Skip to main content

Iklan

Iklan

Nadi Kampus

Budaya 'thrifting' makin popular dalam kalangan anak muda SG; harga mampu milik jadi tarikan

Anggaran Waktu Membaca:
Budaya 'thrifting' makin popular dalam kalangan anak muda SG; harga mampu milik jadi tarikan

Gambar: BERITAmediacorp/Syazwani Sanep

BERITAmediacorp: Jika anda singgah ke kedai-kedai yang menjual pakaian terpakai atau lebih dikenali sebagai ‘thrift store’ di kawasan Haji Lane, ia seringkali dibanjiri oleh anak-anak muda.

Manakan tidak, pilihan pakaian yang ditawarkan sangat pelbagai dan harganya serendah S$5 sahaja!

Ini tentu sekali sesuai dengan ekonomi anak muda, khususnya yang masih bersekolah, tetapi suka bergaya dengan fesyen-fesyen mereka yang tersendiri. Kocek pun ‘tak koyak’.

Meskipun bukan baju-baju baru, pakaian ‘thrift’ lazimnya disuntik nafas baru oleh anak-anak muda yang kreatif agar pakaian mereka itu seiring dengan trend fesyen terkini.

Bagi pemilik kedai ‘thrift’ The Cartel's, Mohammad Zulhilmi Mohamad Nizar, trend ini tidak menghairankan dan permintaan bagi pakaian terpakai sedemikian terus tinggi dalam kalangan golongan muda Singapura.

Budaya ‘thrifting’, iaitu membeli pakaian terpakai, yang semakin mendapat perhatian ini juga mendorong Encik Zulhilmi untuk memulakan perniagaan pakaian terpakai dan vintaj.

MINAT DIJADIKAN PERNIAGAAN; HARGA MAMPU MILIK

Minat Encik Zulhilmi, 28 tahun, kepada pakaian ‘thrift’ berputik sejak usia muda. Beliau sering mengunjungi kedai-kedai ‘thrift’ semata-mata untuk mendapatkan pilihan pakaian pada harga murah.
Pemilik kedai ‘thrift’ The Cartel's, Mohammad Zulhilmi Mohamad Nizar. (Gambar: BERITAmediacorp/Syazwani Sanep)
Dalam pada itu, beliau menanam hasrat untuk menyediakan platform yang serupa kepada anak-anak muda yang mungkin mempunyai kecenderungan yang sama dengan beliau, agar mereka dapat menikmati pengalaman membeli-belah yang baik tanpa berasa bimbang mengenai harga pakaian yang mahal.

Berbekal niat tersebut, beliau mula berjinak-jinak menjual barangan 'thrift' serta vintaj melalui kedai-kedai 'pop-up' di lokasi seperti SCAPE dan Far East Plaza sejak 2011.
Gambar: Mohammad Zulhilmi Mohamad Nizar
Selepas setahun berkecimpung dalam penjualan barangan 'thrift', Encik Zulhilmi serta rakannya membuka sebuah kedai fizikal 'The Cartel's' di Haji Lane.

Menurut pengamatan Encik Zulhilmi, harga murah pakaian terpakai merupakan tarikan utama para pelanggannya untuk mendapatkan pakaian ‘thrift’ di kedainya itu.

Ini sejajar dengan dapatan tinjauan BERITAmediacorp ke atas hampir 20 belia baru-baru ini.

Rata-rata belia ditemui BERITAmediacorp berkongsi mengenai kecenderungan mereka kepada budaya 'thrifting' kerana ia membantu mereka untuk berjimat semasa membeli-belah, apatah lagi dengan keadaan kewangan mereka sebagai seorang pelajar.
 


BUDAYA ‘THRIFTING’ PUPUK SIKAP MESRA ALAM SEKITAR

Encik Zulhilmi juga menarik perhatian bahawa kebanyakan pelanggan mudanya lebih memilih untuk membeli pakaian 'thrift' berbanding pakaian vintaj, yang juga ditawarkan di kedainya itu.

Ini memandangkan pakaian vintaj yang biasanya dijadikan koleksi, dijual pada harga yang lebih mahal, dari S$50 dan ke atas. Manakala, pakaian 'thrift' di kedai 'The Cartel's' ditawarkan pada harga serendah S$5 sehingga S$20.

Ditanya sama ada pelanggan yang mengunjungi kedainya mencari pakaian terpakai dengan mana-mana gaya tertentu, Encik Zulhilmi berkata: “Jika mereka suka baju itu dan (ia) murah, mereka akan beli sahaja. Meskipun mereka sudah beli dan di rumah, sedar mereka tidak menyukainya, sekurang-kurangnya ia bukan mahal."

Jelas, para pelanggan mempunyai kebebasan untuk memilih mana-mana pakaian sesuai serta menarik yang dapat dijumpai di kedai tersebut untuk dipadankan, seiring dengan trend fesyen sedia ada.

Selain itu, di tengah-tengah perkembangan ‘fast fashion’ atau pakaian yang dihasilkan secara besar-besaran dan dijual pada harga murah serta mudah diperolehi, budaya 'thrifting' itu turut dianggap oleh anak-anak muda sebagai wadah untuk memupuk sikap mesra alam sekitar.

Ini kerana 'fast fashion' dipercayai adalah salah satu penyumbang kepada jumlah sisa tekstil yang banyak di dunia.

Sekalipun demikian, terdapat juga segelintir belia yang ditemui BERITAmediacorp menyuarakan rasa kurang senang mereka untuk memakai pakaian terpakai.

Antara sebab yang dikongsi termasuk rasa khuatir tentang kemungkinan pakaian terpakai menjejas kulit mereka yang sensitif, meskipun pakaian 'thrift' itu sudah dicuci sebelum dijual.


PERBEZAAN DALAM PASARAN ‘THRIFT’ DI SG BERBANDING DI NEGARA JIRAN

Dengan tiga tahun pengalaman menjual barangan 'thrift', Encik Zulhilmi berkongsi bahawa pasaran 'thrift' Singapura masih dilihat lebih kecil berbanding di negara-negara jiran seperti Malaysia.

Malah, beliau berkata Malaysia merupakan salah satu negara, di mana beliau mendapatkan bekalan pakaian terpakai untuk dijual di kedainya.


"Saya rasa budaya ‘thrifting’ dan vintaj di Singapura sedang berkembang. Jadi, saya harap satu hari nanti, budaya ‘thrifting’ di Singapura boleh berkembang seperti Malaysia," ujar Encik Zulhilmi.

Sumber : BERITA Mediacorp/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan