Skip to main content

Iklan

Iklan

Nadi Kampus

Berkat usaha gigih dan pengorbanan, pesilat muda Nur Tuhfah Izzah berjaya bawa pulang pingat gangsa Sukan SEA 2023

Anggaran Waktu Membaca:
Berkat usaha gigih dan pengorbanan, pesilat muda Nur Tuhfah Izzah berjaya bawa pulang pingat gangsa Sukan SEA 2023

(Gambar: Nur Tuhfah Izzah)

BERITAmediacorp: Sejak dari usia kecil lagi, Nur Tuhfah Izzah Md Roslan rajin mengikut kakak dan abangnya menjalani latihan silat. 

Disebabkan sering melihat tiga beradiknya itu berlatih silat mendorong Nur Tuhfah berjinak-jinak dalam sukan yang sama apabila ibu bapanya mendaftarkan beliau untuk kelas silat pada usia 12 tahun. 

(Gambar: Nur Tuhfah Izzah)

Berkat usaha gigih selama beberapa tahun lamanya, pelajar tahun ketiga dalam bidang pendidikan dan pembangunan awal kanak-kanak di Politeknik Ngee Ann ini merangkul pingat gangsa dalam acara Pencak Silat Tanding Wanita (Bawah 45kg) di Sukan Asia Tenggara (SEA) 2023 di Kemboja. 

"Sekitar dua bulan sebelum Sukan SEA, kami memulakan latihan rasmi.  Saya memberikan segala-galanya unutk menyiapkan diri," kata pesilat berusia 19 tahun itu yang membuat penampilan pertamanya di temasya sukan SEA.

"Persiapan bagi temasya ini amat berbeza daripada apa yang saya alami sebelum ini kerana kali ini, kami harus berlatih sambil berpuasa. 

"Saya selalunya meluangkan banyak masa pada bulan Ramadan bersama keluarga dan rakan-rakan saya, tetapi tahun ini, lebih kurang kerana perlu menjalani latihan." 

Mujurlah, tambah Nur Tuhfah, sebahagian besar latihan Sukan SEA dijadualkan semasa cuti sekolah dan beliau tidak perlu mengimbangi antara latihan intensif dan komitmen sekolah, seperti yang dilakukan sebelum itu. 

Mengenangkan kembali tempoh menjelang Sukan SEA, Nur Tuhfah berkongsi kepada BERITAmediacorp bahawa walaupun beliau merasakan tekanan untuk tidak pulang ke Singapura dengan tangan kosong, beliau juga berasa amat ghairah sekali dapat mewakili negara dalam acara berprestij itu. 

"Saya selalu memberi kata-kata semangat kepada diri saya sendiri supaya tidak rasa gementar dan saya juga berkongsi perasaan saya dengan ibu bapa saya. Ia amat membantu, rasa tenang setiap kali saya berasa terlalu gementar," tambahnya. 

(Gambar: Nur Tuhfah Izzah)

MOTIVASI PEMBAKAR SEMANGAT

"Salah satu motivasi terbesar buat diri saya adalah versi diri saya yang lebih muda. Hanya saya yang tahu diri saya sendiri dan dapat menentukan  usaha dan pengorbanan yang harus saya lalui. 

"Alhamdulillah, saya tidak pulang ke Singapura dengan tangan kosong dan saya bangga dengan pencapaian diri saya sendiri. Hasrat saya untuk membanggakan diri sendiri mendorong saya tabah melalui waktu-waktu mencabar," kata Nur Tuhfah.

Bahkan perjalanannya sebagai seorang pesilat masih panjang dan tidak berakhir di situ. 

Dengan iktibar dan pengalaman bertanding di Sukan SEA, beliau akan terus bekerja keras untuk mempertingkatkan diri dan mengharungi segala cabaran yang mungkin dihadapi. 

"Dengan pengalaman meraih pingat gangsa ini, saya tidak akan berhenti di sini dan terus berusaha sedaya upaya saya untuk mencapai lebih banyak lagi agar dapat terus merasakan kegembiraan ketika di Sukan SEA ini." 

Sumber : BERITA Mediacorp/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan