Skip to main content

Nadi Kampus

'Cikgu' ini tinggalkan sektor pendidikan, kini cef di syarikat global

Anggaran Waktu Membaca:
'Cikgu' ini tinggalkan sektor pendidikan, kini cef di syarikat global

Insyirah bekerja sebagai cef di syarikat global, Sodexo. (Gambar: Afiqah Hussain/BERITA Mediacorp)

SINGAPURA: Ketika tunangnya disahkan menghidap leukemia, Insyirah Abdullah menyedari betapa rapuhnya hidup kerana apa sahaja - yang baik mahupun buruk - boleh menyapa tanpa diduga.

Peristiwa hitam itu juga mendorongnya untuk meninggalkan sektor pendidikan, meskipun ramai yang seusianya ketika itu sudahpun tamat pengajian dan mempunyai pekerjaan yang stabil.

Insyirah, yang sering disapa sebagai Syirah, memutuskan untuk mengorak langkah sebagai cef pastri.

Syirah bersama pasangannya.

"Saya pernah bekerja sebagai guru sambilan di sekolah rendah, tutor dan juga sebagai pendidik program pengayaan di mana saya mengajar pertuturan dan drama, gimnastik dan juga, seni," cerita Syirah.

"(Tapi) jika saya tidak mengejar minat saya sekarang, bila lagi? Saya menyedari hidup sangat singkat. Jika kita ada sebarang penyesalan, hidup itu akan sia-sia," ujarnya lagi, sebak.

Menurut Syirah, minatnya dalam bidang kek dan pastri mula berputik semasa beliau menuntut di Institut Millennia. Ketika itu, beliau ternampak beberapa buku resipi di perpustakaan sekolah lalu terpanggil untuk mencuba membuat kek walaupun peperiksaan belum tamat.

Salah satu kek pertama yang beliau buat adalah kek marble oren. 

"Arwah ayah saya menemani saya ke pasar raya untuk membeli bahan-bahannya. Apabila ia masih dalam ketuhar, beliau datang dan kata... baunya sedap. Bila beliau makan, beliau katakan saya pandai buat kek. Itu satu detik yang tidak dapat saya lupakan," kata Syirah. 

"Saya menyedari bagaimana perkara kecil boleh membuat seseorang gembira. Ia benar-benar meninggalkan kesan."

Syirah bersama ibu bapanya.

KINI CEF DI SYARIKAT GLOBAL 

Sebagai permulaan, Syirah mendaftarkan diri dalam kursus pembuatan kek dan pastri di At-Sunrice Global Chef Academy.

Kursus itu berlangsung selama 18 bulan, dengan tempoh setahun di sekolah manakala enam bulan selebihnya diperuntukkan untuk latihan amali. Syirah berpeluang menjalani latihan amali di Hotel Shangri-La.

Kopitiam-misu oleh Cef Syirah.

"Kenapa pastri? Sebab saya terpikat kepada bagaimana mereka menggabungkan seni dengan sains. Jadi apabila membuat kek dan pastri, anda perlu ada kemahiran asas untuk memahami apa yang akan terjadi jika anda campur dua bahan berbeza, dan pada suhu tertentu. Saya suka bahagian ini dan saya juga menikmati proses kreatifnya," jelas Syirah lagi kepada kru Nadi Kampus. 

Sepanjang enam tahun selepas menamatkan kursus di At-Sunrice Global Chef Academy, Syirah berpeluang bekerja di beberapa hotel, restoran dan kedai kek.

Bandung mousse oleh Cef Syirah.
Beliau kemudian berhasrat untuk mencuba persekitaran berbeza seperti katering - suatu peluang yang segera direbut apabila diterima bekerja di Sodexo, sebuah syarikat global yang antara lain menawarkan khidmat katering.

"Saya suka bekerja di Sodexo kerana mereka memberi peluang sama rata kepada semua. Mereka juga mendorong kami untuk mempertingkat diri, secara peribadi mahupun profesional," tambah Syirah yang kini berusia 35 tahun. 

MENANG PERTANDINGAN, SUKA SUNTIK ELEMEN TRADISIONAL 

Salah satu cara Sodexo mendorong para pekerjanya mempertingkat diri adalah dengan mengadakan pertandingan. Syirah sendiri sudah mengambil bahagian dalam dua pertandingan. 

"Yang terakhir ialah cabaran yang dipanggil SG60 Oma-Kaki. Kami perlu menyiapkan menu yang meraikan cita rasa tempatan tetapi dengan sentuhan moden," kongsi Syirah. 

Cabaran Oma-Kaki anjuran Sodexo.
Beliau tanpa disangka-sangka dinobat juara. Menu yang disiapkan terdiri daripada ikan kukus ala botok-botok yang dihidangkan dengan keledek dan asam laksa, nasi lemak kerabu, kari kacang kuda dan bayam, salad 'kerabu' dan pau cendawan tiram disalut sos ketam cili dan mayonis telur masin. 

"Menu yang saya siapkan itu dihidangkan di hospital tempatan, pejabat-pejabat korporat dan juga di sekolah antarabangsa," kata Syirah. 

Jelas, cef muda ini gemar menjalankan 'eksperimen' yang menggabungkan elemen tradisional dengan modern. 

Bagi pastri sahaja, Syirah sudah menghasilkan Teh Tarik Crème Brûlée, Bandung Mousse, Putri Salat Cheesecake dan Kopitiam-misu. Unik bukan? 

Puteri salat cheesecake oleh Cef Syirah.

TIDAK PERNAH KESAL TINGGALKAN SEKTOR PENDIDIKAN

Kru Nadi Kampus kemudian bertanya kepada Syirah sama ada beliau pernah menyesali keputusan meninggalkan sektor pendidikan. Syirah pantas berkata "tidak", tetapi menegaskan bahawa beliau tetap suka mengajar.

"Semasa saya dapat membimbing murid-murid saya, saya rasa sangat berpuas hati. Kalau boleh, pada masa akan datang, saya ingin berkongsi pula kemahiran membuat pastri dengan orang lain," terang Syirah.

"Itu matlamat utama saya."

Syirah bersama keluarganya.

Apa pun, Syirah sudah menunjukkan keberanian besar untuk menukar kerjaya dalam bidang yang sangat berbeza daripada apa yang awalnya diceburi. Beliau kini berharap mereka yang ingin berbuat demikian tidak menghambat diri sendiri.

"Tentukan laluan anda sendiri. Jangan terlalu bimbang atau terlalu fikirkan apa yang dilakukan orang lain kerana ini perjalanan anda. Sentiasa cari peluang untuk belajar juga," nasihatnya.

Syirah bersama suaminya.

Oh ya... bagi mereka yang tertanya-tanya tentang tunang yang mendorong Syirah menukar kerjaya, beliau sudahpun bergelar suaminya. 

"Alhamdulillah, beliau sihat sekarang. Dan ya, beliau selalu makan pastri dan kek saya," seloroh Cef Syirah. 

Sumber : BERITA Mediacorp/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita