Skip to main content

Iklan

Iklan

Nadi Kampus

Dari padang sekolah ke Camp Nou, 4 pemain cilik Melayu serlahkan bakat di stadium unggul

Dari padang sekolah ke Camp Nou, 4 pemain cilik Melayu dari Akademi Barca Singapura serlahkan bakat di stadium unggul.

Anggaran Waktu Membaca:
Dari padang sekolah ke Camp Nou, 4 pemain cilik Melayu serlahkan bakat di stadium unggul

Muhammad Adam Mohd Faisal, Aniq Matin Zulfadli, Audi Putra Zulfadli dan Nur Muhammad Muhammad Fadly bangga dapat bermain di Barcelona. (Gambar-gambar: Razi Salam)

BARCELONA: Bayangkan perasaan anda apabila dapat menjejakkan kaki di Camp Nou, yang merupakan antara stadium terkemuka di dunia!

Pasti anda akan melonjak gembira jika dapat berlatih dan beraksi di padang bola yang sama dengan bintang-bintang bola sepak bertaraf dunia seperti Lionel Messi dan Gerard Pique yang suatu ketika dulu juga pernah mendapat asuhan dan bimbingan di bawah skuad pembangunan La Masia.

Tentu sekali ramai penggemar dan penyokong bola sepak, terutamanya para peminat FC Barcelona, mengimpikan peluang sedemikian.

Bagi para pemain cilik dari Akademi Barca Singapura, mimpi tersebut menjadi kenyataan baru-baru ini!

(Gambar: Razi Salam)

Seramai 45 anak didik akademi berkenaan mewakili Singapura di Piala Dunia Akademi Barca 2019 dari 15 hingga 17 April.

Mereka turun padang menentang pasukan-pasukan Akademi Barca dari merata dunia di beberapa lokasi termasuk La Masia di sekitar stadium ikonik Camp Nou.

“Saya rasa gembira kerana saya dapat tahu bagaimana rasa padang itu dan bagaimana Lionel Messi bermain di padang itu dan juga bagaimana kita dapat menyesuaikan diri dengan padang itu,” kongsi Muhammad Adam Mohd Faisal.

(Gambar: Razi Salam)

Pemain midfield Pasukan Akademi Barca Singapura Bawah 12 Tahun itu merupakan salah seorang penerima biasiswa akademi berkenaan yang buat julung-julung kalinya ditawarkan kepada para pelajar di bawah Skim Bantuan Kewangan (FAS) bagi menampung kos latihan mereka.

“Saya rasa sangat teruja kerana saya dapat bermain di tempat pemain bola sepak yang paling famous di dunia,” ujar Aniq Matin Zulfadli pula, penjaga gawang pasukan yang turut menerima biasiswa tersebut.

(Gambar: Razi Salam)

CATAT PRESTASI MENYERLAH

Sepanjang empat hari berlangsungnya temasya tahunan itu, lebih 600 perlawanan dianjurkan dengan keempat-empat pasukan dari Singapura bagi Kategori Bawah 8, 10, 12 dan 14 Tahun masing-masing memenangi 3 daripada 7 perlawanan yang ditandingi.

Prestasi memberangkan yang dipamerkan oleh pasukan Adam dan Aniq memang wajar dipuji lebih-lebih lagi setelah berjaya menundukkan pasukan lawan dari Calgary di Kanada, Chicago (Amerika Syarikat) dan Kunming di China yang lebih besar saiz mereka dan jauh lebih agresif.

“Saya rasa saya boleh memperbaiki lagi cara permainan saya tetapi saya tetap berpuas hati,” kata Nur Muhammad Muhammad Fadly, rakan sepasukan Adam dan Aniq yang juga salah seorang penerima biasiswa.

(Gambar: Razi Salam)

Lebih memberangsangkan lagi, kesemua pasukan Akademi Barca Singapura, yang juga merupakan satu-satunya Akademi Barca dari Asia Tenggara, mula meraih kemenangan selepas perlawanan hari kedua.

Dengan itu, timbul keyakinan bahawa para pemain Singapura mungkin berupaya untuk memperbaiki kedudukan mereka jika diberi lebih banyak masa untuk menyesuaikan diri dengan cuaca lebih sejuk dan pasukan lawan yang lebih hebat.

“Cabaran mereka sebenarnya adalah tahap prestasi pasukan dari luar negara yang lebih baik, lebih tinggi. Jadi, mereka harus meletakkan tekanan pada diri sendiri untuk bermain lebih baik daripada apa yang mereka main sebelum ini.

(Gambar: Razi Salam)

“(Namun), saya memang puas hati, sungguh puas hati dengan persembahan mereka. (Perlawanan ini) lebih baik daripada perlawan sebelumnya dan juga perlawanan sebelum itu. Memang baik,” luah jurulatih Pasukan Bawah 8 Tahun Shahrin Zainuddin ketika diminta memberikan komen mengenai salah satu perlawanan akhir pasukan beliau.

PELUANG BERHARGA BERMAIN DI LUAR NEGARA

Antara pemain di bawah pimpinan Encik Shahrin adalah Audi Putra Zulfadli yang juga penerima biasiswa Akademi Barca Singapura.

Meskipun harus menjaga gawang yang jauh lebih besar berbanding semasa waktu latihan di Singapura, pemain berbakat ini tetap menyerlah.

(Gambar: Razi Salam)

Audi Putra sedang bersiap sedia bagi perlawanan menentang pasukan tempatan.

Malah, dalam perlawanan menentang Catalunya Grana, kecekapan dan ketangkasan Audi berjaya menghalang mereka daripada membolosi gawang, sekaligus menyumbang kepada kemenangan Singapura.

Pasukan tuan rumah itu terpaksa berpuas hati dengan 2 gol saja berbanding 3 milik Akademi Barca Singapura.

“Menang atau kalah, tidak apa. Tapi kita mesti buat yang terbaik untuk pasukan kita,” kata Audi yang gigih berlatih di luar sesi latihan bersama abangnya, Aniq demi mempersiapkan diri bagi pertandingan berprestij itu.

Ibu bapa Aniq dan Audi turut tumpang gembira atas pencapaian kedua-dua anak mereka.

(Gambar: Razi Salam)

“Hanya mereka yang dipilih akan dapat peluang bermain di sini. Jadi kami sangat berbangga!” kata Cik Lizawati Abdul Gani, ibu kepada kedua-dua penjaga gawang itu.

“Yang penting, anak-anak saya, mereka dapat bawa (pengalaman) ini balik ke Singapura. Jadi biar mereka dapat tunjuk kepada kawan-kawan mereka bagaimana cara sebenar-benarnya bermain di luar negara. Itulah cara yang terbaik untuk memperbaiki prestasi,” kata suaminya, Encik Zulfadli.

SOKONG KANAK-KANAK BERBAKAT

Selain Encik Zulfadli dan isteri, bapa Adam turut ikut serta dalam rombongan ke Barcelona.

“Dia (Adam) rasa teruja mendapat peluang ini. Ini satu peluang keemasan juga bagi Nor Mohd, bagi Aniq dan adiknya Audi. Tidak semua yang dapat pergi ke sini untuk mempelajari dan menimba pengalaman yang hanya boleh didapatkan di sini.

“Kita berangkat jauh dari Singapura, terbang semalaman, hanya untuk ke pertandingan ini. Jadi bagi mereka, ia sesuatu yang membuka mata. Ia sesuatu yang akan tetap dalam kenangan mereka,” kata Encik Mohd Faisal yang turut mendedahkan bahawa sebelum ini, anaknya belum pernah mendapat peluang mengasah bakat di luar negara.

(Gambar: Razi Salam)

Pengarah Teknikal Akademi Barca Carles Martin turut mengalu-alukan peluang seumpama itu. Dalam wawancara eksklusif bersama BERITAmediacorp, beliau berkata bahawa akademi tersebut sememangnya bertujuan untuk memberi tunjuk ajar kepada kanak-kanak sedemikian.

“Seperti anda tahu, Barcelona bersifat akar umbi. Bagi kami, ia penting untuk memberi peluang kepada anak didik kami untuk menunjukkan kepada mereka laluan untuk mencapai kejayaan dan memberi mereka seberapa banyak sokongan bagi pelajaran mereka dan juga kerjaya sukan mereka,” kongsi beliau yang juga merupakan Pengarah Teknikal Akademi Barca Singapura ketika ia ditubuhkan di Singapura pada 2013.

“Lebih penting lagi, kami mahu individu-individu yang ingin belajar dan mindanya terbuka untuk menimba pengalaman dari Barca,” tambah beliau.

Yang pasti, ciri-ciri tersebut penting bagi kesemua pemain Akademi Barca, termasuk keempat-empat anak Melayu ini yang menerima biasiswa Akademi Barca untuk terus memperbaiki prestasi menjelang Piala Dunia Akademi Barca tahun depan.  

Sumber : BERITA Mediacorp/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan