Calon PhD NTU, Hamzah Kamaruddin, sibuk cari huraian mampan tapi curi masa bantu kanak-kanak istimewa
Namun, Hamzah Kamaruddin, 27 tahun, membuktikan semua itu dapat dilakukan walaupun beliau sendiri sempat "tidak mempertikaikan sangat tentang pelajaran".
Bekas pelajar Sekolah Menengah Kranji ini sedang menuntut di Universiti Teknologi Nanyang (NTU) sebagai calon PhD dalam jurusan Sains dan Kejuruteraan Bahan.
Beliau bahkan menerima biasiswa A*STAR untuk menjalankan kajian berkaitan penggunaan hidrogen sebagai satu huraian mampan.
Ayuh ikuti kisah kejayaan beliau...
TIDAK PERNAH TERBAYANG JADI CALON PHD
Dalam wawancara bersama kru Nadi Kampus, Hamzah secara terus terang berkata dirinya tidak terbayang akan mengikuti pengajian pada peringkat PhD, apatah lagi dalam bidang kemampanan.
"Sepuluh atau 20 tahun lalu, sejujurnya saya tidak pernah ada impian untuk menjadi seorang calon phd. Nak buat 'degree' (mengikuti program sarjana muda) pun macam satu angan-angan," seloroh Hamzah.
"Lepas saya selesai menjalani Perkhidmatan Negara, agaknya saya lebih matang sikit."
Sekalipun demikian, apa yang sedang dilakukan Hamzah sekarang bukan satu perkara 'main-main'. Minat terhadap bidang sains dan kejuruteraan bahan yang berputik ketika di universiti terus mekar dalam dirinya.
Kini, Hamzah sedang meneroka pula cara-cara untuk menghasilkan hidrogen sebagai alternatif kepada bahan api fosil yang banyak digunakan dalam kegiatan seharian.
"Untuk saya, saya selalu tertarik kepada bahan nano. Dalam kajian saya, saya menemui bahan nano yang boleh menghasilkan hidrogen dan itulah sebabnya saya meneruskan kajian ini."
KAJIAN MENANG $100,000 DI HONG KONG
Pada Ogos lalu, pasukan Hamzah menyertai Program ‘Singapore Climate Ventures’ anjuran Temasek dan Breakthrough Energy.
Para peserta program itu berpeluang bekerjasama dengan usahawan-usahawan dalam bidang teknologi iklim global untuk meninjau peluang membawa inovasi ke dalam pasaran.
Bagi Hydrotech Solutions, hasil inovasi mereka adalah satu komponen dipanggil 'electrolyzer' dalam alat yang memisahkan hidrogen daripada air.
"Kami guna bahan yang 70 peratus lebih jimat kos dan dapat mencapai 15 peratus lebih banyak hidrogen yang boleh dihasilkan daripada produk kami,” terang Hamzah kepada Nadi Kampus.
Menerusi program ‘Singapore Climate Ventures’, beliau mempelajari cara untuk memikirkan bagaimana komponen tersebut dapat diperkenalkan dalam pasaran.
Ilmu yang diraih ternyata tidak sia-sia. Baru-baru ini, Hydrotech Solutions meraih anugerah Platinum dan wang tunai HK$100,000 (S$17,000) di Pertandingan Keusahawanan Sejuta Dolar anjuran Universiti Sains dan Teknologi Hong Kong.
Kemenangan ini sememangnya sangat luar biasa kerana lebih 340 pasukan dari merata dunia mengambil bahagian dalam pertandingan tersebut!
“Saya rasa sangat bersyukur dapat mewakili masyarakat kita dan Singapura di pentas dunia. Pertandingan ini adalah untuk memaparkan produk kami, tidak semestinya produk itu sudah dijual atau dihasilkan sepenuhnya. Tetapi konsep bagaimana kami ingin menjual produk tersebut, itu aspek-aspek penting yang mereka lihat dalam pertandingan ini,” kata Hamzah.
YAKIN LEBIH RAMAI BELIA AKAN CEBURI BIDANG SAMA
Ditanya oleh kru Nadi Kampus tentang apa yang boleh dilakukan untuk menarik lebih ramai belia menceburi bidang yang menyumbang kepada usaha kemampanan, Hamzah secara spontan berkata sebarang usaha akan memerlukan masa.
"Kalau nak cakap masa kini, memang tidak banyak (anak Melayu) yang saya kenali menceburi bidang ini tetapi kita nantikan sahaja. Insya-Allah lebih ramai akan menyedari segala sesuatu berkaitan dengan kemampanan dan iklim. Mereka akan menjejaki laluan sama," jawabnya.
Pun begitu, Hamzah berharap menceburi bidang kemampanan dan melanjutkan pengajian ke peringkat tinggi akan khususnya menjadi "perkara biasa buat masyarakat kita".
"Sebab masyarakat Melayu/Islam, bila kita ingin cakap tentang ilmu, ilmu ini ibarat 'bread and butter' (keperluan) untuk kita. Kita menganggap ilmu sebagai sesuatu yang berharga, seperti wang tunai."
AKTIF LAKUKAN KERJA SUKARELA
Hamzah sempat berkongsi bahawa pada hari biasa, beliau boleh meluangkan sehingga 12 jam sehari untuk menjalankan kajian.
Sukar untuk membayangkan bagaimana belia ini masih sempat mencari masa untuk berbakti kepada masyarakat.
Hamzah rajin berkhidmat di bawah satu projek dipanggil RSPID atau Regular Service Project for the Intellectually Disabled (Projek Khidmat Tetao bagi Golongan Kurang Daya Intelek), di bawah portfolio Kelab Khidmat Kebajikan NTU.
Kumpulan sukarelawan itu membantu individu yang mempunyai kecacatan intelektual, seperti gangguan hiperaktif kekurangan perhatian (ADHD), Sindrom Down dan autisme.
Hamzah sudah menjadi sukarelawan selama enam tahun. Menurutnya, pelbagai manfaat dapat diraih daripada inisiatif itu.
Pelbagai aktiviti dilakukan setiap Sabtu, seperti sesi nyanyian bersama, kraf tangan dan senaman. Ia bertujuan untuk melatih minda peserta menjadi lebih cergas dan aktif.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.