Skip to main content

Iklan

Iklan

Nadi Kampus

CERPEN: Nikmat Dua Dunia

Anggaran Waktu Membaca:
“Cita-cita Afril nak jadi apa?” tanya Puan Sumaiyah kepada Afril yang berusia sebelas tahun.

“Saya nak jadi doktor, Cikgu. Mesti jadi doktor. Mesti mendapat duit yang banyak. Mesti,” balas Afril sambil cuba menurunkan lengan bajunya untuk menyembunyikan barisan merah di tapak tangannya itu.

Puan Sumaiyah kekeliruan. Beberapa hari yang lalu, apabila Afril disuruh oleh pihak sekolah untuk menghadiri sesi kaunseling, Afril tidaklah begitu janggal dan kekok. Malah, Afril rela menjawab semua soalan yang diajukan dengan ramahnya.

“Bukankah Afril beritahu Cikgu yang Afril mahu menjadi pelakon terbaik di rantau Asia ini? Afril, ada sesuatu yang Afril ingin beritahu Cikgu?” kata Puan Sumaiyah dengan nada yang penuh kasih sayang dan kelembutan.

“Urmmm…Urghhh…”
Afril bergegas keluar dari ruang keselesaannya sambil menitiskan air mata jernih yang mencerminkan sebak di hati apabila teringat peristiwa semalam.

“Apa kau cakap? Cakap sekali lagi” cabar Ayah Afril dengan intonasi suara yang semakin meningkat.
Afril, yang sudah biasa dengan perangai ayahnya hanya mampu mendiamkan diri. Dengan sekelip mata, lima jari hinggap ke pipinya. Afril kebingungan dan terjatuh, menghentakkan kepalanya ke atas meja makan. Ayahnya lantas mengambil rotan. Tanpa menghiraukan rayuan Afril untuk berhenti, tapak tangan Afril terus disebat berkali-kali.

“Aku nak kau jadi seorang doktor. Tak pedulilah apa yang kau nak! Apa yang kau nak itu tak realistik! Bodoh! Dah bersusah-payah aku hantar kau pergi sekolah dan kau nak jadi seorang pelakon?! Singapura tidak perlukan pelakon dan sekiranya engkau dapat menjadi pelakon, engkau nak makan apa? Jangan jadi badut, boleh tak! Aku ni Ayah kau! Kau patuh cakap aku dan taat bulat-bulat sebab satu hari nanti kau akan berterima kasih…”

Malam itu, Afril tidak lagi bermimpi. Tidak lagi mahu berimpian. Tiada gunanya mengharapkan sesuatu yang tentunya tidak akan terjadi. Dia berjanji kepada dirinya untuk bertungkus lumus menjadi seorang doktor. Sebabnya dia tidak perlu tahu atau perincikan kerana Ayah lebih tahu. Ayah tidak salah. Afril cuma harus ikut sahaja.

Sambil memegang surat permohonan fakulti perubatan di NUS, Afril memberikan salam kepada guru lamanya itu. Puan Sumaiyah tersenyum kecil melihat mantan pelajarnya yang semakin dewasa dan rasa bangga dengan pencapaian anak muridnya.
“Afril! Sudah lama tidak berjumpa ya! Dah bujang pun… Apa hajat Afril kemari?” tanya Puan Sumaiyah. Matanya tertumpu pada wajah Afril.

“Alhamdulillah saya sihat walafiat. Cikgu apa khabar? Saya datang ke sini untuk meminta pertolongan Cikgu menuliskan surat rujukan untuk membantu portfolio saya,” jawab Afril dengan nada yang perlahan.

“Oh, tentunya boleh! Jangan risau. Nanti Cikgu usahakan dan akan hantarkan kepada awak melalui e-mel. Afril ini Cikgu sekadar hendak memberikan nasihat sahaja dan Cikgu harap Afril berfikir masak-masak dahulu sebelum mengambil keputusan. Dalam memilih kerjaya, perlu lahir daripada keinginan dan cinta mendalam seseorang itu untuk melakukan kerjanya. Jika tidak, setiap hari merupakan beban kepada dirinya sendiri dan dalam jangka masa panjang, seseorang itu akan menghadapi krisis dalaman. Cikgu cuma ingin Afril sedar yang cita-cita Afril tidak perlu dikorbankan semata-mata mencari kebendaan dunia,” nasihat Cikgu Sumaiyah, dengan harapan yang anak berusia 11 tahun itu masih kekal dalam diri Afril.

Afril tetap meneruskan pengajiannya sebagai seorang doktor. Setiap hari merupakan cabaran yang baharu dan hari demi hari, Afril dapat merasakan semangat jiwanya yang semakin merosot. Pesakit yang dihadapinya merupakan beban dan dia tidak dapat merasakan kepuasan yang selama ini dicarinya. Afril pernah terfikir untuk menulis surat kepada adiknya dan mengambil pil tidur dengan tujuan untuk menghabiskan riwayat hidupnya.

Adakah ini peluang untuk bebas daripada menjadi seseorang yang tidak mampu membuat pemilihan sendiri? Adakah Afril menjadi pengecut? Atau mencari jawapan di sebalik kehidupannya yang tidak akan pernah mencukupi? Benak fikirannya dibelenggu pelbagai soalan.

Afril tersedar dari lamunannya. Dia melihat seorang gadis kecil yang sedang menuju ke arahnya. Gadis itu yang memakai gaun pesakit hospital berloncat gembira sambil tersenyum lebar.

“Boleh Abang bantu?” tanya Afril dengan nada separuh mati.

“Abang, ikut saya boleh? Saya nanti kena pergi wad kanak-kanak…tak tahulah mana,” jelas gadis misteri ini dengan penuh kemanisan.

Nak tak nak, Afril terpaksa mengikuti kehendak pesakit, dan dengan keluhan di hati, Afril melayankan si manja.

Afril terpegun melihat doktor yang bekerja dalam wad pediatrik ini. Ada yang berjenaka dan tertawa riang, ada pula yang berpakaian seperti badut dan yang paling aneh ialah ketua doktor yang menceritakan cerita dongeng lama dengan menggunakan boneka kecil.

Sejurus itu Afril sedar yang mereka melakukan kesemua ini semata-mata untuk menghiburkan kanak-kanak kecil dan mengalihkan perhatian mereka daripada pasrahnya realiti sebenar. Dunia rekaan mereka harus dilindungi dan mungkin dengan membahagiakan kanak-kanak kecil, para doktor mendapat kepuasan yang lebih memberangsangkan.

Mungkin inilah jurusan untuk Afril. Mungkin inilah tujuan kehidupan yang dicari-cari.

Gadis itu lantas mengisyaratkan Afril untuk bercerita kepada kanak-kanak di situ.

Tembok hatinya yang umpama lapisan konkrit yang diperkuat dengan besi mula menunjukkan retak.

Impiannya yang telah lama diketepikan, kini membara kembali. Afril dengan sedia rela mengambil alih dan mula menceritakan kepada sekumpulan kanak-kanak kecil, cerita teladan tersendirinya yang menerangkan kepentingan menanam impian.

Tanpa disedarinya, Afril tersenyum lebar. Afril yang beria-ia menghiburkan para hadirin. Unsur-unsur lakonan yang dipelajarinya secara senyap-senyap dahulu kini dipraktikkan dengan penuh berkesan.

Pada akhir cerita Afril, satu tepukan gemuruh diberikan oleh hadirin, dan ini mencetuskan Afril untuk membuat pilihan. Tidak kiralah pentas ini kecil, tetapi apa yang penting bagi dirinya ialah Afril berjaya menghiburkan penonton.

Afril ingin menyentuh hati penontonnya dan inilah peluang untuk impiannya menjadi sebuah kenyataan.

Lebih-lebih lagi Afril kini mendapat kepuasan dalam memperkuat semangat kanak-kanak kecil. Afril berjumpa dengan ketua doktor dan menerangkan keinginannya untuk berpindah ke jurusan pediatrik, dan mulai Isnin hadapan, Afril akan bekerja di sini.

Apabila Afril kembali untuk berterima kasih kepada gadis kecil itu, Afril diberitahu yang tiada gadis yang didaftarkan ke wad kanak-kanak. Afril kekeliruan tetapi tidak menyoalkan peristiwa ini. Apa yang Afril pasti ialah gadis itu telah menyelamatkannya daripada terus berkonflik dengan dirinya sendiri.

Secara sukarela, Afril memutuskan untuk melengkapkan bilik kanak-kanak dengan pelbagai buku cerita dan permainan, dan menggunakan waktu lapangnya untuk menghiburkan kanak-kanak yang menjalani rawatan di sini.

Afril tersenyum kecil memikirkan nasihat ayahnya.

Dengan memasang bola merah kecil di hidungnya untuk persembahan sebentar lagi, Afril sekali gus berterima kasih kepada ayah yang secara sengaja atau tidak, memberikan ruang untuk Afril mengejar kedua-dua perjalanan ini.

CETUSAN KARYA:
Cerpen ini adalah sentuhan ilham Muhammad Hazwani Danish Bin Mohammed Nafis dari Institusi Raffles (RI).
Sumber : BERITA Mediacorp//fa
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan