Dari Jakarta ke Jiwa: Pena, Bahasa dan Harapan
Ahli kumpulan Meja Conteng, yang terdiri daripada (dari atas kiri) Fadhli Fadzil, Hidayat Nordin, Aisyah Lyana, Raditya Secondatama dan Hikmah Ali, turut serta dalam acara Bahas Bahasa pada 21 Jun lalu. (Gambar: Meja Conteng)
Perjalanan saya ke Jakarta berbeza daripada rakan-rakan Meja Conteng yang lain. Sementara mereka menaiki pesawat dari Singapura, saya memilih kereta api dari kota Solo. Sembilan jam perjalanan yang panjang itu lunas terbayar dengan pelbagai penemuan baharu tentang Jakarta — kotanya, manusianya, dan rohnya.
Meskipun saya warganegara Indonesia, ini kali keempat saya menjejakkan kaki ke Jakarta. Maka, sebelum menghadiri acara, saya sempat menjelajahi kota ini secara peribadi.
Ada kebercelaruan rasa yang timbul saat menyaksikan denyut nadi penduduknya. Ramai yang membuat saya bersyukur atas kurnia Yang Maha Esa. Namun, segelintir warga Jakarta menyedarkan saya bahawa langit ini luas — dan masih banyak bintang yang belum sempat saya petik.
Jakarta dan Singapura sememangnya berbeza dalam banyak hal, namun saya terkesan melihat semangat juang warga Jakarta. Sifat gigih dan ketangkasan warga Singapura dalam mengharungi kehidupan kota turut terpancar dalam wajah-wajah Jakarta.
Kemajuan dan keunggulan Singapura mungkin sukar disaingi, namun dalam lapangan sastera dan seni, Jakarta menyajikan ilham yang wajar kita contohi.
Saya menyaksikan sendiri bagaimana anak muda menjadi tulang belakang kesusasteraan di Jakarta. Dari gerai buku dan barangan seni, ke perpustakaan dan gedung kesenian, mereka bukan sekadar pengunjung, malah pemilik, penganjur, dan penggerak utama.
Keterlibatan golongan muda sangat ketara semasa acara Bahas Bahasa. Ahli Berpuisi Dengan Gembira dan Poetry Party terdiri daripada generasi muda yang bukan sahaja mencintai, tetapi juga hidup dalam dunia sastera.
Bahagian pertama acara merupakan forum bersama Fadhli Fadzil (Meja Conteng) dan Christian Situmorang (Berpuisi Dengan Gembira).
Forum ini bertemakan peranan bahasa Melayu dan Indonesia sebagai wadah perjuangan isu sosial. Mereka juga menyentuh cabaran melestarikan bahasa ibunda di tengah arus globalisasi dan ketidakpedulian sesetengah masyarakat.
Di tengah perbincangan yang bermakna itu, saya tidak dapat menahan rasa hiba. Ketika bahasa-bahasa asing seperti Korea dan Jepun kian diminati dunia, bahasa Melayu dan Indonesia kita semakin dikesampingkan oleh anak bangsanya sendiri.
Sudah tiba masanya kita memanfaatkan kekuatan budaya, teknologi, dan ekonomi Nusantara. Malaysia dengan pelancongan Islamnya, Indonesia dengan kekayaan budayanya, dan Singapura dengan kemajuan teknologinya — semuanya mampu menjadi jambatan bagi penyebaran bahasa serumpun.
Potensi bahasa Melayu dan Indonesia terlalu besar untuk kita pinggirkan. Jangan biarkan ia menjadi bahasa yang hanya dikenang, tetapi biarlah terus hidup, ditutur, dan dibanggakan.
Raditya Secondatama ialah mahasiswa tahun pertama di Nanyang Technological University (NTU) dalam jurusan Kajian Maritim. Beliau merupakan Sahabat Sastera di bawah naungan Majlis Bahasa Melayu Singapura (MBMS).
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.