Buru diploma meski sudah genggam Sarjana Muda Sains
Rusydina di majlis konvokesyen Diploma Spesialis dalam Sains Kosmetik di Politeknik Singapura. (Gambar: Nur Rusydina Roslan)
SINGAPURA: “Belajar dengan ikhlas, hasilnya A-Class”. Demikian prinsip yang dipegang Nur Rusydina Roslan, 27 tahun. Pada Khamis (8 Mei), Rusydina antara 21 graduan Politeknik Singapura (SP), yang menerima Diploma Spesialis dalam Sains Kosmetik di majlis konvokesyen Politeknik Singapura.
Menariknya, Rusydina sudah meraih ijazah Sarjana Muda Sains (Makanan dan Teknologi) dari Universiti Nasional Singapura (NUS), empat tahun lalu. Beliau juga mempunyai pekerjaan tetap di ZAC Meat & Poultry Pte Ltd sebagai Eksekutif Pembangunan Produk.
Namun, minatnya yang mendalam dalam bidang wangian dan perisa mendorong Rusydina untuk memburu pula diploma spesialis dalam Sains Kosmetik di SP.
MINAT PADA WANGIAN
"Di Singapura tidak ada banyak peluang, kursus rasmi mengenai bidang ini. Jadi, bila saya mencari dan mengkaji kursus yang ditawarkan, paling dekat ialah kosmetik," kongsinya bersama BERITA Mediacorp.
"Jadi teringin juga nak belajar lagi."
Diploma Spesialis dalam Sains Kosmetik, yang ditawarkan SP menggabungkan minatnya dalam bidang perisa dan wangian dengan asas sains makanan yang sudah dimilikinya.
“Saya suka topik-topik seperti perisa dan penapaian (flavour & fermentation). Bila tahu tentang peluang dalam bidang kosmetik yang berkait dengan wangi-wangian saya terus tertarik,” jelasnya.
CABARAN SEBAGAI PEKERJA-PELAJAR
Menjadi pelajar sambilan dan bertugas secara sepenuh masa memberinya kepuasan yang besar.
Namun, dalam masa yang sama, ia juga membawa cabaran tersendiri dan menuntut pengorbanan besar.
Mujur, sokongan keluarga dan pensyarah yang memahami cabaran seorang pelajar dewasa membantu Rusydina terus tabah menamatkan pengajiannya itu.
“Guru-guru sangat memahami. Mereka tahu kebanyakan kami adalah orang dewasa yang bekerja. Walaupun kadang-kadang kami lambat hadir kelas, mereka tetap sabar dan tak lokek dengan ilmu,” cerita Rusydina ketika ditemu bual oleh BERITA Mediacorp.
Beliau turut menghargai sokongan keluarganya, terutama sekali ibu bapanya.
Anak bongsu tiga beradik itu berkongsi bagaimana ibunya sering menyediakan makanan apabila beliau pulang lewat dari kelas.
"Ibu bapa saya sangat memahami yang saya balik lambat dan ibu saya selalu tinggalkan makanan untuk saya.
"Jadi, walaupun saya habis lambat ke atau penat pulang ke rumah tetap ada makanan. Benda-benda yang kecil macam ini, sangat saya hargai," ujarnya.
SUKAR TAPI TAK MUSTAHIL
Apabila ditanya jika ia satu keputusan yang sukar baginya untuk kembali belajar semula bagi meraih diploma berbeza, Rusydina berkata beliau mempunyai keyakinan telah membuat keputusan terbaik.
Malah, beliau komited memberikan usaha terbaik dalam program itu.
“Kalau ada peluang, ambillah. Peluang tak selalu datang,” nasihatnya kepada mereka yang mungkin teragak-agak untuk menyambung pengajian selepas genggam ijazah.
Baginya, yang penting adalah keikhlasan. “Tak ada siapa boleh paksa kita untuk belajar. Kalau buat dengan ikhlas, hasilnya pun akan A Class,” katanya tersenyum lebar.
Kini, dengan gabungan pengetahuan dalam bidang makanan dan kosmetik, Rusydina yakin ilmu yang diraih akan membantunya melangkah lebih jauh sama ada dalam pengurusan projek, pembangunan produk, mahupun dalam mengejar peluang baharu yang lebih luas.
"Kemahiran ini memberi saya lebih semangat dan keyakinan untuk memikul tanggungjawab yang lebih besar sama ada dalam jawatan lebih tinggi di syarikat yang sama atau di tempat lain".
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.