Skip to main content

Nadi Kampus

Berkali-kali catat sejarah, atlet boccia, Nurulasyiqah Mohd Taha masih impikan pencapaian lebih tinggi

Anggaran Waktu Membaca:
Berkali-kali catat sejarah, atlet boccia, Nurulasyiqah Mohd Taha masih impikan pencapaian lebih tinggi

Pemain boccia negara, Nurulasyiqah Mohd Taha. (Gambar: Aqil Ezat/BERITA Mediacorp)

SINGAPURA: Di sebalik tubuh kecil dan senyuman manisnya, tersembunyi semangat juang yang membara dalam diri atlet boccia ini.

Nama Nurulasyiqah Mohd Taha tidak asing lagi di arena sukan tempatan.

Manakan tidak, pemain nombor 16 dunia ini sudah beberapa kali mengharumkan nama negara di pentas antarabangsa.

Beliau mencatat sejarah sebagai atlet pertama boccia untuk mewakili Singapura di Sukan Paralimpik, iaitu pada edisi 2012 di London.
Related article image
Nurulasyiqah Mohd Taha mencatat sejarah sebagai atlet pertama boccia untuk mewakili Singapura di Sukan Paralimpik, iaitu pada edisi 2012 di London. (Gambar: Nurulasyiqah Mohd Taha)
Malah, baru-baru ini, atlet berusia 40 tahun itu, merangkul pingat sulung acara perseorangan di Piala Dunia di Beijing pada 12 Jun lalu.
Namun, siapa sangka kerjaya cemerlangnya sebagai atlet boccia bermula sekadar niat untuk cuba sukan itu secara 'suka-suka' ketika di universiti.

DARI TIDAK TAHU WUJUDNYA SUKAN BOCCIA, KINI ATLET NEGARA BERTARAF DUNIA

Nurulasyiqah menderita 'Spinal Muscular Atrophy (SMA)' sejak lahir - sejenis penyakit yang jarang berlaku dan menjejaskan neuron motor. Ia sekali gus mengakibatkan kelemahan pergerakan otot. Menurut Kementerian Kesihatan (MOH), hanya kira-kira 40 hingga 50 orang di Singapura yang menghidap penyakit itu. Keadaan tersebut biasanya bertambah teruk dari semasa ke semasa.

"Seumur hidup saya, saya menggunakan kerusi roda dan memerlukan banyak bantuan dari rakan-rakan di sekolah atau di tempat kerja," luah anak sulung daripada tiga beradik itu.

Tidak pernah terlintas di fikirannya untuk menceburi sukan; semuanya berubah ketika beliau menuntut di Universiti Pengurusan Singapura (SMU) dalam jurusan Perakaunan pada 2004. Ketika itu, Nurulasyiqah dan rakan-rakannya sedang melakukan kajian untuk sebuah projek kemasyarakatan untuk mengenal pasti sukan yang sesuai untuk individu yang berkerusi roda. Dari situlah, beliau pertama kali diperkenalkan kepada sukan boccia.

"Saya cuma tahu sukan ini menggunakan bola seperti boling, tapi bukan macam boling dan juga memerlukan banyak ketangkasan minda bukan ketangkasan fizikal. Jadi, pada saya, itu amat sesuai untuk saya sebab tidak perlu berpeluh bawah matahari atau berenang," seloroh Nurulasyiqah, yang juga mempunyai Sarjana dalam bidang Teknologi Maklumat dalam Perniagaan dari SMU.

Genap setahun beliau menghadiri sesi latihan secara 'suka-suka' bersama Majlis Sukan Orang Kurang Upaya Singapura (SDSC), Nurulasyiqah ditawarkan untuk bertanding di temasya sukan peringkat serantau di Kuala Lumpur.

Menjadi atlet negara bukanlah satu keputusan mudah bagi Nurulasyiqah, memandangkan beliau juga perlu mengimbangi tanggungjawab di rumah dan tempat kerja.

Dengan peluang untuk bertanding datang silih berganti, ia seolah-olah meyakinkan Nurulasyiqah, kebolehannya bertanding dalam sukan boccia secara profesional.

NURULASYIQAH KINI PEMAIN NOMBOR 16 DUNIA SUSULI PRESTASI CEMERLANG DI PIALA DUNIA BOCCIA BEIJING 2025

Sepanjang 21 tahun bergelar atlet negara, Nurulasyiqah telah meraih pelbagai kejayaan, termasuk penyertaan di dua edisi Sukan Paralimpik — London 2012 dan Rio 2016 — serta memenangi pingat di Sukan Para Asia dan Kejohanan Boccia Asia dan Pasifik Selatan.
Related article image
Nurulasyiqah Mohd Taha memenangi pingat perak di dalam kategori BC3 Berpasangan di Sukan Asia Para Indonesia 2018. (Gambar: Nurulasyiqah Mohd Taha)
Pencapaian terbaharunya di Piala Dunia Boccia Beijing sekali gus membuktikan lagi kehandalannya.

Beliau telah membawa pulang pingat Piala Dunia acara perseorangan sulungnya — pingat gangsa serta pingat perak bagi acara BC3 Berpasangan bersama rakan senegara, Aloysius Gan.
 
Related article image
Nurulasyiqah Mohd Taha membawa pulang pingat Piala Dunia acara perseorangan sulungnya — pingat gangsa serta pingat perak bagi acara BC3 Berpasangan bersama rakan senegara, Aloysius Gan. (Gambar: Nurulasyiqah Mohd Taha)
Lebih membanggakan lagi, beliau menumpaskan pemenang pingat emas Sukan Paralimpik Paris 2024, Ho Yuen Kei dari Hong Kong, sebelum meraih pencapaian sulung dalam acara perseorangan itu.
Related article image
Nurulasyiqah Mohd Taha bergambar bersama pembantu sukannya, Nur Azizah Ahmad Rumzi setelah merangkul pingat Piala Dunia acara perseorangan sulungnya — pingat gangsa di Piala Dunia Boccia Beijing pada 12 Jun lalu. (Gambar: Nurulasyiqah Mohd Taha)
Beliau berjaya melonjak ke tangga 16 daripada 24 dalam ranking dunia dalam kategori BC3 perseorangan.

"Prestasi kami di kejohanan ini memang menggambarkan tahap permainan kami yang terbaik buat masa ini," jelas Nurulasyiqah, yang bertugas sepenuh masa di SDSC sebagai penolong pengarah kerjasama dan pembangunan masyarakat.

ATLET BOCCIA TIDAK BERAKSI SECARA SENDIRIAN; CARI PEMBANTU SUKAN YANG SERASI DAN KOMITED SATU CABARAN UTAMA

Ditanya apakah cabaran terbesar sepanjang kerjayanya, ini dikongsi Nurulasyiqah:

"Sebagai pemain boccia dalam kategori B3, cabaran terbesar kami adalah mencari pembantu sukan yang komited - bukan hanya untuk latihan, tapi juga pertandingan di luar negara. Sebab bukan sahaja komitmen dari diri saya sendiri tapi saya perlukan komitmen dari seorang lagi individu yang lain."

Dalam kategori BC3, setiap atlet perlu bergandingan dengan seorang pembantu sukan – individu yang bertanggungjawab membantu dari segi teknikal seperti mengendalikan tanjakan dan meletakkan bola, mengikut arahan atlet sepenuhnya. Walaupun tidak perlu berpengalaman dalam boccia dan tidak dibenarkan melihat permainan, peranan mereka sangat penting.
Related article image
Nurulasyiqah bergambar bersama adik perempuannya, Syahirah Rasheed, di Sukan Paralimpik Rio 2016. (Gambar: Nurulasyiqah Mohd Taha)
Terdapat beberapa kali Nurulasyiqah terpaksa mendapatkan bantuan adik perempuannya sebagai pembantu sukan, termasuk ketika bertanding di temasya Sukan Paralimpik Rio 2016.

Beliau akur bahawa ada ketikanya timbul "rasa kecewa", memikirkan alangkah mudahnya jika beliau dapat bertanding sepenuhnya tanpa kehadiran seorang pembantu sukan.

Walaubagaimana pun, Nurulasyiqah menganggap ia sebahagian daripada "keindahan sukan boccia", yang menurutnya, bersifat inklusif dan melibatkan mereka dengan pelbagai keupayaan.
Related article image
Nurulasyiqah Mohd Taha bergambar bersama pembantu sukannya, Nur Azizah Ahmad Rumzi, yang telah dikenalinya sejak 2017. (Gambar: Nurulasyiqah Mohd Taha)
"SUDAH 20, MUNGKIN LAGI 20 TAHUN?": MASIH AWAL UNTUK BERSARA DARIPADA BERTANDING, MASIH KEJAR KEJAYAAN LEBIH TINGGI

Menyusuli prestasinya di Piala Dunia Boccia di Beijing, beliau akan mula membuat persiapan bagi saingan seterusnya — Piala Dunia Boccia Itajaí 2025 di Brazil, pada Ogos nanti.

Dengan kerjaya hampir dua dekad, apakah langkah seterusnya buat Nurulasyiqah?

Beliau belum terfikir untuk bersara, malah masih bersemangat mengejar kejayaan lebih besar.

"Dah 20 tahun mungkin lagi 20 tahun? Matlamat saya sama seperti atlet lain - untuk bertanding di peringkat yang tertinggi, iaitu Sukan Paralimpik. Saya terlepas peluang untuk bertanding di Tokyo dan juga Paris. Jadi sasaran saya kini ialah Paralimpik LA 2028, Insya-Allah," ujarnya.
Sumber : BERITA Mediacorp/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita