Skip to main content

Iklan

Iklan

Nadi Kampus

Darius Song Junliang semangat terus dalami bahasa Melayu meski selesai duduki GCE O

Anggaran Waktu Membaca:
Darius Song Junliang semangat terus dalami bahasa Melayu meski selesai duduki GCE O

Gambar: BERITAmediacorp/Syawal Yusoff

BERITAmediacorp: Selepas saya menerima keputusan Peperiksaan Tamat Sekolah Rendah (PSLE), saya sedar saya mempunyai minat untuk mempelajari bahasa. Ketika saya memilih sekolah menengah, saya meletakkan Sekolah Tinggi Chung Cheng (Main) kerana ia sekolah Program Bantuan Khas (SAP) dan terdapat program bahasa ketiga di sana. 

Bagi pilihan Bahasa Ketiga, saya sebenarnya meletakkan bahasa Jepun sebagai pilihan pertama. Namun, akhirnya, saya didaftarkan sebagai pelajar dalam Bahasa Melayu Program Khas (MSP), iaitu pilihan kedua saya. 

Ketika saya mula belajar bahasa Melayu semasa Menengah 1, saya fikir bahawa bahasa ini sangat susah, kerana saya tidak tahu bahasa Melayu pada masa itu. Ia merupakan pengalaman baru buat saya. 

Semasa pelajaran MSP pertama, saya harus belajar kata-kata dan sebutan asas. Saya fikir sebutan bahasa Melayu sangat berbeza dengan bahasa Inggeris.

Akibatnya, ketika saya harus membaca atau melakukan ejaan dan imlak, saya akan membuat beberapa kesalahan. Sebagai pelajar yang tidak ada pengetahuan bahasa Melayu, saya berasa bahawa belajar bahasa yang baru sangat rumit dan mencabar.

Selepas saya menghabiskan pelajaran di Menengah 1 dan 2, saya harus memutuskan sama ada untuk terus belajar MSP di peringkat Menengah 3 dan 4. MSP di peringkat menengah atasan memerlukan tahap komitmen yang tinggi kerana saya perlu  mengambil subjek ini di peperiksaan GCE Peringkat 'O'.

Walaupun sebelum ini saya fikir bahawa belajar MSP sangat susah, saya menjadi lebih yakin dan berminat dalam bahasa Melayu. Saya mula menghargai bahasa ini dan memahami nilai untuk mempelajarinya. Saya percaya bahawa saya boleh terus mengembangkan kemahiran dan minat dalam bahasa Melayu. 

Selain itu, di Singapura, tidak semua pelajar berpeluang untuk belajar bahasa Melayu di sekolah. Oleh yang demikian, saya mahu menghargai peluang yang diberikan. Justeru, saya memutuskan terus belajar MSP sebagai subjek peperiksaan GCE Peringkat 'O'.

Selepas saya mula menghadiri pelajaran dalam Menengah 3, saya sedar ia sedikit berbeza. Sekarang, peperiksaan MSP ada lebih banyak kandungan dan ia lebih mirip dengan peperiksaan bahasa Inggeris atau bahasa Cina. Terdapat bahagian karangan, lisan dan kefahaman mendengar. 

Selain itu, saya didedahkan lebih kosa kata, penjodoh bilangan dan perkara yang lain. Semua ini meningkatkan kesusahan bahasa Melayu yang saya belajar. Lebih-lebih lagi, untuk karangan, kami harus menulis tentang topik-topik seperti COVID-19, kesihatan mental dan lain.

Walaupun saya menghadapi cabaran untuk menyesuaikan diri dengan kerja rumah dan perubahan di sekeliling, saya sedar secara beransur-ansur bahawa mempelajari bahasa Melayu adalah proses yang lambat, seperti bahasa Inggeris atau bahasa Cina yang telah saya pelajari sejak dari sekolah rendah. Untuk memastikan saya boleh mengikuti pelajaran, saya akan mengulang kaji buku teks dan nota-nota. Juga, saya akan merakam maklumat dan kata-kata yang baru di buku nota, jadi saya boleh ingat dan menggunakan perkataan ini pada masa yang sesuai. 

Gambar: Darius dan rakan-rakannya mengambil bahagian dalam pertandingan 'Ikan O Ikan' pada tahun lalu.

Ketika peperiksaan GCE Peringkat 'O' bermula, saya berasa sangat bimbang dan takut. Terutamanya, saya harus menangani MSP sebagai subjek baru. Oleh itu, saya mahu melakukan persiapan dengan lebih lagi.

Untuk peperiksaan lisan, selain membaca teks yang diberikan oleh guru saya, saya akan juga bercakap kepada diri saya ketika saya melihat cermin. Ini adalah untuk memastikan saya boleh membaca dan bercakap dengan fasih dan baik. 

Untuk Kertas 1 dan 2, saya akan mengulang kaji buku nota dan membaca kosa kata dan perkara lain yang diajarkan. Saya juga belajar untuk satu hingga dua jam setiap hari untuk bahasa Melayu kerana saya percaya saya boleh melakukan dengan baik.

Akhirnya, saya menerima A1 untuk MSP dalam peperiksaan GCE Peringkat 'O'. Keputusan baik ini dapat dicapai bukan saja atas usaha saya, bahkan bantuan daripada kawan-kawan dan guru-guru saya juga.

MANFAATKAN BAHASA MELAYU DI LUAR BILIK DARJAH

Selepas 4 tahun mempelajari bahasa Melayu, saya sudah tahu banyak perkara.

Sebenarnya, selepas menghadiri lebih banyak pelajaran MSP dalam Menengah 1 sehingga Menengah 4, saya sedar bahawa terdapat banyak faedah jika saya belajar bahasa Melayu. 

Dengan belajar bahasa Melayu, saya boleh menggunakannya untuk berhubung dengan orang lain, terutamanya orang Melayu di Singapura, Malaysia dan Indonesia. Ini memandangkan bahasa Melayu adalah antara yang digunakan untuk berhubung di negara-negara ini. 

Malah, ketika saya bercuti di Malaysia sebelum ini, saya sering beramah mesra dengan penduduk tempatan di sana.

Juga, saya akan membeli makanan daripada penjaja Melayu. Selepas belajar bahasa Melayu, saya boleh berhubung dengan mereka dengan lebih mudah dan baik dan juga boleh memahami mereka. Saya boleh menggunakan bahasa Melayu untuk bercakap dengan mereka. 

Oleh itu, ia akan memberi saya peluang untuk terus menggunakan dan mengamalkan bahasa Melayu dalam kehidupan seharian dan memastikan saya tidak melupakan pengetahuan asas saya dalam bahasa Melayu. Melalui ini, saya boleh terus belajar, mengamalkan dan menggunakannya.

Selain itu, semasa pelajaran MSP, terdapat topik yang mendedahkan kami kepada budaya, warisan dan sejarah tradisional Melayu. Di buku teks, terdapat beberapa topik yang akan memperkenalkan warisan dan seni tradisional Melayu. 

Contohnya, untuk Menengah 3 dan Menengah 4, terdapat topik-topik seperti “Tersebut Al-Kisah” dan “Irama Singapura” masing-masing. Ini adalah pengetahuan yang menarik bagi saya kerana saya tidak fikir bahawa dengan belajar bahasa Melayu, saya juga boleh mendalami warisan Melayu pada masa yang sama. Ia akan membantu saya untuk menyemai pemahaman yang lebih mendalam tentang budaya Melayu. 

Lagipun, melalui pelajaran MSP, saya turut mengenali antara nilai-nilai yang dipupuk masyarakat dan budaya Melayu. 

Sejak kecil lagi, ibu bapa saya sering menyemai nilai-nilai tradisional masyarakat Cina, yang sarat dengan maksud yang bernilai. Selepas menghadiri pembelajaran bahasa Melayu, saya belajar lebih banyak. Saya sedar masyarakat Melayu juga berkongsi nilai-nilai yang sama dengan masyarakat Cina.

Contohnya, peribahasa Melayu “air dicincang tiada putus” membawa maksud seorang tidak pernah boleh memisahkan hubungan dengan kaum keluarga. Walaupun ia dalam bahasa yang lain, saya boleh menghargainya kerana saya tahu bahawa ia adalah nilai manusia yang teras. Saya boleh ada pemahaman yang lebih mendalam dan menerima perkara itu. 

Di masa hadapan, saya percaya bahawa melalui pelajaran MSP, bukan sahaja saya boleh menggunakan bahasa Melayu untuk berhubung dengan orang lain dari Malaysia dan Indonesia, tetapi saya juga memahami nilai-nilai ini dengan mudah.

Kesimpulannya, saya berasa bahawa pembelajaran bahasa Melayu saya tidak terhad kepada bahasa itu saja, bahkan saya dapat mengenali masyarakat lain dengan lebih dekat. Saya harap di masa hadapan, saya boleh terus mengembangkan kemahiran bahasa Melayu saya, dan saya akan juga menggalakkan pelajar-pelajar lain untuk cuba mempelajarinya.

MENGENAI PENULIS:
Darius Song Junliang, ialah bekas pelajar Sekolah Tinggi Chung Cheng (Main). Beliau menduduki peperiksaan GCE Peringkat 'O' pada 2022. Beliau akan meneruskan pengajiannya di Maktab Rendah Victoria.

Sumber : BERITA Mediacorp/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan