Skip to main content

Nadi Kampus

CERPEN: 'Di Sebalik Tembok'

Anggaran Waktu Membaca:
Langit malam bersinar megah di atas bandar yang gemilang, diterangi cahaya bulan. Bangunan tinggi berdiri megah, dihiasi lampu berwarna-warni yang memantulkan sinarnya di jalan raya yang sibuk. Kedai-kedai bercahaya terang, dipenuhi pelanggan riang, aroma makanan memenuhi udara.

Manakala di seberang sempadan, Bandar Kelam tenggelam dalam kegelapan. Lampu jalan malap, lorong-lorong sempit sunyi dan sampah bertaburan di jalan-jalan retak. Ia bukan tempat meriah tetapi persinggahan suram bagi mereka yang berjuang untuk hidup.

Kerajaan mengumumkan pelajar dari Bandar Kelam akan diterima masuk ke Sekolah Kota Emas sebagai sebahagian program integrasi. Masyarakat gempar. Ramai menolak. "Mereka tidak sesuai di sini! Ini kesilapan besar."

Aku, seperti kebanyakan pelajar di Kota Emas, tidak senang dengan keputusan ini. Bukankah mereka pemalas? Tidak berdisiplin? Mereka mencerminkan kegagalan dan kekacauan. Mereka hidup dalam kemiskinan, tanpa teknologi canggih seperti kami. Mengapa mereka patut diterima di kota kami? Bukankah ini akan merosakkan sistem yang telah lama terpelihara?
Gambar hiasan: iStock
Ketidakpuasan hatiku semakin mendalam apabila aku melihat kehadiran mereka mengubah sekolah kami. Koridor yang dahulunya kemas kini terasa penuh dengan kehadiran orang luar. Mereka berpakaian serba sederhana, jauh berbeza daripada pakaian seragam kami yang kemas dan bergaya. Ada yang kelihatan bingung, seperti rusa masuk ke kampung. Ada pula yang berjalan dengan yakin seperti mereka berhak berada di sini. Bisikan ketidakpuasan hati kedengaran di sekelilingku. "Mereka takkan mampu bersaing dengan kita."

Namun, segalanya berubah apabila aku bertemu dengan Zain.

Zain pelajar Bandar Kelam yang terpilih untuk bersekolah di Kota Emas. Dari hari pertama, mereka dipandang rendah. Guru-guru menyoal kecerdasan mereka secara terbuka, rakan sekelas mengelak daripada bergaul dengan mereka, malah kemudahan seperti perpustakaan dan makmal sains sering disekat daripada mereka dengan alasan mereka tentu tidak tahu cara menggunakannya dengan betul.
Gambar hiasan: iStock
Pertemuan pertamaku dengan Zain bukanlah sesuatu yang menyenangkan. Kami ditugaskan dalam kumpulan yang sama untuk projek sains dan aku berasa tidak senang hati. Aku memandangnya sekilas—baju seragamnya lusuh berbanding dengan seragamku yang sentiasa rapi. Kasutnya pula kelihatan sedikit usang. Dia tidak membawa tablet elektronik seperti yang kami gunakan setiap hari.

"Kamu ada tablet?" tanyaku sinis.

Dia menggeleng kepala. "Saya lebih suka menulis dengan tangan. Lebih mudah untuk mengingatnya."

Aku mendengus kecil. "Itu cara lama. Di sini, kita lebih maju."

Dia tidak membalas sindiran aku, sebaliknya hanya tersenyum kecil.

Aku menahan geram. Kenapa mereka tidak boleh belajar di tempat mereka sendiri? Kenapa kami yang perlu menyesuaikan diri dengan mereka?

Namun, hari demi hari, aku mula melihat Zain dengan pandangan yang berbeza. Tugasan berkumpulan memaksaku untuk berinteraksi dengannya. Pada mulanya, aku cuba menjarakkan diri tetapi sikapnya yang penuh keyakinan dan wawasan membuka mataku. Dia berbicara tentang Bandar Kelam dengan bangga, berkongsi kisah tentang inovasi yang mereka cipta untuk bertahan hidup. Dia tidak meminta simpati, malah melihat kesukaran sebagai cabaran untuk membina masa depan yang lebih baik.

Bagaimanapun, aku masih menganggap Bandar Kelam sebagai tempat yang mundur dan ketinggalan.

Satu petang, di bawah naungan pokok di taman sekolah, Zain berkongsi sesuatu yang mengubahku. Dengan mata yang bersinar dan suara yang penuh keteguhan, dia menceritakan tentang inovasinya.

"Kami tidak ada air yang bersih seperti di sini," katanya, mata suramnya memandang lantai. "Air kami datang dari sungai yang kotor, penuh lumpur dan sisa buangan. Kami tidak boleh sekadar berharap ada bantuan. Kami perlu mencari jalan sendiri."

Aku mendengar tanpa menyampuk, perasaan kagum mula menjalar dalam diriku.

"Oleh itu, kami mengumpulkan botol plastik yang dibuang, membakar kayu untuk menghasilkan arang dan menapisnya dengan pasir yang kami kumpul sendiri. Kami cuba berulang-ulang kali, sebelum berjaya mencipta sistem yang boleh menukar air sungai yang hitam menjadi jernih dan selamat diminum."

Dia menarik nafas, matanya menatap jauh.

"Kami tidak ada pilihan selain mencipta sendiri penyelesaian kepada masalah kami," katanya dengan nada tenang tetapi penuh semangat. "Kami tidak boleh bergantung pada sesiapa. Kami belajar sendiri, bereksperimen dan memastikan ia berjaya."
Gambar hiasan: iStock
Aku terdiam. Selama ini, aku menganggap mereka sebagai beban tetapi hakikatnya, mereka membina masa depan dengan tangan mereka sendiri.

Tiba-tiba, langit Kota Emas dipenuhi dengan bunyi siren yang memecah kesunyian. Skrin gergasi di tengah bandar berkelip-kelip sebelum suara lantang berkumandang melalui pembesar suara di setiap penjuru:

"PERHATIAN! SEORANG PELAJAR BANDAR KELAM TELAH MELAKUKAN JENAYAH. PROGRAM INTEGRASI DIBATALKAN. SEMUA PELAJAR BANDAR KELAM AKAN DIHANTAR PULANG."

Suara itu bergema, tegas. Orang ramai di sekelilingku terhenti. Ada yang terkejut, tersenyum sinis dan ada juga yang mengangguk seolah-olah sudah lama menjangkakannya.

Tanpa siasatan, mereka dihukum. Aku memandang ke arah Zain. Wajahnya tegang, matanya penuh kemarahan dan kesakitan. Aku mahu menjerit perkara ini tidak adil tetapi kata-kataku tersekat.
Gambar hiasan: iStock

Tanpa sebarang peluang untuk mempertahankan diri, mereka diheret kembali ke sempadan yang memisahkan kami. Aku hanya mampu melihat tetapi dalam hatiku, sesuatu sedang berubah. Sesuatu yang tidak akan aku biarkan berlalu begitu sahaja.

Keputusan ini mencetuskan pelbagai reaksi masyarakat. Ramai bersorak, mengatakan bahawa ini bukti orang dari Bandar Kelam tidak boleh dipercayai. "Mereka hanya membawa masalah!" jerit seseorang. "Kita tidak boleh membiarkan mereka merosakkan sistem kita." Wajah-wajah di sekelilingku penuh dengan kepuasan yang menyakitkan hatiku.

Namun, dalam kalangan mereka yang memahami keadaan sebenar, kemarahan dan kekecewaan membuak. Bagaimana sesuatu yang kami perjuangkan dengan susah payah boleh dihancurkan dalam sekelip mata? Wajah Zain terbayang dalam fikiranku. Aku membayangkan kesedihan dan kemarahan yang melanda mereka semua. Mereka telah memberi segala usaha, hanya untuk dihukum.

Hatiku remuk. Aku tahu ini tidak adil. Aku tahu Zain dan pelajar-pelajar lain bukan seperti yang mereka sangkakan. Aku tidak boleh berdiam diri.

Aku berdiri berhadapan ribuan orang di dataran utama Kota Emas. Dengan suara yang lantang, aku menyeru masyarakat untuk tidak membiarkan ketidakadilan ini berlaku.

"Mereka bukan beban! Mereka adalah masa depan kita!" suaraku bergetar dengan emosi. "Mereka telah membuktikan bahawa mereka mampu dan mahu menyumbang kepada negara ini! Jika kita benar-benar ingin membina negara yang maju dan berjaya, kita perlu bersatu!"

Orang ramai mulai berbisik. Sebahagian daripada mereka masih ragu-ragu tetapi ada yang mula melihat kebenaran dalam kata-kataku. Beberapa pemimpin pelajar dari Kota Emas turut melangkah ke hadapan, menyatakan sokongan mereka. Media mula menyiarkan kisah sebenar—tentang bagaimana pelajar dari Bandar Kelam telah membangunkan sistem tenaga lestari, mencipta teknologi penapisan air dan menyumbang dengan cara yang tidak pernah diberi peluang untuk diiktiraf sebelum ini.

Gelombang perubahan mula terbentuk. Tekanan rakyat semakin meningkat, memaksa kerajaan untuk mempertimbangkan semula keputusan mereka. Hari demi hari, lebih ramai orang menyuarakan bantahan dan akhirnya, bawah tekanan yang tidak dapat dielakkan, kerajaan terpaksa akur. Pelajar-pelajar Bandar Kelam dibenarkan kembali, kali ini dengan lebih banyak peluang.

Dengan kembalinya mereka, sesuatu yang luar biasa berlaku. Idea-idea mereka yang sebelum ini dipandang remeh kini diterima dan dikembangkan. Inovasi mereka bukan sahaja membantu Bandar Kelam tetapi membawa perubahan besar kepada Kota Emas. Sistem tenaga lestari mereka mengurangkan kebergantungan negara terhadap sumber luar, teknologi penapisan air mereka bantu menyelesaikan masalah pencemaran yang selama ini tidak diendahkan.

Lama-kelamaan, perbezaan antara Kota Emas dan Bandar Kelam semakin pudar. Negara kami akhirnya benar-benar bersatu dan di tengah-tengah semua itu, aku tahu, perjuangan ini baru sahaja bermula—tetapi untuk pertama kalinya, aku yakin bahawa kami sedang melangkah ke arah masa depan yang lebih baik, bersama-sama.

Di bawah langit yang mulai senja, aku berdiri di sebelah Zain, melihat perubahan yang telah kami cetuskan. Dia menarik nafas dalam-dalam, menikmati udara yang terasa lebih bebas.

"Akhirnya, semua aman," katanya dengan senyuman kecil.

Aku memandang hadapan, ke arah masa depan yang masih penuh cabaran tetapi juga penuh harapan. Aku tersenyum sambil menjawab, "Ini baru permulaannya."

CETUSAN KARYA:

Cerpen ini adalah sentuhan ilham Alysha Mohamed Hyder Bounaparte, pelajar Sekolah Perempuan Raffles.

Beliau merupakan juara pertandingan penulisan cerpen Bisikan Pena bagi peringkat sekolah menengah, anjuran Persatuan Bahasa Melayu Universiti Kebangsaan Singapura (PBMUKS). Tema pertandingan cerpen tersebut adalah 'Impian Negara'.
Sumber : BERITA Mediacorp/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita