Dari Singapura ke Johor: Rumah Rima Pentaskan Karya Noor Hasnah Adam 'Hantu Nak Jadi Orang'
JOHOR: Buat pertama kalinya, sepuluh ahli kolektif kami di Rumah Rima telah berjaya menyeberangi Seberang Tambak untuk menyahut undangan ke Wonderful Nusantara Festival 2025 yang berlangsung dari 23 hingga 26 Oktober 2025.
Festival megah anjuran Yayasan Warisan Johor dan disokong oleh Taman Warisan Melayu Singapura (MHC) ini bertujuan menggabungkan seni dan warisan yang merentasi sempadan empat negara serumpun, iaitu Singapura, Malaysia, Indonesia dan Thailand.
Kolektif kami berpeluang membuat persembahan di Kompleks Warisan Sultan Abu Bakar, Johor Bahru. Pentas di situ disemarakkan oleh barisan pelakon kami. Naib Presiden, Athirah Karim, dan Penasihat, Ahmad Faqih, memberikan panduan mantap, disokong lakonan mantap Khadijah Alsagoff, Sarah Sofian, Siti Sabarina, Noor Iskandar Shah, Lily Mariani, dan Liyana Afiqah. Setiap patah kata, setiap gerak silat, dan setiap rangkap pantun diungkapkan dengan penghayatan yang mendalam, mencerminkan komitmen kami terhadap seni.
Tugas kami bukan kecil kerana kami berusaha mementaskan sebuah skrip pendek, Hantu Nak Jadi Orang yang diadaptasi daripada karya penulis unggul, Almarhumah Noor Hasnah Adam. Tunjang persembahan kami ialah penceritaan yang disajikan melalui dua tukang cerita utama yang sedang berbual rancak di audio siar (podcast), membuktikan bahawa seni lisan tradisional mampu menunggang gelombang media baharu.
Kami kini kembali ke Singapura, sarat dengan pengalaman berharga dan semangat yang diperbaharui. Kami berharap dapat terus menghasilkan karya yang merangsang dan merapatkan jurang antara masyarakat serumpun. Kembara seni Rumah Rima ke Johor Bahru ialah pengukuhan ikrar kami untuk terus menyumbang kepada kemekaran budaya Nusantara dan kami tidak sabar untuk menebarkan sayap kami ke luar tanah air lagi.
MENGENAI PENULIS:
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.