Skip to main content

Iklan

Iklan

Nadi Kampus

Cerpen: Bas atau Mi

Anggaran Waktu Membaca:
Cerpen: Bas atau Mi

Gambar hiasan. (Gambar: Harrison Haines)

Diterbitkan : 20 Aug 2022 10:17PM Dikemas Kini : 20 Aug 2022 10:17PM
Aku kehilangan kata. Harga diriku jatuh serendah-rendahnya.

Kata-kata Ibu terasa sepedas cili padi, membakar tekak. Kemarahan ibu membingitkan. Membingitkan sehingga aku terasa ingin sahaja menjadi pekak.

Rasanya seperti mendengar lagu yang dibenci, dimainkan tidak henti-henti pada kelantangan maksimum.

Butang untuk menghentikan lagu ini terletak pada tombol pintu. Aku belum bersedia. Pasti belum. Tetapi, keazaman yang berkilauan di lubuk kalbuku menjadi kunci. Itulah langkah pertama untuk mendekati impianku. Impian yang setinggi jumantara.

“Impian kau tu macam kau nak pegang awan. Mimpi sajalah, hanya orang bodoh yang akan bercita-cita sebegitu.”

Aku meneruskan perjalananku. Hatiku berat.

Kadangkala, aku hanya ingin berputar arah. Rintangan timbul satu persatu, menyerap tenagaku yang tidak seberapa. Aku sudah kehilangan segalanya, kecuali kepercayaan terhadap diriku.

Walaupun sukar benar untuk mengambil langkah seterusnya, suara kecil membisik “yakinlah, Su”.

Kerja. Menulis. Sewa. Menulis. Menulis. Aku tidak dapat melakukan apa-apa kecuali menulis. Menulis isi hatiku di atas kertas putih suci. Menulis tentang perasaan, kehidupan, masyarakat. Mungkin tiada yang akan mengerti erti menulis. Timbunan kertas duduk di sisi tikarku sambil menanti kedatanganku. Pada jam 2.22 pagi, atau kadangkala 1.00 pagi, aku kembali menulis.

Bas atau mi? Dilema. Soalan yang ditanya setiap hari. Kepayahan tidak dapat digambarkan. Mataku yang terkulai terpaku pada mereka di belakang kaca kedai.

Dua mi cawan terletak di hadapan mereka. Wap timbul tatkala mereka menyenduk mi, mengaburkan kaca.

Namun, kekabutan itu tetap dapat menunjukkan jelas perasaan jijik di air muka mereka.

Aku menundukkan kepalaku dan melihat tiga keping wang syiling di dalam genggamanku.

Kasut usangku mengayunkan langkah. Bayu sejuk menyelimuti diriku yang berpakaian tipis. Bulan Januari tidak memberikan setitik belas kasihan.


Bas 405 menjemput diriku, menyelamatkan kakiku yang tidak berdaya. Aku duduk di tepi tingkap. Aku merenung ke luar. Adakah benar ini jalan bagi diriku? Aku berdoa, mohon petunjuk.

Langkah demi langkah. Aku masih dalam perjalanan tetapi aku lebih dekat ke destinasiku.

Kegelapan di kamar menerangkan cahaya inspirasi. Aku mereka rentak dengan alat dram yang baru dibeli. Senyuman tipis bercambah. Sudah lama aku ingin memiliki alat itu. Sudah lama aku mengumpulkan wang. Sudah lama juga aku berasa gembira.

Keghairahan menemani aku sepanjang malam, sepanjang hari. Satu langkah yang mendekati impian. Piano. Gitar. Dram. Mikrofon.

Lama-kelamaan, bilikku kini menjadi studio. Aku mula merakam suaraku, rap kepada irama yang telah kucipta. Berkali-kali sehingga aku berasa puas.

Aku menekan butang dan membenarkan alat itu memainkan lagu.

Tiada perkataan yang dapat memerihalkan perasaan yang meraup batinku setelah mendengar seluruh penghasilan. Rapku diiringi rentak yang pantas menyayat hatiku. Lirik-lirik itu menceritakan rintangan yang perlu aku harungi.

