Dari COP29 ke masjid setempat: Anak muda SG gabung nilai agama dan sains terajui gerakan perubahan iklim
Kini, Ismail bertugas sebagai perunding risiko iklim, di mana beliau menjadi penasihat kepada badan-badan pemerintah, perniagaan dan masyarakat tentang risiko iklim dan cara untuk menanganinya.
"Saya mendapat inspirasi daripada salah seorang rakan saya yang mempunyai cita-cita untuk menyelamatkan dunia," kata bekas penuntut kursus Kejuruteraan Alam Sekitar di Universiti Nasional Singapura (NUS) itu.
Beliau turut giat aktif dalam FiTree, sebuah kumpulan terdiri daripada penuntut institut pengajian tinggi, yang menggalakkan gaya hidup mesra alam dan lebih mampan.
Pada 2024, beliau mewakili Singapura sebagai delegasi belia di Sidang Iklim COP29 di Azerbaijan.
Semasa di sana, Ismail berkongsi bahawa terdapat galakan untuk mengambil tindakan iklim yang lebih inklusif, terutama daripada kumpulan-kumpulan keagamaan.
Ismail berkongsi bahawa beliau berasal daripada keluarga kacukan Cina-Melayu, dan mempunyai anggota keluarga yang beragama lain.
"Saya sedar bahawa setiap orang mempunyai versi syurga yang berbeza, tetapi kita semua berkongsi bumi yang sama untuk dilindungi," jelas Ismail.
Sejurus pulang dari Azerbaijan, Ismail menubuhkan 'Climate Interfaith', sebuah kumpulan yang memperjuangkan tindakan iklim.
Selain dialog silang agama, pelbagai aktiviti lain dikendalikan. Setakat 2025, ia mempunyai 160 anggota daripada 10 agama rasmi di Singapura.
MENUBUHKAN AL-MIZAN, AGAMA DITERAPKAN DALAM USAHA KEMAMPANAN
Ismail mengambil satu lagi langkah dalam usaha untuk meningkatkan kesedaran masyarakat Melayu/Islam terhadap kemampanan dengan menubuhkan Al-Mizan.
Kumpulan bukan mencari untung itu ditubuhkan pada Februari 2025 dengan tujuan untuk menyediakan platform di mana aspek agama, sains dan masyarakat dimanfaatkan untuk menangani cabaran-cabaran iklim.
"Al-Mizan bermakna imbangan (balance) dan ia diambil daripada inisiatif Program Alam Sekitar Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNEP). Dalam dokumen tersebut, ia menunjukkan bagaimana untuk menterjemahkan nilai-nilai Islam kepada tindakan konkrit bagi usaha iklim," kata Ismail.
Salah satu contoh yang dikongsi Ismail adalah usaha oleh Masjid Al-Mawaddah yang menghidupkan gaya hidup mesra alam.
"Masjid itu menghasilkan kompos sendiri, ia mempunyai kebun sendiri, kebun masyarakat. Masjid tersebut juga mengurangkan penggunaan plastik semasa berbuka puasa pada bulan Ramadan," kata Ismail.
Al-Mizan kini sedang bekerjasama dengan tujuh masjid untuk mengendalikan aktiviti berkaitan kemampanan.
Selain golongan karyawan, asatizah dan pemimpin masyarakat, belia memainkan peranan penting dalam Al-Mizan.
Selain terlibat dalam penyelidikan, program khidmat masyarakat dan projek perintis, mereka juga berkongsi kebimbangan peribadi seperti pekerjaan, kos sara hidup dan perbezaan pendapat dalam masyarakat.
Setakat ini, lebih 350 peserta terlibat dalam empat aktiviti dikendalikan Al-Mizan, termasuk dialog silang agama.
Kumpulan tersebut, yang mempunyai 300 anggota, berharap ia dapat menghasilkan penyelesaian praktikal bagi memikat lebih ramai individu memikul tanggungjawab untuk melindungi alam sekitar.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.