Skip to main content

Iklan

Iklan

Nadi Kampus

Cerpen: Guru Pemandu Teksi

Anggaran Waktu Membaca:

11.00 malam, Marina Bay Cruise Centre. 

Telefon bimbitku sudah lama mati. Kasut kerjaku yang terlalu ketat menyebabkan aku merintih kesakitan. Sudah berdiri beberapa jam lamanya, bilakah dapat aku akhirnya duduk dalam ketenteraman teksi yang berhawa dingin?

Teksi dengan nombor plat SXH-7893D akhirnya masuk ke medan pandanganku. Mujur, aku dapat mendengar nombor plat teksi yang aku telah tempah sebelum panggilan aku terputus akibat bateri telefon bimbit yang kehabisan.

Sebaik-baik sahaja teksi berhenti di hadapan aku, aku membuka pintu dan menghenyakkan diriku di tempat duduk belakang. 

“Baru habis kerja, ya? Apa khabar?” Pemandu teksi menegur.

“Erm… Baik sahaja, Tuan yang dihormati.” Aku berseloroh. Entah kenapa aku tidak menjawab soalannya yang pertama. Tetapi aku rasa aku jelas baru habis kerja,  jadi, tiada guna menjawabnya. 

Aku meneliti wajah pemandu teksi yang peramah itu. Kemudian meneliti namanya yang tertera di skrin papan pemuka. Encik Selvarajan S/O Parab Vijay. Aku tidak dapat elakkan daripada perasaan ingin tahu tentang bagaimana dia begitu fasih bertutur dalam bahasa Melayu. Namun aku bungkam saja. 

“Masih sekolah?” 

“Di maktab rendah.”

Teksi mula bergerak keluar dari kawasan Marina Bay. Kelihatan bangunan pencakar langit berkelap-kelip tidak jauh dari sini, di pusat bandar ini. Pada masa itu, aku begitu lelah tetapi masih teruja dengan pemandangan yang menakjubkan ini. Kami semakin dekat dengan bangunan-bangunan tersebut. 

“Jadi, awak kerja separuh masa, buat apa?”

“Nak lebih wang saku untuk belanja. Saya tak nak bebankan ibu bapa saya.”

“Oh… baiklah gitu. Jadi bila dah habis sekolah nak jadi apa?”

“Penterjemah di kementerian.”

Teksi membelok lalu memasuki lebuh raya. Dada langit dicemari dengan lampu daripada pencakar langit yang berkelap-kelip. Aku menoleh untuk melihat pemandangan pusat bandar kali terakhir sebelum hanya memandang ke hadapan. 

“Wah! Macam dah dapat kerja kat situ pulak. Mesti fleksibel sikit.”

Suaraku tersekat-sekat – tidak menjangka pun reaksi tersebut daripada Encik Selvarajan.

Dari sekolah rendah lagi, aku meminati pembelajaran bahasa. Tatabahasa, perbendaharaan kata, aku boleh menelaah bidang ini berjam-jam. Siapakah pemandu teksi tersebut yang berhak untuk berkata sebegitu?

“Saya meminati pembelajaran bahasa. Salah ke saya mempunyai impian untjuk menceburi bidang bahasa?” Aku berterus-terang. Memang aku telus orangnya. Kalau seseorang mencabar, walaupun lebih dewasa dan berpengalaman, aku akan menegakkan pendirianku. Aku rasa ciri itu kedua-duanya madu dan racun. 

“Saya pasti adik ingin tahu mengapa saya dapat cakap dalam bahasa Melayu dengan fasih. Secara ringkas, saya harus menyesuaikan diri dengan keadaan terkini. Sejak kebelakangan ini, saya dapat lebih ramai penumpang Melayu, seperti mak cik yang pulang dari pasar dengan barangan dapur. Penguasaan bahasa Inggeris mereka hanya di tahap rendah sahaja, tetapi saya tetap ingin memulakan perbualan yang ramah dengan mereka. Sebab itu, saya mula mempelajari bahasa Melayu dan mula bercakap dalam bahasa Melayu dengan penumpang saya. Dengan usaha gigih itulah saya dapat menguasai bahasa ini.”

Aku terharu mendengar luahan hatinya. Seorang yang bukan berketurunan Melayu, namun tetap mempelajari bahasa orang Melayu untuk merapatkan hubungan dengan bangsaku. Seorang yang tabah dan beriltizam menghadapi segala cabaran kehidupan yang ketara. Dibandingkan dengan aku yang terlalu memikirkan satu matlamat dan tidak sedikit pun mempertimbangkan jalan hidup lain, yang mungkin jauh lebih bermakna dan bermanfaat. Terasa bersalah pula. 

