Skip to main content

Iklan

Iklan

Nadi Kampus

Cerpen: Topeng Ceriaku

Anggaran Waktu Membaca:
Cerpen: Topeng Ceriaku

Gambar hiasan. (Gambar: John Noonan/Unsplash)

SEKOLAH

BEEP, BEEP, BEEP...
 
Jamku berdering menunjukkan pukul enam pagi, masa untuk aku bangun dan menyiapkan diri sebelum ke sekolah. Kelopak mataku berdegil. Aku tiada kudrat untuk memikul beratnya kelopak mataku. 

Apa tidak, tidur pada jam dua pagi sudah menjadi tabiat seharianku. Sepanjang malam, aku kehilangan dalam kotak fikiranku sendiri. Aku cuba mengingati kenangan-kenangan manis ketika aku masih mampu menghargai perasaan. Alangkah baiknya jika aku dapat menikmati perasaan-perasaan yang memanusiakan aku.

“Ceria ataupun tenang? Aku pilih cerialah hari ni,” sambil aku memilih topeng untuk dipakai ke sekolah. 

100m..80m..60m.. Semakin aku mendekati pintu pagar sekolah, aku semakin gementar. 

Sejak kebelakangan ini, walaupun aku sudah biasa dengan rutin setiap pagi, aku tetap ragu-ragu dalam setiap tindak gerakku.

“Ingat, hari ini kau ceria. Tidak kurang, tidak lebih. Tiada sesiapa yang akan tahu," topeng itu aku ikat dengan rapi.

KESEORANGAN

Tidak pernahku sangka pengalaman bersekolah begitu memenatkan. Hari yang dilalui terasa lebih panjang. Aku tidak tahu betapa lama lagi aku dapat hidup sebegini. Perasaan yang aku pendam selama ini semakin lama, sukar dikawal. 

Ketika aku membuka topeng ceriaku, aku ternampak sedikit keretakan padanya. Setelah sepanjang hari bersekolah, akhirnya aku kembali sebagai ‘Aku’. Senyuman yang terukir mula pudar dan digantikan dengan air mata yang berkumpul di kelopak mata. 

“Tidak. Aku tidak boleh begini. Aku mesti kuat menghadapi kehidupan ini,” kataku kepada cermin.

“HAH, KAU LEMAH! Jangan cuba berpura-puralah. Aku tahu kau ni sebenarnya lemah. Sebab itu, tiada sesiapa yang mahu menolong kau,” ejekan yang memenuhi sekelilingku semakin kuat, bermain-main di fikiran. 

“DIAM! KAU HANYA REKAAN IMAGINASI! KAU TIDAK WUJUD!” 

Badanku dipeluk erat sambil menutupi telinga. 

“Aku kuat, aku kuat, aku kuat!”

Aku masih perlu meneruskan kehidupan. Satu malam aku mempertahankan pendirianku itu. Aku tidak boleh berterusan mendengar kata-katanya. Aku mesti hidup. Aku masih bertekad untuk hidup. 

BEEP, BEEP, BEEP... 

Kelembutan tabir sutera yang menguliti tubuhku aku selak dengan perlahan, topeng ceria ku sarung di kepala. Sinar gembira mengerlip kembali di wajahku. Walaupun ada retakan yang terpapar, topeng  itu masih berfungsi. Aku berharap tiada sesiapa yang dapat melihat retakan itu. 

Di kelas, aku hanya melihat kelibat seorang wanita yang bergerak ke kanan ke kiri- mungkin dia sedang menari, ataupun menyanyi? Aku kurang pasti. Aku tidak mahu meluangkan masa rehat dengan rakan-rakanku, dan lebih suka bersendirian.

Beban ini terlalu berat untuk dikongsi bersama orang lain. Lebih senang bagi aku kalau aku hadapi segalanya bersendirian, kerana aku dibesarkan supaya tidak menyusahkan orang lain. Ah, aku rasa kenyang, walaupun belum makan satu hari. 

Peperiksaan semakin dekat, tetapi daya untuk melakukan yang terbaik sudah tiada. Bagaimanakah dapatku menjalani kehidupan? Aku sendiri buntu. Keyakinan diri yang ada selama ini juga semakin pudar, semuanya digantikan dengan emosi palsu. 

CERMIN

Aku tidak faham bagaimana ramai dapat melihat diri mereka dalam cermin dan tidak membenci apa yang dilihat mereka. Kebencianku terhadap cermin semakin bertambah. Aku benci melihat mukaku di cermin. MELUAT!

Titisan air mata jernih akhirnya jatuh berderai ke pipi. 

“Tuhan? Mengapakah aku begini? Aku tidak mahu rasa begini lagi. Hentikanlah. Tolonglah. Aku menderita.”

Pernah rasa seperti terjatuh dalam jurang dalam yang tak bertepian! Itulah situasi yang sedang aku lalui. Inilah suatu perasaan yang aku tidak mahu rasai. Rasanya seperti tiada yang dapat menolong aku keluar dari keadaan ini. Tetapi aku mahu berubah, aku tidak suka diriku begini. 

“Oh, sedihnya kau nangis! Memang bagus kau nangis keseorangan. Tiada sesiapapun yang mahu tolong. Kau cubalah lemaskan diri, kerana tiada sesiapapun yang akan merindui kehilangankau.”

Suara itu datang kembali.
Namun, aku juga tidak dapat menolong diriku sendiri. Air mataku seakan-akan mencekik dan cuba melemaskan diriku yang lemah. Pernafasanku disekat. Tolongggggg….. 

“Eri? Eri ok tak? Sejak kebelakangan ini, Eri bukan seperti biasa. Dulu Eri ceria tetapi sekarang, Eri selalu bersendirian. Bukan apa, Cikgu cuma risau kalau keperibadian dan pelajaran Eri turut terjejas,” kata suara yang membawa aku semula kepada realiti. 

Aku memegang mukaku dengan tangan bergetar dan mula sedar.

“Oh, topeng ceria sudah hancur.”

Air mata yang cuba ditahan selama ini, akhirnya mengalir tanpa henti. Sudah lama aku tidak menangis. Buat pertama kali, aku bersyukur. Akhirnya aku dapat mengeluarkan emosi yang terpendam - kesedihan, kemarahan, segala emosi negatif. 

Cikgu memegang tanganku sebelum menyambung, 
“Eri, Eri tak perlu pura-pura ceria setiap masa. Tak mengapa kalau Eri tak rasa ceria. Eri, sebagai manusia, Eri boleh minta tolong, Eri tahu kan?”

Pelik bukan? Apa yang diperlukan selama ini adalah untuk seseorang menyedari situasi yang ku hadapi.

Akhirnya, ada tangan yang dihulurkan untuk aku keluar dari jurangku, dan aku menyambutnya. 

Sejak aku menerima pertolongan, serpihan topeng yang berada di tanganku mula hilang. Aku juga mula mengimbas kembali peristiwa yang berlaku sejak aku sembunyi di belakang topeng itu. Tanpa disedari, aku telah menolak segala interaksi yang tidak diperlukan sesama manusia. 

Itu semua peristiwa dahulu. Semuanya belum pulih seratus peratus dan aku rasa ia tidak akan kembali seperti dahulu. Walau bagaimanapun, aku telah cuba berubah sedikit demi sedikit - persahabatan baru telah dicipta dan aku lebih terbuka dengan perasaanku. 

Aku yakin kali ini, walau apapun yang dihadapi, aku tidak akan keseorangan dan itu merupakan perkara yang memotivasikan diriku untuk terus hidup. Untuk orang di sekelilingku dan yang paling penting, untuk diriku, aku pecahkan topeng itu. 

CETUSAN KARYA:
Cerpen ini adalah sentuhan ilham Iman Nurdini Binte Azhman dari Maktab Rendah Tampines Meridian.

Sumber : BERITA Mediacorp/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan