Skip to main content

Iklan

Iklan

Nadi Kampus

Disleksia dan cecah 32 tahun, Fariqiel Jannah kini penerima Anugerah Lee Kuan Yew

Anggaran Waktu Membaca:

BERITAmediacorp: Semasa kecil, Muhammad Fariqiel Jannah Ghabi teruja tatkala melihat ibunya membuat kek khas untuknya sempena sambutan hari lahir.

Tanpa disedari, memori yang tersemat itu menjadi sumber inspirasi Fariqiel, 32 tahun, untuk terus menceburi bidang kulinari dan mengejar impian menjadi seorang cef pastri satu hari nanti.

Dalam merealisasikan impian tersebut, anak ketiga dalam keluarga empat beradik itu menyimpan hasrat untuk kembali belajar selepas meninggalkan bangku sekolah, dengan mendaftarkan diri bagi kursus Nitec dalam bidang Pastri & Membuat Kek di ITE Kolej Barat pada usia 29 tahun.

Bahkan, Fariqiel tidak menjadikan usianya mahupun keadaan disleksia yang dihadapi sejak kecil sebagai hambatan untuk meneruskan pengajian dalam kursus yang diidam-idamkan itu.

Berkat ketekunan dan kesungguhan beliau dalam menyempurnakan setiap tugasannya, Fariqiel berjaya mencatat keputusan cemerlang.

Beliau malah, muncul sebagai antara penerima Anugerah Lee Kuan Yew (LKY) yang berprestij bagi tahun ini.

Seramai 47 pelajar diiktiraf dengan Anugerah LKY, terdiri daripada Anugerah Pelajar/Pelatih Contoh LKY, Anugerah Teknologi LKY dan Anugerah Ko-Kurikular LKY, dalam satu majlis yang diadakan pada Khamis (25 Mei) di Kolej ITE Tengah.

Anugerah Lee Kuan Yew diperkenalkan bagi memupuk pembelajaran yang lebih holistik dalam kalangan pelajar ITE.

LALUAN LEBIH JAUH DEMI CAPAI CITA-CITA

Fariqiel telah menamatkan kursus Nitec dalam Seni Kulinari Barat di ITE dan meraih Diploma dalam Seni Halus (Fotografi) di NAFA pada lewat usia remajanya.

Setelah selesai menjalani Perkhidmatan Negara (NS), beliau pun mula bekerja di bawah pengendali F&B seperti Nene Chicken dan Chix Hot Chicken selama kira-kira empat tahun.

Malangnya, beliau diberhentikan kerja berikutan pandemik COVID-19 yang melanda.

Fariqiel bersikap positif dan mengambil kesempatan dalam suasana yang tidak menentu itu untuk memperkasa kemahirannya dalam membuat kek, yang dipelajarinya semasa menuntut di ITE dahulu.

Ia membuahkan hasil memandangkan perniagaan dari rumah (HBB) yang ditubuhkannya, @fariqscakes, menerima tempahan kek daripada kenalan rapat semasa tempoh tersebut.

Pengalaman mengendalikan HBB membakar semangat Fariqiel untuk terus memburu impiannya menjadi seorang cef pastri.

“Saya sudah sepatutnya mempunyai pekerjaan yang stabil pada umur saya ini. Tetapi apabila saya lihat diri saya, saya sedar yang saya kurang pemahaman dalam industri pastri. Masa ini adalah untuk saya fokus dan menyerap segala pengetahuan mengenai pastri untuk membuka sebuah kafe kelak," ujar Fariqiel.

Lantaran itu, beliau mengambil langkah untuk kembali ke ITE dalam kursus Nitec dalam bidang Pastri & Membuat Kek.

Beliau bersyukur mendapat sokongan padu bukan saja daripada tenaga pengajar, bahkan keluarganya.

Ibu bapanya tidak pernah mempersoalkan keputusan yang diambil sekalipun ia merupakan laluan berlainan daripada mereka seusia Fariqiel.
Gambar: Nilam Marjanee/BERITAmediacorp
GANGGUAN DISLEKSIA BUKAN ALASAN UNTUK TIDAK BERJAYA

Sekalipun sedar dirinya adalah salah seorang penghidap disleksia, Fariqiel tidak pernah menjadikannya sebagai alasan untuk tidak berjaya.

Justeru, beliau tidak melepaskan peluang untuk mencabar dirinya dengan menyertai kegiatan sekolah di luar bilik darjah.

Beliau menggalas tanggungjawab sebagai Presiden Kelab ACE, sebuah program yang membantu memperkasa pelajar yang cemerlang.

Bakatnya itu jelas terserlah dengan pencapaiannya yang memberangsangkan semasa mewakili ITE dalam Cabaran kulinari FHA 2022 (Reka Bentuk Artistik - Coklat). Fariqiel berjaya merangkul Anugerah Perak di pertandingan tersebut.
Gambar: Muhammad Fariqiel Jannah Ghabi
HAMPIR KECAP IMPIAN BUKA KAFE

Keputusannya untuk melanjutkan pengajian ke Nitec Lanjutan dalam kursus Pastri & Membuat Kek adalah satu langkah ke arah mengecap impiannya.

“Saya kurang menemui pastri yang unik. Saya ingin mengenal pasti jurang yang boleh menggabungkan pastri berunsur Melayu dan Perancis. Saya rasa itu akan menjadi satu tarikan dan saya tidak sabar untuk menerokanya apabila saya buka kafe kelak," ungkap Fariqiel.
Sumber : BERITA Mediacorp/ae
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan