Skip to main content

Iklan

Iklan

Nadi Kampus

Dahulu jual pakaian ‘preloved’ untuk cari duit; kini bertekad kembangkan perniagaan demi galak fesyen mampan

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Siapa sangka, apa yang awalnya dilakukan sekadar untuk mencari wang ketika sedang menuntut di universiti, kini menjadi perniagaan yang kian berkembang.

Malah, anak muda ini menyimpan impian yang lebih besar dalam mengelolakan perniagaan miliknya itu - untuk meningkatkan kesedaran orang ramai terhadap fesyen mampan.

Sejak dua tahun lalu, Arfian Mulyono giat menjual pakaian ‘preloved’ (atau terpakai) di platform TikTok LIVE.

Bermula dengan menjual pakaiannya sendiri demi mencari wang untuk menampung yuran tuisyen ketika menuntut di SIM, pemuda berusia 26 tahun ini kemudian menerima banyak permintaan daripada mereka yang sering menyaksikan beliau di TikTok LIVE untuk menyediakan khidmat menjual pakaian ‘preloved’ orang lain.

Ini dianggap sebagai titik permulaan tertubuhnya perniagaan mampannya, YonoWh?t.

Dari aneka jenis pakaian lengan pendek hingga ke pakaian sopan, YonoWh?t kini menjual pakaian terpakai di tiga saluran TikTok LIVE, di mana setiap saluran khususnya menjual satu jenis pakaian. TikTok LIVE tersebut dikendalikan dua kali setiap hari, kecuali Jumaat dan Ahad.

Ditanya mengenai sambutan yang diterimanya sejauh ini, mahasiswa SIM jurusan pemasaran tersebut berkongsi bahawa TikTok LIVE perniagaannya berhasil menarik sehingga 100 penonton secara purata bagi setiap sesi. Malah, jumlah penjualan tertinggi yang pernah dicapainya dalam sesebuah sesi mencecah empat angka.

s
Gambar: Syazwani Sanep/BERITA Mediacorp

Bagi Arfian, segala pengorbanan dalam usaha mengembangkan perniagaan YonoWh?t, yang selama ini dibina hasil titik peluhnya sendiri, ternyata membuahkan hasil.

Bahkan, ia sedikit sebanyak menyuntik semangat kepadanya, yang sebelum ini pernah meragui keputusan untuk mengendalikan perniagaannya sendiri selepas tamat pengajian. Ini memandangkan ramai rakan sebayanya, daripada jurusan yang sama di universiti, lazimnya memilih kerjaya korporat.

BELI PAKAIAN 'PRELOVED' SEBAB MURAH BUKAN KERANA AMALKAN KEMAMPANAN

Apabila ditanya mengenai tahap kesedaran para pelanggannya terhadap trend fesyen mampan, bekas penuntut Politeknik Nanyang itu berkata: "Fesyen mampan ini masih sesuatu yang ramai orang tidak tahu. Sebab mereka semua beli tanpa tahu ia fesyen mampan.

"Maksud saya ialah mereka beli baju ‘preloved’ sebab murah atau sebab lawa, boleh jimatkan wang mereka. Tetapi mereka tidak tahu beli baju fesyen mampan ini sebenarnya (kurangkan) kesan terhadap alam sekitar, boleh selamatkan alam sekitar," tambahnya.

Trend fesyen mampan semakin dianggap sebagai satu huraian yang berkesan dalam memastikan industri fesyen dewasa ini lebih mesra alam.

"Bagi perniagaan saya, saya jual barangan yang orang sumbang. Jadi, ia sebenarnya guna semula dan kitar semula, yang merendahkan jumlah buruh untuk bekerja atau sumber yang diperlukan untuk buat baju tetapi saya boleh dianggap (sebagai) jambatan, untuk kurangkan semua sumber yang digunakan," kata Arfian mengenai bagaimana perniagaan YonoWh?t menyumbang kepada usaha kemampanan itu.

Sekalipun akur peranan yang dimainkan YonoWh?t dalam menyokong usaha tersebut tampak kecil kesannya, Arfian tetap yakin ia berpotensi untuk mencetuskan impak yang lebih meluas.

Ini memandangkan beliau menyedari bahawa peranannya dalam pasaran ini bukan sekadar untuk menjual pakaian terpakai sahaja, tetapi juga memupuk kesedaran dalam kalangan pelanggannya tentang kesan pembelian pakaian sedemikian.

"Bagi perniagaan saya, atau sesiapa saja misalnya kedai ‘thrift’ atau perniagaan konsainan yang wujud, selain membuat duit, saya rasa tanggungjawab kami adalah untuk (tingkatkan kesedaran) mengenai fesyen mampan," tekannya.

TANAM TEKAD JADIKAN YONOWH?T PUSAT SEHENTI BAGI BARANGAN TERPAKAI

Menyingkap perjalanan dilaluinya untuk sampai ke tahap ini, Arfian meluahkan rasa syukur dan menganggapnya sebagai pembakar semangat untuk terus mengembangkan lagi perniagaannya serta menyebarkan mesej mengenai kemampanan.

"Saya ingin ia menjadi sebuah kedai, di mana semua barang ‘preloved’ saya ada. Maksudnya, ada kasut, ada aksesori, gelang-gelang ini semua. Dan itu barang ‘preloved’ yang murah. Saya pun harap saya boleh (jual) barang mewah juga," kongsi Arfian dengan penuh semangat.

"Sebab pokoknya, (berdasarkan) model perniagaan YonoWh?t saya, saya ingin jadi kedai sehenti bagi semua barangan ‘preloved’ yang ada di pasaran."

Sumber : BERITA Mediacorp/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan