Skip to main content

Iklan

Iklan

Nadi Kampus

Dahulu malas & tidak gemar belajar, kini Mohammad Idris kejar ijazah sarjana

Anggaran Waktu Membaca:
Dahulu malas & tidak gemar belajar, kini Mohammad Idris kejar ijazah sarjana
Diterbitkan : 15 Jul 2023 11:58PM Dikemas Kini : 16 Jul 2023 07:44AM

SINGAPURA: Sebagai seorang yang aktif dalam kegiatan seni, saya banyak menghabiskan masa bersama teman-teman pada usia muda saya. Melalui pelibatan saya dalam bidang sepak takraw, dikir barat, MAEC dan sabagainya, saya rasa gembira dan seronok menghabiskan masa di luar rumah.

Membesar dalam keluarga yang sederhana, saya merupakan anak kedua dan bongsu dalam keluarga. Sejak kecil lagi, kedua ibu-bapa saya bekerja sepenuh masa. Saya dibesarkan oleh datuk dan nenek saya dan pengalaman membesar bersama mereka memberi impak yang cukup bermakna untuk saya. Segala nasihat, prinsip serta panduan hidup yang telah diterapkan oleh mereka kekal dalam minda dan sanubari saya hingga ke hari ini.

Dunia persekolahan saya sangat rumit dan mencabar. Sejak dari sekolah rendah lagi, saya tidak minat dan tidak suka setiap mata pelajaran di sekolah.
Keadaan yang sama berlarutan sehingga ke sekolah menengah.

PELAJAR MALAS, SEOLAH-OLAH DIPAKSA KE SEKOLAH

Saya dikenali sebagai seorang pelajar yang malas, nakal dan sering mengelakkan diri dari sebarang ujian dan peperiksaan. Saya selalu tidak fokus di dalam kelas, pergi ke sekolah seolah-olah dipaksa kerana saya tidak suka semua yang berkaitan dengan sekolah.

Oleh kerana itu, laluan untuk menduduki peperiksaan O-Level amat sukar dan harapan untuk berjaya sangat tipis. Saya mengambil keputusan untuk melanjutkan pelajaran ke ITE. Saya bersyukur kerana diterima untuk memasuki bidang Khidmat Servis Mekanikal di ITE Ang Mo Kio.

Setelah tamat NS, saya meneruskan perjalanan pembelajaran saya di Nitec Lanjutan, ITE Tampines untuk mencari peluang bagi melayakkan diri ke politeknik selepas itu.

Dalam masa yang sama, saya juga menzahirkan hasrat kepada ibu untuk bekerja sepenuh masa. Tujuan utama adalah untuk dapat sama-sama bantu ibu yang pada waktu itu. Beliau sudah menjadi ibu tunggal selepas penceraian. Saya ingin meringankan beban beliau dan membantu membayar yuran pembelajaran dan keperluan asas kami berdua.

Walau bagaimanapun, ibu tidak mengizinkan, sebaliknya beliau tidak putus asa untuk nasihatkan saya supaya beri tumpuan sepenuhnya kepada pelajaran dahulu.

ABAIKAN PELAJARAN, PENTINGKAN AKTIVITI SENI DI POLITEKNIK

Selepas dua tahun di ITE Tampines, pada usia 23 tahun, saya mendaftarkan diri untuk memasuki Politeknik Ngee Ann dalam bidang Kejuruteraan Mekanikal. Akibat selalu mengabaikan pelajaran, lebih mementingkan aktiviti seni dan sering terlibat dengan kegiatan-kegiatan dalam dan luar sekolah, saya mengambil masa enam tahun sebelum menamatkan kursus politeknik saya dan mendapat diploma.

Pada waktu itu, barulah saya sedar kesusahan yang perlu saya lalui secara fizikal, mental, emosi dan terutamanya kekecewaan kedua ibu bapa saya.

Seperti sudah terhantuk baru tengadah saya melihat semua rakan-rakan politeknik berjaya meraih diploma lebih awal daripada saya. Pada waktu itu jugalah, saya menyimpan hasrat untuk tidak mengulangi kesilapan yang lalu.

Selepas meraih diploma, pada usia 30 tahun, saya mula bertugas sebagai juruteknik pelatih dalam bidang penerbangan. Saya kemudian mendapat tahu bahawa syarikat di mana saya bertugas boleh menaja yuran pengajian secara penuh. Saya tidak melepaskan peluang tersebut dan terus melakukan proses pendaftaran di Kaplan Singapore.

SAMBUNG PENGAJIAN DALAM BIDANG BARU

Saya mengambil keputusan untuk belajar bidang logistik di peringkat ijazah. Logistik merupakan bidang yang baru bagi saya, saya ingin mendapatkan ilmu yang lain daripada bidang pekerjaan saya. Selain itu saya ingin mendapatkan pengalaman dalam bidang ini sambil melakar rancangan bagi masa hadapan saya.

Perjalanan ijazah saya penuh dengan kepayahan, kesukaran dan tekanan oleh kerana sudah lama meninggalkan dunia buku, nota, pelajaran dan pengajaran. Selepas selesai pengajian peringkat ijazah selama 16 bulan pada tahun 2020 di Kaplan Singapore, saya meneruskan pengajian dalam peringkat ijazah sarjana dalam jurusan perniagaan di institusi yang sama.

Pada tahun 2021, kelas ijazah sarjana saya bermula. Oleh kerana Singapura masih dilanda COVID-19 pada waktu itu, kesemua kelas saya dijalankan secara online. Antara cabarannya adalah tidak dapat berinteraksi dengan rakan-rakan sekelas secara fizikal.

Setiap semester saya perlu menduduki tiga modul pengajian dan tiga penilaian yang berbeza, ia merupakan tempoh yang amat singkat dan padat.

Apabila keadaan COVID-19 beransur pulih, kami diberi pilihan untuk ikuti pengajian secara hibrid. Saya akan pilih untuk hadiri kelas secara fizikal kerana saya inginkan suasana yang lebih mesra dan dekat dengan para pensyarah.

Sebagai seorang pekerja, pelajar dan bapa sekaligus, saya tahu saya harus bijak bahagikan masa, dengan pengalaman yang sudah saya lalui. Saya bertekad untuk tidak mengecewakan lagi kedua ibu bapa serta keluarga saya.

Disebabkan ini, saya lakukan apa sahaja untuk pastikan pelajaran saya tidak terganggu. Saya banyak membaca dan tingkatkan ilmu untuk perbaiki diri.

UBAH PEMIKIRAN, MENTALITI

Saya tukar cara pemikiran dan mentaliti saya. Saya atur strategi yang lebih kemas dan produktif untuk pastikan setiap latihan, ujian dan penilaian dilakukan lebih awal. Saya buat persediaan yang rapi supaya saya ada masa yang mencukupi untuk semak, kemas kini dan perbaiki penulisan saya. Saya banyak membaca dari perpustakaan digital yang sudah disediakan oleh Universiti Northumbria. Saya melibatkan diri secara aktif semasa kelas berlangsung, saya sering berbalas emel bersama tenaga pengajar untuk mendapatkan maklum balas mereka.

Setiap hari saya akan pastikan saya ulangkaji pelajaran, dengar semula audio atau cari bahan bacaan dan rujukan sekurang-kurangnya selama satu jam. Pada waktu sibuk, saya akan menghabiskan masa lebih kurang empat jam sehari untuk pembelajaran.
Saya akan lakukan ulangkaji selepas kedua-dua anak saya tidur. Setiap malam saya akan tidur antara tiga hingga lima jam sahaja.
Pengalaman dan kenangan meneruskan pengajian sehingga peringkat ijazah sarjana amat berharga untuk diri saya.

Memandangkan saya merupakan seorang pelajar yang malas di usia muda, saya berasa bangga di atas kejayaan dan pencapaian ini.

Dorongan, kata semangat dan usaha isteri dan anak-anak saya adalah sumber kekuatan saya. Saya ingin ucapkan terima kasih kepada mereka kerana sentiasa ada di sisi saya di masa susah, mencabar dan senang bersama. Semoga hari-hari mendatang kami sekeluarga menjadi lebih baik dari semalam.

MENGENAI PENULIS:
Mohammad Idris Ahmad Zaki, 43 tahun, merupakan penuntut ijazah sarjana Pentadbiran Perniagaan di Kaplan Singapore
dan Universiti Northumbria
Sumber : BERITA Mediacorp/ae
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan