAH PRODUK YANG DIJUAL TIDAK SIHAT? ADAKAH IA DISAHKAN HALAL?
Tidak harianlah jika banyak produk yang dijual di SGFR Store mencetuskan kebimbangan ramai, disebabkan kandungan gula yang ada dalam produk-produk tersebut.
Ini terutama sekali dalam kalangan ibu bapa, yang risau bahawa ia akan menimbulkan risiko terhadap kesihatan anak-anak mereka dalam jangka panjang.
Menurut Putri, yang juga penuntut tahun akhir di Politeknik Temasek dalam kursus Diploma Perniagaan, SGFR Store turut menawarkan pilihan produk yang lebih sihat. Antaranya gula-gula 'Jolly Rancher Zero Sugar', yang menawarkan rasa yang serupa dengan gula-gula 'Jolly Rancher' asli, tetapi tanpa gula.
Mengulas sama ada produk-produk yang dijual di SGFR Store dijamin halal, Putri berkata: "Kami pastikan apa-apa produk yang kami tawarkan, kami akan betul-betul periksa bahan-bahannya. Pastikan ia tidak mengandungi gelatin atau arak. Sebab kami adalah perniagaan milik Muslim. "
CABARAN SEBAGAI USAHAWAN MUDA
Mengendalikan sebuah perniagaan bukanlah sesuatu yang mudah.
Apatah lagi bagi usahawan muda seperti Haikkel, Putri serta rakan-rakan pengasas lain yang masih bersekolah.
Cabaran yang perlu diharungi termasuk meyakinkan pelabur terhadap potensi perniagaan tersebut. Ramai pelabur seringkali meragui keupayaan mereka disebabkan usia yang muda serta kurang pengalaman.
"Nilai yang dipegang pasukan saya berlandaskan al-Quran. Dalam al-Quran, (ia mengajak) kita untuk mempercayai Allah setelah membuat keputusan dan Allah menyayangi mereka yang mempercayai-Nya.
"Apabila pelabur meragui kami, kami tidak berputus asa dan akan cari jalan seterusnya, seterusnya, dan seterusnya sehingga kami akhirnya menemui seseorang yang yakin dengan idea kami," ujar pemuda berusia 22 tahun itu.
Tentang siapa yang memberi mereka sokongan dalam mengendalikan perniagaan, Haikkel berkata individu yang banyak memberi sokongan dan dorongan adalah ibu bapa dan anggota keluarga. Anggota pasukan pengasas juga melabur simpanan masing-masing.
Haikkel juga menyertai satu program usahawan di politekniknya, yang turut melaburkan sebahagian besar modal asal yang diperlukan SGFishingRigz. Apabila perniagaan itu ditutup, hasilnya disalurkan ke SGFR Store.
Berbekal semangat positif dan kesungguhan, kumpulan usahawan muda ini yakin mereka dapat meneruskan momentum perniagaan mereka bagi tahun ini.
"Satu perkara paling unik tentang kami dalam perniagaan adalah kami sentiasa berinovasi. Saya boleh katakan dengan yakin, dalam beberapa tahun akan datang, kami akan terus maju dan berkembang. Anda akan lihat sesuatu yang istimewa daripada kami."
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.