Skip to main content

Iklan

Iklan

Nadi Kampus

CERPEN: 'Alang Berjawat, Tepuk Berbalas'

Anggaran Waktu Membaca:
CERPEN: 'Alang Berjawat, Tepuk Berbalas'

Gambar hiasan. (Gambar: TODAY)

Sunyi dan sepi. Begitulah yang dirasakan Aiman. Kesepian itu semakin mencengkam semenjak pemergian ibunya menghadap Tuhan yang maha Esa. Kini, dia tidak boleh mempercayai sesiapa lagi. Di saat pemergian ibunya, Aiman diberitahu bahawa arwah telah terlibat di dalam satu kemalangan semasa memandu kereta. Namun begitu, punca sebenarnya telah disorok dari pengetahuannya. Ternyata, ibu Aiman telah menghadapi penyakit barah tahap empat.

Hidup Aiman kini hanyut terapung di lautan duka yang tiada bertepi. Dia tidak ada sesiapa langsung. Kedua-dua nenek dan datuknya juga telah pergi. Ayah yang selama ini menjadi ketua keluarga telah meninggalkannya dan ibunya untuk seorang perempuan lain. Apatah lagi ibu dan bapa saudaranya, mereka berdua juga malah menolak tanggungjawab untuk menjaga Aiman.

“Maaf Aiman, kami sebenarnya tidak ada masa untuk menjaga kau. Kami sibuk dengan kerja dan keluarga.” Alasan sinis yang diberi oleh mereka setiap tahun.

Aiman terpaksa tinggal di rumah bersendirian. Namun dia bersyukur kerana dia masih mempunyai wang peninggalan arwah ibunya sebagai persediaan untuk keperluannya sendiri.

Ibarat sudah jatuh ditimpa tangga, Aiman juga dipandang rendah oleh kawan-kawannya sebagai “budak yang tiada ibu”. Adakalanya, Aiman rasa hiba tetapi kini dia sudah tidak mempedulikan segala sindiran dan cemuhan mereka kerana sesungguhnya dia sudah lali dengan keadaan begitu.

Beberapa bulan kemudian, Aiman mengalami kemurungan. Dia tidak tahu bagaimana untuk menghadapi kemurungannya.

Kepercayaan pada dirinya semakin meleset. Sedikit demi sedikit, dia mula menyesal mempunyai kehidupan yang lara. Duit simpanannya juga semakin berkurangan.

“Aku tidak boleh. Aku tidak yakin aku boleh! Aku rela mati daripada hidup dalam dunia ini,” Aiman berkata dalam hatinya sambil menangis teresak-esak.

Pada suatu hari, Aiman berjalan di luar sambil mengambil angin. Fikirannya buntu akibat duduk di rumah tanpa berbual dengan sesiapa. Semasa berjalan, dia terpandang seorang wanita bersama anak perempuannya yang sedang mengemis. Tatkala Aiman memandang wajah mereka, Aiman terkenang saat dia dan ibunya berjalan di tepi jalan menjual kuih-muih untuk mendapatkan wang.

Aiman menuju ke arah mereka. Dia menghulurkan sekeping wang kertas lima puluh dolar. Dia ikhlas ingin membantu wanita dan anak perempuannya itu walaupun Aiman sendiri kini kekurangan wang. Wanita itu hanya memandang Aiman semasa menerima duit itu. Namun, dari renungan mata wanita itu tersirat sejuta rasa terima kasih dan syukur.

Walaupun rasa berat hati, namun Aiman redha dan ikhlas atas perbuatannya ingin membantu itu.

Beberapa hari kemudian, Aiman menerima sebuah panggilan daripada bank. Pihak bank memberitahunya bahawa terdapat sebuah transaksi pemindahan wang sebanyak $5000 ke dalam akaun bank Aiman daripada seseorang yang tidak dikenali.

Mata Aiman mula berkaca.

Dia mula mencucurkan air mata kegembiraan. Dia bersujud syukur. Dia masih tidak menyangka siapakah hamba Allah yang telah memberikan wang itu kepadanya. Aiman menyedari mungkin ini semua berlaku kerana sifat penyayang dan suka membantu dengan ikhlas. Sejenak, dia teringat kata-kata arwah ibunya: Alang berjawat, tepuk berbalas.

'ALANG berjawab, tepuk berbalas' merupakan ungkapan peribahasa Melayu yang bermaksud baik dibalas dengan baik, jahat dibalas dengan jahat. 

CETUSAN KARYA:
Sajak ini adalah sentuhan ilham pemenang tempat kedua pertandingan Hadiah Sulam Kalam anjuran PERBAYU NIE/NTU bagi peringkat sekolah rendah.

Sumber : BERITA Mediacorp/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan