Skip to main content

Nadi Kampus

CERPEN: 'Sukan Untuk Semua'

Anggaran Waktu Membaca:
Amin sedang mengemas biliknya. Ketika menyapu rak yang berdebu, matanya tertumpu pada sekeping gambar yang terselit di belakang sekumpulan trofi. Dia menggapainya, menyeka habuk di kaca bingkai gambar itu. Gambar yang merakam saat tangannya menjulang pingat emas tinggi ke udara sewaktu Sukan SEA. Gambar kemenangan itu mengingatkannya kepada tiap keringat yang mengalir serta pengorbanannya dalam sukan yang menjadi nadinya. Ketika dia memegang gambar itu, dia tidak dapat menahan senyuman.

Amin termenung seketika, teringatkan zaman kanak-kanaknya ketika dia kerap bermain bola sepak di padang berhampiran blok HDB mereka di Aljunied. Setiap petang, dia akan berusaha untuk menjaringkan gol selaku penyerang utama. Dia merasai kebanggaan setiap kali bola melepasi penjaga gawang.

Walau bagaimanapun, Amin melangkah ke sekolah menengah dengan cita rasa yang baharu. Dia teruja untuk mencuba badminton pula. Meskipun dia tiada pengalaman, dia mendaftarkan diri untuk sesi percubaan CCA badminton. Pada sesi itu, hatinya berdebar-debar. Di dewan sukan, dia cuba bermain sebaik mungkin. Setelah sesi berakhir, dia sangsi dengan kelayakannya untuk CCA itu. Namun, dia tetap bangga kerana telah berani mencuba sesuatu yang baharu.
Gambar hiasan: iStock
Apabila keputusan sesi percubaan tersebut diumumkan, Amin tenggelam dalam euforia. Namanya tertera dalam senarai pelajar yang terpilih. Dia hampir tidak percaya. Rasa bangga dan kegembiraan memenuhi dirinya. Dia teringat kembali saat-saat dia meragui kemampuannya, tetapi kini, dia berjaya melangkah ke tahap yang lebih tinggi. Amin tahu bahawa ini merupakan suatu permulaan yang bakal diiringi bermacam-macam cabaran.

Pada hari pertama latihan, Amin bersemangat waja ke gelanggang, tetapi sebaik sahaja dia melihat rakan-rakan sepasukannya yang lebih berpengalaman, rasa cemas mula menyelinap ke sanubarinya. Latihan bermula, dan Amin segera sedar bahawa dia jauh ketinggalan berbanding dengan mereka. Gerakannya kelihatan lambat, pukulannya kurang bertenaga dan tidak tepat, dan sudah banyak kali dia terlepas membalas pukulan rakannya. Dia yakin dialah pemain terlemah dalam pasukan, dan perasaan malu mula menjalar dalam dirinya. Namun, walaupun perasaan itu mencengkam, dia akur dia tidak wajar patah semangat.

Amin berlatih dengan lebih tekun, mengorbankan masa setiap hari untuk memperbaik gerak kakinya. Dia berazam meningkatkan ketangkasannya selain menjaga pemakanan dengan lebih serius. Dia tahu kepentingan untuk memastikan tubuhnya mendapat zat yang diperlukan untuk kekal lasak dan bertenaga. Namun, cabaran terbesar timbul apabila dia pulang ke rumah selepas latihan.

Sebagai anak sulung, dia sering membantu ibu dan ayahnya menguruskan rumah, menyelesaikan kerja rumah, dan menjaga adik-adiknya. Walaupun kadang-kadang dia letih, Amin tidak pernah mengeluh. Dia tahu bahawa tanggungjawab terhadap keluarga adalah penting. Setiap malam selepas membantu keluarganya, Amin pasti meluangkan sedikit masa untuk berlatih lagi.

Lima bulan berlalu, dan latihan Amin semakin intensif. Dia kini lebih cekap dengan gerak kakinya dan pukulan bulu tangkis semakin mantap. Setelah berbulan-bulan berlatih dengan giat, hari yang dinantikan tiba — Sukan Sekolah Nasional (NSG). Hati Amin menari-nari antara harapan dan ketakutan. Dia tahu perjalanan ini bukanlah mudah, tetapi dia bersedia. Walaupun gementar, dia mengingatkan dirinya sendiri tentang segala usaha daripada jurulatih, rakan-rakan dan juga dirinya semasa latihan keras setiap hari. Tidak mungkin dia akan mensia-siakan penjagaan diet yang begitu teliti dan kadangkala merimaskan. Inilah peluangnya untuk membuktikan kemampuannya. Dengan tekad yang kukuh, dia menjejakkan kaki ke gelanggang. Dia mesti memberikan yang terbaik dalam pertandingan pertamanya.

Permainan telah sampai ke titik yang sangat genting. Setelah bermain dengan penuh semangat sepanjang perlawanan, Amin kini berada di separuh akhir sebagai pemain perseorangan. Kedudukan mata dius 20-20 menyebelahi pihak lawan, kerana sudah tiba giliran lawannya untuk melakukan pukulan servis.
Gambar hiasan: iStock
Getaran jantungnya sekuat guntur di langit. Ketika lawannya menyajikan bulu tangkis itu, Amin tahu dia harus memberikan segala-galanya. Lawannya memberikan pukulan lob. Dengan penuh fokus, Amin melompat dan memberikan smesy depan yang kuat. Namun, bulu tangkis itu terbang terlalu rendah dan terkena pada jaring. Dunia Amin terasa seperti telah runtuh buat seketika. Amin berdiri di tengah-tengah gelanggang, penuh kecewa. Pasukan badminton sekolah sudah hampir mencapai impian mereka untuk menjadi johan NSG badminton tetapi kesilapannya telah meragut peluang itu. Amin menundukkan kepalanya, menatap lantai dengan penuh penyesalan. Dengan langkah berat, Amin pulang. Setiap langkah yang diambilnya terasa lambat dan penuh beban, seakan-akan setiap langkah itu mengingatkannya pada kegagalannya sendiri.

Sebaik sahaja dia melangkah masuk ke dalam rumah, satu lagi suasana tegang menyambutnya. Ibu kelihatan pucat, dan Ayah duduk di bangku rotan dengan wajah serius.

"Ibu disahkan menghidap kanser limfoma," kata Ibu dengan suara yang lembut. Amin tergamam. Rasa kecewa dengan kekalahan di gelanggang awal tadi belum sempat lenyap, kini ditambah pula dengan perasaan risau. Dia kekal tabah hati.

Enam tahun berlalu. Amin tidak pernah berhenti memasang tekad untuk cemerlang dalam sukan badminton biarpun di peringkat pascamenengah. Namanya semakin dikenali dalam arena sukan badminton di Singapura. Amin bermain untuk kelab nasional. Akhirnya, dia terpilih untuk mewakili negara dalam Sukan SEA. Namun, kebahagiaan itu tercalar dengan berita bahawa kesihatan ibu Amin semakin merosot. Kanser yang dihidapi semakin merebak dan kini, hanya satu cara untuk menyelamatkannya iaitu rawatan radioterapi yang lebih agresif.

Amin berdepan dengan dilema besar. Di satu sisi, Sport Singapore menawarkannya kesempatan untuk mewakili negara dan beraksi di Sukan SEA. Peluang keemasan seperti ini tidak datang bergolek, mungkin sekali dalam seumur hidup. Namun di sisi lain, ibunya memerlukan rawatan radioterapi segera untuk terus bertahan. Dia tahu, jika dia menang, kemenangan itu bukan hanya untuk dirinya tetapi untuk ibunya juga. Hadiah wang tunai dari kejohanan ini akan menjadi harapan utama bagi membayar kos radioterapi yang sangat tinggi. Setiap pukulan yang dilakukan di gelanggang menjadi lebih berharga dan bermakna. Segalanya buat ibu tercinta. Setiap perlawanan itu berupa perjuangan untuk menyelamatkan ibu, insan terpenting dalam hidupnya.

Amin melangkah ke peringkat akhir Sukan SEA dengan semangat yang membara, selepas berjaya memenangi setiap perlawanan sebelumnya. Namun, setelah mengalami kekalahan dalam set pertama, Amin tidak dapat mengawal emosi. Pada ketika itulah, jurulatih pasukan badminton negara memberikan kata-kata dorongan.

"Ingat, Amin! Banyak yang sedang dipertaruhkan dalam perlawanan akhir ini," kata jurulatihnya dengan penuh tegas. "Bermainlah seolah-olah buat kali terakhirnya. Buat semua yang telah mendukung kamu, buat negara kita!" kata-kata itu mencetuskan semangat kental Amin. Ya, ini lebih daripada sekadar perlawanan peribadi. Dia bukan hanya berjuang untuk keluarganya tetapi untuk impian negara. Dengan tekad baharu, Amin bangkit untuk berjuang habis-habisan dalam set kedua.

Pengalaman enam tahun lalu semasa NSG berulang dalam ingatan Amin – satu set lagi untuk menentukan segalanya. Keadaan sangat tegang. Lawannya dari Indonesia memberikan pukulan lob, lantas memberi ruang kepada Amin untuk menyerang. Dengan penuh keyakinan, Amin melompat dan memberi suatu pukulan smesy yang keras. Bulu tangkis meluncur dengan pantas, mengenai tepat pada lengan lawannya, lalu jatuh ke lantai. Perlawanan berakhir! Amin tersungkur jatuh di gelanggang, nafasnya dihirup dalam-dalam. Tubuhnya menggigil-gigil. Air matanya mengalir deras. Kegembiraannya tidak dapat ditahan lagi. Dia telah menang! Sorakan para penyokong memenuhi suasana di stadium sukan tertutup itu. Hatinya terasa ringan dan penuh dengan kebanggaan.
Gambar hiasan: iStock
Amin berdiri di atas podium pemenang. Dia mengangkat tangan dan menyanyikan lagu ‘Majulah Singapura’. Suaranya penuh dengan rasa cinta kepada negara. Setiap nota yang dia nyanyikan mengingatkannya akan perjuangan dan pengorbanannya, serta semua yang telah dia lalui untuk sampai ke saat itu. Dengan kemenangan itu, Amin berjaya menampung kos rawatan ibu tercinta. Ia menjentik harapan baharu kepada keluarganya.

Kilas balik itu berhenti. Amin kembali ke realiti lalu terus mengemas. Setelah bertahun-tahun berlalu, Amin akhirnya memasuki lingkungan usia 30-an tahun. Waktu telah membentuknya menjadi seseorang yang lebih dewasa dan matang. Beban yang selama ini menekan dadanya perlahan terangkat. Meski perjalanan hidupnya tidak mudah, dia tahu satu hal. Dialah atlet Singapura. Dialah yang menjadikan impian Singapura suatu realiti. Tiada siapa yang boleh mengubah hakikat ini.

CETUSAN KARYA:
Cerpen ini adalah sentuhan ilham Naressh Bala Murugan, pelajar Menengah 2 dari Sekolah Menengah Westwood.

Beliau merupakan pemenang tempat ketiga dalam pertandingan penulisan cerpen Bisikan Pena bagi peringkat sekolah menengah, anjuran Persatuan Bahasa Melayu Universiti Kebangsaan Singapura (PBMUKS). Tema pertandingan cerpen tersebut adalah 'Impian Negara'.
Sumber : BERITA Mediacorp/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita