Boneka tangan teman Karya Kulture lestarikan seni budaya SG
Pengasas Karya Kulture, Muhammad Zahid Razali (kiri) dan anggota kumpulan, 'Afaf Husna (kanan) bersama watak-watak boneka, Nenek, Hasif, dan Hana. (Gambar: Fatyn Afiqah Abdul Samad)
Bimbang seni budaya tradisional mungkin hilang ditelan zaman, maka wujud Karya Kulture, sebuah kumpulan seni diasaskan oleh Muhammad Zahid Razali, 23 tahun, bersama empat rakannya. Tujuan mereka untuk memperkenalkan seni pelbagai budaya Singapura kepada masyarakat melalui aktiviti kreatif dan interaktif.
Dengan matlamat memperkasakan seni tradisional kepada generasi muda dan masyarakat berbilang kaum, Karya Kulture yang ditubuhkan pada Jun 2024, mengadakan acara pertama mereka pada September lalu bersama kumpulan Universiti Nasional Singapura NUS Dikir.
SENI TRADISIONAL, GENERASI MUDA
Zahid dan rakan-rakannya memulakan Karya Kulture selepas bertemu ketika latihan pementasan NUS Pentas Budaya pada 2024.
Kumpulan pengasasnya mempunyai pelbagai latar belakang, termasuk seorang guru.
Dengan pengalaman dalam bidang pendidikan dan pengajaran di prasekolah, mereka dapat menerapkan pendekatan yang lebih mesra kanak-kanak dalam program seni persembahan mereka.
Maka tidak hairanlah jika jelajah pertama mereka ke prasekolah Mindchamps, untuk memperkenalkan seni dikir barat kepada kanak-kanak dan ibu bapa bukan Melayu.
Inisiatif ini bertujuan menanamkan rasa bangga bukan hanya terhadap budaya sendiri tetapi juga budaya lain dalam masyarakat majmuk Singapura.
“Kanak-kanak sangat menikmati aktiviti ini. Mereka mengikuti pergerakan (dikir barat), dan ibu bapa juga gembira melihat anak-anak mereka begitu terlibat,” kongsi Zahid kepada BERITA Mediacorp.
Meski baru aktif selama lapan bulan, Karya Kulture berjaya menjalankan pelbagai projek.
Selain ke prasekolah, mereka juga bekerjasama dengan masjid seperti Masjid Yusof Ishak dan Masjid Al-Amin.
Usaha ini mendapat sambutan positif daripada masyarakat.
WATAK HANA, HASIF, NENEK
Untuk mendekatkan seni dengan generasi muda, Karya Kulture mencipta tiga watak utama iaitu Hana, Hasif, dan Nenek dalam penceritaan mereka.
“Idea ini datang daripada Sesame Street, di mana kami mahu orang ramai dapat kaitkan diri mereka dengan watak-watak boneka kami,” kongsi Zahid lagi.
"Boneka ini direka supaya ia boleh membuat pergerakan bertepuk tangan dan melambai. Boneka ini juga boleh berinteraksi dengan kami di pentas," kata Zahid membuka cerita.
Hana adalah seorang individu yang ingin tahu dan gemar belajar, sementara Hasif, yang pada awalnya kurang berminat terhadap seni persembahan, mula terbuka untuk belajar kerana ingin meluangkan masa bersama keluarganya.
Nenek pula adalah seorang tokoh seni yang bijak, rendah hati, dan memiliki pengalaman luas dalam dunia persembahan.
Melalui watak-watak ini, Karya Kulture berusaha untuk menyampaikan mesej bahawa seni budaya boleh menjadi sebahagian daripada kehidupan seharian.
RANCANGAN MASA DEPAN
Karya Kulture berhasrat untuk bekerjasama dengan lebih banyak kumpulan seni bagi memperluaskan jaringan mereka serta menarik lebih ramai ahli untuk menyokong visi Karya Kulture.
“Kami percaya pada diri sendiri untuk menghasilkan sesuatu yang unik. Namun, kerana pada awalnya kami hanya berempat, dengan sokongan dan tenaga kerja yang terhad, menjadikan sukar untuk merancang dalam jangka masa panjang,” ujar Zahid.
Bagi tujuan itu, pelbagai langkah diambil, antaranya bekerjasama dengan kumpulan seni tempatan seperti 'Seni Sini' untuk memperluaskan lagi jangkauan kepada lebih ramai orang.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.