Memandangkan aku tidak membalas pengakuannya, Encik Selvarajan menggunakan tanda tersebut untuk terus meluahkan apa yang berlegar dalam mindanya. 

“Saya cakap semua itu kerana nak awak fikir sekali lagi tentang apa yang paling baik untuk awak bila dah kerja nanti. Pak cik memang tak ada hak untuk tentukan jalan hidup awak tetapi awak mesti sedar bahawa terdapat bahasa lain yang juga penting dalam dunia yang luas ni. Bahasa Sepanyol, Perancis, Arab, semuanya penting. Dan, jika awak memang cekap dalam kemahiran berbahasa, mungkin awak boleh fikir tentang menjadi penterjemah bagi bahasa-bahasa itu. Tak semestinya awak mendapat kerja kat kementerian pun. Masalahnya, ramai orang di sini memang boleh bertutur dalam bahasa Melayu, jadi awak bukan istimewa. Di Malaysia, Brunei dan Indonesia, lebih ramai yang boleh berbahasa Melayu. Tapi boleh awak namakan seorang Melayu dalam hidup awak yang boleh berbahasa Perancis? Pastinya awak mempunyai kelebihan dibandingkan dengan orang lain dan lebih menarik bagi syarikat penterjemahan.”

Aku masih terdiam. Aku tidak mempunyai pendapat yang bernas untuk membalas Encik Selvarajan, maka lebih baik terus mendengar apa yang ingin dikatakannya. Sekarang, kita sudah jauh dari pusat bandar. Hanya rumah pangsa konkrit dalam pemandangan. 10 tingkat, 20 tingkat, 30 tingkat pun ada. 

“Jadi, tak salah awak ingin jadi penterjemah di kementerian. Tetapi bukankah lebih seronok kehidupan awak kalau berpeluang pergi ke Eropah atau negara Arab untuk melanjutkan pelajaran dalam pelbagai bahasa? Mungkin kerja awak perlukan awak turut menguruskan hal-hal perniagaan di luar Singapura. Perlu ada 'global outlook'. Jangan mengehadkan masa hadapan awak dengan terus bekerja di sini. Walaupun dapat kerja di kementerian, mungkin awak berasa bosan. Pada masa itulah awak membuka pintu kepada bahasa lain.” 

Kami melalui susur keluar dari lebuh raya ke estet perumahanku. Kami akan sampai ke rumahku  dalam seminit dua. Petanda tamatnya juga perbualan kami. 

“Jelajahi dunia dan mengenali budaya-budaya baru, tetapi tetap teguh dengan jati diri. Dengan pemikiran begitu awak akan berjaya dalam hidup. Mungkin juga dapat banyak duit, kalau itulah dorongan awak. Itulah pendapat saya.” Encik Selvarajan masih sempat berjenaka.

“Terima kasih.” 

Dua perkataan itu merangkumi segala perasaanku pada masa ini. Aku mencangkul ilmu yang tidak ternilai daripada nasihat Encik Selvarajan. Aku memang tidak menyangka bahawa perjalanan teksi akan membawa berkat sebegini. 

“Tak apa, Cik.” Encik Selvarajan mengenyit di cermin pandang belakang. 

Akhirnya, teksi memasuki tempat letak kereta di halaman blokku dan berhenti. Aku memberi Encik Selvarajan wang tunai bagi tambang lalu keluar dari kenderaan itu. 
Walaupun aku telahpun menutup pintu teksi, Encik Selvarajan menurunkan tingkapnya lalu ujar, “God bless you!”

Aku pandang balik ke arahnya dan tersenyum. Aku pun melambaikan tangan. Tidak lama selepas itu, dia memandu teksinya sehingga keluar daripada pemandanganku. 

Aku melihat ke atas, ke rumahku di tingkat 11. Walaupun sudah jauh dari pusat bandar, aku masih berasa senang hati. Walaupun jauh daripada pekerjaan yang lazim, fikiranku tidak pernah tenteram sebegini. Aku bertekad membahagiakan diri ini dengan terus meneroka. 

CETUSAN KARYA:
Cerpen ini adalah sentuhan ilham Afeef Ikhwan Mohammad Ariffin dari Institusi Raffles (RI).

Sumber : BERITA Mediacorp/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan