Dari aliran madrasah ke ijazah Sains Sukan: Alkhansa' Ahzamshah galak pelajar teroka bidang baharu
Alkhansa' Ahzamshah (kedua dari kanan) bergambar bersama rakan kerjanya. (Gambar: Alkhansa' Ahzamshah)
Di madrasah, saya memilih sukan memanah untuk aktiviti kokurikulum saya untuk meningkatkan rasa ingin tahu dalam sains sukan.
Berkenaan dengan aktiviti memanah, saya terpikat dengan gabungan ketepatan, fokus, dan atletisme. Di luar tuntutan fizikalnya, memanah memupuk nilai disiplin, kesabaran, dan ketabahan mental. Nilai-nilai ini semua tidak asing sewaktu saya menuntut ilmu di madrasah. Melalui memanah, saya berjaya melihat kaitan di antara minda dan badan, lantas memacu minat saya dalam Sains Sukan.
Pastinya setiap perjalanan, akan diharungi dengan onak dan duri. Tiada bezanya bagi saya yang juga merasai detik-detik yang memberikan inspirasi dan detik-detik yang mencabar keperluan mental saya.
Pada mulanya, minat saya terhadap memanah membangkitkan usaha saya untuk mendapatkan diploma dalam sains sukan. Pada waktu lapang saya juga lakukan ‘latihan secara bebas’ untuk bekas sekolah saya dan bekas bisnes memanah saya sendiri “Frontier Archery”. Disebabkan COVID-19, saya terpaksa berundur diri daripada menjalankan latihan dan memberi lebih tumpuan kepada pekerjaan saya.
Kini, fokus saya lebih tertumpu kepada kesihatan. Bak kata pepatah, genggam bara api, biar sampai jadi arang, saya tetap teguh dan memberikan komitmen seluruhnya untuk memahami selok-belok sains sukan. Dengan berkat doa ibu dan usaha yang disemai, saya diberi peluang untuk melanjutkan ijazah saya di Kaplan.
Tidak dapat dinafikan, terdapat rintangan di sepanjang jalan. Apabila saya menyedari bahawa laluan kerjaya saya mungkin tidak selaras dengan industri sukan, saya menghadapi ketaksaan dan keraguan. Namun, saya enggan menyerah kalah dengan cabaran-cabaran. Sebaliknya, saya menerima peluang baharu untuk bekerja di Loh & Loh Clinic & Surgery, sebuah klinik GP tempatan dan menggalas peranan pengurus.
Apabila saya merenung kembali laluan saya, saya akur, kejayaan itu bukanlah satu haluan yang lurus. Ia merupakan gabungan antara minat, ketekunan, dan kesediaan untuk menerima perubahan. Walaupun perjalanan saya panjang dan sukar, saya berasa amat puas hati, kerana ia berjaya membentuk pendirian saya.
Kini, saya sedang meluaskan pengetahuan saya dalam sektor penjagaan kesihatan melalui usaha mendapatkan Diploma Pakar dalam Kejuruteraan Bioperubatan & Farmaseutikal di sebuah politeknik tempatan. Keputusan ini berpunca daripada keinginan untuk mendalami pemahaman saya tentang bagaimana teknologi bersilang dengan penjagaan kesihatan, dengan matlamat untuk menyumbang dengan bermakna kepada kemajuan dalam sains perubatan.
Saya menjangkakan masa depan di mana saya harus terus meraih ilmu, menyahut cabaran baharu dan merebut peluang untuk memberi kesan yang positif dalam bidang saya. Usaha menuntut ilmu bukan hanya usaha peribadi; ia adalah komitmen terhadap kemajuan dan inovasi untuk memacu kita ke arah masa depan yang lebih cerah.
MENGENAI PENULIS:
Alkhansa' Ahzamshah merupakan bekas pelajar Madrasah Aljunied Al-Islamiah dan lulusan ijazah dalam jurusan Sains Sukan dari Universiti Essex, Akademi Pendidikan Tinggi Kaplan.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.