Aku teringat kembali empat tahun yang lalu. Air bertakung di birai mata. Ibu... inilah lagu pertama Su… Bendungan air mata pecah. Berkaca-kaca linangan air jernih mengalir.

Aku dapat merasakan kehadiran teman tanpa mempunyai seorang teman. Irama merdu mengisi bumantara hidupku. Setiap kali kunci piano ditekan, nota yang dihasilkan seolah-olah menguntumkan puspita dalam duniaku.

Lagu-laguku dimainkan untuk menghapuskan rasa keseorangan. Muzik penaka sumber syamsi yang memberikan kehangatan pada musim sejuk ini, membuat diriku berasa selesa dan senang. Burung-burung berkicauan mengikut irama, menambah kepada kemeriahan. Dunia muzik yang dulunya asing bagi aku telah menjadi kediamanku.

Namun, masih terasa kekurangan sesuatu dalam hidupku. Bukankah lebih menarik jikalau aku mempunyai seorang sahabat? Aku sudah 17 tahun. Aku telah mengorbankan masaku untuk mengejar impian dan mengetepikan masa untuk berseronok dan melakukan aktiviti seperti yang lain. Seperti seorang remaja.

“Hei! Seorang diri?” Aku bertemu Anti.

Semasa perbualan, Anti memberitahuku bahawa dia seorang penerbit muzik. Mataku menyala. Aku berasa teruja.

Akhirnya, aku mempunyai seseorang untuk mengongsikan lagu-lagu yang kucipta. Sambil menikmati pemandangan di sungai Han dan atmosfera yang tenang, Anti memainkan salah satu lagu instrumentalnya yang begitu merdu. Kekaguman tertulis di wajahku. Kepercayaan terhadap diriku juga telah diberi kepadanya dengan mudah.

Aku ingin sekali mempelajari daripada dirinya untuk memperbaik hasil muzikku. Wah, hidupku semakin hebat, bisik sanubariku. Aku dan Anti semakin rapat dan kami asyik keluar bersama. Aku berasa terharu benar sejak berteman dengan Anti.

Tersimpan di dalam hatiku untuk mencipta lagu dengannya. Timbul lagi satu impian. Hatiku memujuk aku untuk menjemput Anti ke rumah agar dia dapat mendengar ciptaan laguku.

Anti ternganga tatkala mendengar laguku. Anti lebih berpengalaman dalam dunia muzik dan reaksinya telah meningkatkan keyakinanku. Dia tergagap. Dia tidak menyangka aku berbakat. Bagi aku, lagu itu tidak seberapa hebat tetapi pujiannya amat tinggi dan mengatakan lagu ini berpotensi tinggi.

Inilah kali pertama laguku didengarkan kepada orang luar. Hari inilah yang kunanti-nantikan. Anti ialah orang pertama yang menjejakkan kaki dalam hidupku. Dari petang hingga malam, laguku dimainkan, berulang kali sambil kami menari, melupakan segala keraguan. Perasaan yang tidak dapat kulupakan. Satu langkah yang lebih mendekatkan impianku.

Aku berusaha gigih menghasilkan lebih banyak lagu yang mengandungi pelbagai mesej dan perasaan. Aku perlu terus maju, tetapi aku gementar. Semakin jauh aku dalam perjalanan ini, aku berasa lebih takut. Aku tidak ingin hilang apa yang telah aku usahakan. Bertahun-tahun.Selama ini, aku telah berjaya.

Walaupun menghadapi cabaran yang menolak diriku ke belakang, aku mampu mengatasinya. Semakin lama, semakin susah cabaran ini. Aku juga bertambah takut. Namun, kepercayaan terhadap diriku timbul, mengingatkan aku untuk terus yakin. Malah, aku mempunyai teman untuk memberi aku semangat.

“Anti, aku akan cuba menjual laguku pada hari ini. Doakan aku, ya,” kata-kata terakhir kepada Anti sebelum aku membuka pintu. Aku berdiri di hadapan pintu untuk ke dunia yang lebih mencabar. Aku menghela nafas. Dengan tekadku, aku masuk.

Satu. Dua. Tiga. Gagal, gagal dan gagal. Aku hanya dijemput kekecewaan, kehampaan. Aku sudah berpatah semangat tetapi azamku memaksa aku untuk mencuba sekali lagi. Adakah kerana aku terlalu taksub? Adakah telingaku mendengar apa yang aku fikirkan? Adakah benar? Di kedai itu. Aku berdiri beku. Perasaanku berkecamuk. Hilang segala kawalan tubuhku. Tidak dapat difikirkan apa-apapun.

Aku seakan-akan tidak percaya. Tidak ingin aku menuduh tetapi kedengaran hampir sama. Liriknya, melodinya, rentak semua sama. Yang lain hanya suara. Suara yang aku kenali tetapi juga tidak. Aku terhilang kata. Bibirku hanya dapat menggigil. Utopia yang masih dibinaku hancur.

Kekuasaan lagu itu sekuat gempa bumi. Sampai hati… Aku ingin melarikan diri daripada dunia ini. Adakah tekadku masih dapat menguatkan hatiku yang telah retak?

Untuk beberapa hari, hujan turun tidak henti-henti. Diikuti guruh. Bunyi yang hanya menyakiti telinga. Tidak menyenangkan. Bunyi air hujan jatuh ke tanah membingitkan, mendatar. Aku berasa sempit. Aku seperti dikelilingi kewujudan hitam. Aku tidak lagi berdaya.

Keazamanku tidak kuat lagi. Kepercayaan yang selama ini menjadi sumber sokonganku telah larut dalam udara yang tipis. Aku berasa rendah. Alat-alat muzikku tidak kuendahkan. Aku hanya mementingkan konflik dalaman yang tidak berhenti-henti. Hanya aku sahaja yang tahu perkara yang sebenar. Tiada gunanya menggunakan suaraku untuk mempertahankan hak aku.

Tamat.

Jangan! Aku perlukan engkau! Dia menghulurkan tangannya. Aku mendengar suara. Aku mendongakkan kepalaku. Jari-jemariku yang memeluk kaki tidak berani melepaskan genggaman. Aku tidak ingin ke dunia itu lagi.

‘Aku percaya’. Buat pertama kali, kepercayan diberi kepada diriku. Tanpa diminta. Tangan kami bersentuhan. Dia membawa aku ke hadapan pintu. Pintu ke masa hadapan. Masa hadapan yang dipenuhi cahaya, dihiasi warna ungu, diterangi kasih sayang. Pintu ketiga, aku membukanya dengan hati yang terbuka. Angin yang penuh harapan menyelimuti diriku. Tempat ini lebih indah daripada utopia. Usahaku berhasil. Inilah destinasiku.

Tiga di kanan. 3 di kiri. Berjuta-juta di hadapan. Aku menggenggam mikrofon hitamku. Aku kini bersuara. Suara ini sudah bertekad untuk memberikan semangat kepada mereka. Suara ini berperanan untuk mengingatkan mereka bahawa aku akan mengiktiraf impian mereka. Apa-apa pun, besar atau kecil, mampu atau tidak. Aku melihat mereka semua melambaikan batang cahaya mereka.

Aku ternampak seorang duduk tersenyum. Bentuknya serupa seperti seorang yang aku kenali. Senyumannya, aku tidak dapat lihat selepas meninggalkan tempat itu. Tidak mungkin. Aku pasti sedang bermimpi. Ini yang dikatakan mustahil. Ibu… inilah mimpi Su.

Aku berjaya mencapai langit. Aku belum berubah kepada ‘Chanel atau Gucci’. Aku masih sama tetapi lebih berani menggapai mimpi. Kini, aku bertekad untuk mengajak mereka ke langit bersama. Laguku telah berjaya menjadi pemandu impian dan aku berjanji tidak akan melepaskan tanganku dari roda kemudi itu. Menuju ke destinasi mereka. Mereka yang mengisi hidupku dengan senyuman kekal. Mereka yang membuat impianku sebagai realiti.

CETUSAN KARYA:
Cerpen ini adalah sentuhan ilham Dyan Nurqaisara Nurazhar dari Institusi Raffles (RI).
Sumber : BERITA Mediacorp/fz

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan

Aa