Skip to main content

Nadi Kampus

Bergelut dengan skoliosis & anuerisme otak, anak muda ini bangkit jual karyanya demi tingkatkan kesedaran

Anggaran Waktu Membaca:
Bergelut dengan skoliosis & anuerisme otak, anak muda ini bangkit jual karyanya demi tingkatkan kesedaran

Gambar: Syazwani Sanep/BERITA Mediacorp

SINGAPURA: Selepas hampir sepuluh tahun menderita penyakit skoliosis, beliau akhirnya memberanikan diri untuk menjalani pembedahan selama sembilan jam pada usia 22 tahun untuk meluruskan tulang belakangnya. Ini disusuli dengan tempoh pemulihan selama tiga bulan, yang memerlukan beliau berehat di atas katil sahaja.

Ibarat sudah jatuh ditimpa tangga, beliau kemudian didiagnos dengan penyakit anuerisme otak kira-kira setahun kemudian akibat tekanan tinggi dan lesu upaya.

Meski akur bahawa ia meluluhkan hatinya, ia tidak sekali-kali mematahkan semangat Nabilah Tan Isaman untuk bangkit daripada cabaran yang menimpanya.

“Saya rasa setiap apa yang berlaku ada sebabnya kerana inspirasi dan ilham untuk berkarya datang juga daripada perjalanan saya,” ujar gadis berusia 25 tahun itu.

Kini, beliau giat mengendalikan dua perniagaan online, sengetsis dan stressis sejak tahun lalu. Ia menawarkan pelbagai barangan termasuk kemeja-T, beg tote dan lilin, dengan diterapkan hasil sentuhannya berkait dengan penyakit skoliosis dan anuerisme otak yang dialaminya.

Idea untuk memulakan perniagaan, yang timbul sekadar untuk mengisi masanya, tidak disangka mendapat sambutan yang begitu menggalakkan.
“KENAPA BADAN AWAK SENGET?”

Mengambil inspirasi daripada apa yang seringkali diungkapkan oleh rakan-rakannya mengenai bentuk badannya ketika di bangku sekolah, beliau tidak ragu-ragu menamakan perniagaannya, sengetsis.

Dalam perjalanannya berdepan dengan penyakit skoliosis, Nabilah menyedari bahawa skoliosis bukanlah satu penyakit yang asing dalam kalangan masyarakat setempat.

Masih ada jurang dalam tahap kesedaran serta bentuk sokongan yang disediakan bagi para pesakit skoliosis sepertinya.

Menyingkap detik ketika keluarganya diberitahu tentang penyakit skoliosisnya, Nabilah berkongsi bahawa mereka sekeluarga buntu untuk mencari jalan dalam membantu beliau mengharungi penyakit itu pada mulanya.

Ketika itu, Nabilah dinasihat agar menggunakan pendakap tulang belakang selama 22 jam sehari dan bahkan, menghadiri kelas yoga, pilates dan sebagainya yang sekadar meringankan penderitaannya itu buat sementara waktu sahaja.
Related article image
Nabilah perlu menjalani pembedahan bagi penyakit skoliosisnya, selama sembilan jam pada usia 22 tahun untuk meluruskan tulang belakangnya. (Gambar: Nabilah Tan Isaman)
Menyusuli pembedahan yang perlu dijalani bagi penyakit skoliosis, beliau perlu melalui tempoh pemulihan, di mana beliau terpaksa berehat di katil sahaja. Dalam pada itu, beliau mengisi masanya dengan melukis di iPadnya, sekali gus menjadi detik tercetusnya idea untuk mengendalikan sengetsis.

Berbekal pengalamannya mengharungi penyakit itu, Nabilah menanam hasrat untuk membina platform yang menggalakkan perbualan mengenai penyakit skoliosis bukan sahaja dalam kalangan para pesakit, bahkan dalam kalangan masyarakat tempatan.
Related article image
Gambar: Nabilah Tan Isaman
“Sebenarnya, ramai orang yang nak berbual tentang skoliosis, namun mereka tidak mempunyai platform atau mereka tidak tahu untuk berbual dengan siapa. Apabila saya lihat jurang itu, ia menyedarkan saya tentang kelebihan sengetsis,” ujar anak bongsu daripada tiga adik-beradik itu.

Ditanya mengenai sambutan yang diterima sengetsis, Nabilah berbesar hati melihat produk sengetsis, yang berupa kemeja-T, beg tote dan poster, dibeli oleh pelanggannya daripada pelbagai latar belakang.

STRESSIS TEKAN PERI PENTINGNYA BEREHAT

Seperti belia lain seusianya, lulusan Maktab Seni LASALLE dalam jurusan Komunikasi Rekaan sudahpun mendapat pekerjaan sepenuh masa pertamanya sebagai pereka kandungan kreatif, ketika didiagnos dengan penyakit anuerisme otak.

Atas nasihat doktor, beliau terpaksa mengambil keputusan sukar untuk berhenti bekerja dan berehat serta memberi tumpuan kepada rawatan terapi bagi penyakitnya itu.

“Rasa sedih. Rasa keliru kerana pada ketika itu, (saya rasa) saya muda. Saya terlalu muda untuk menanganinya. Perkara kecil seperti nota “post-it” daripada kakak saya, mesej daripada keluarga dan rakan-rakan, adalah sesuatu yang mendorong saya untuk ingin sembuh,” luah Nabilah kepada BERITA Mediacorp.

Sungguhpun sukar untuk dihadapi, Nabilah menjadikan pengalamannya itu sebagai dorongan untuk menubuhkan stressis, dengan harapan agar ia dapat mengingatkan orang ramai tentang peri pentingnya berehat dalam kesibukan kehidupan harian.

Maka, lilin menjadi produk simbolik yang dikeluarkan Nabilah agar para pembelinya sentiasa tenang-tenang sahaja.
Related article image
Produk lilin itu, keluaran stressis, ditawarkan pada harga S$30. (Gambar: Nabilah Tan Isaman)
Daripada pembuatan lilin sehinggalah bahan untuk membungkus lilin, ia direka sendiri oleh Nabilah. Malah, bungkusan lilin itu juga lengkap ditawarkan dengan kad yang mengandungi mesej tentang pentingnya rehat serta senarai lagu yang boleh dinikmati mereka yang ingin menenangkan fikiran.
Related article image
Sekeping kad yang mengandungi mesej tentang pentingnya rehat, antara yang disertakan dalam bungkusan lilin, keluaran stressis.(Gambar: Nabilah Tan Isaman)
Produk lilin itu, keluaran stressis, ditawarkan pada harga S$30.

Dengan bungkusan menarik sedemikian, ramai pelanggan Nabilah gemar membelinya sebagai hadiah.

MAKIN BERKOBAR-KOBAR TERUS BERKARYA

Merenung kembali apa yang dilaluinya, Nabilah berkongsi: "Saya tidak pernah menyesal atau hampa dengan apa yang berlaku. Sengetsis dan stressis sudah menjadi sesuatu yang lebih besar daripada diri saya."

Selain online, Nabilah juga menawarkan produk-produk sengetsis dan stressis di gerai 'pop-up' yang disertainya, anjuran acara-acara tempatan dan luar negara, termasuk Singapore Art Book Fair dan KL Art Book Fair.
Selain mahu terus meluaskan perniagaan sengetsis dan stressis, gadis bersemangat waja itu menzahirkan harapan agar beliau dapat mengendalikan pameran solonya, yang menampilkan semua karya seninya, satu hari nanti.

“Saya rasa sebagai belia atau anak seni, kami ingin meninggalkan legasi. Saya rasa ia lebih mendatangkan kesan dan kepuasan apabila karya anda mewujudkan perbualan, apabila karya anda mencetuskan emosi atau perasaan tertentu dalam kalangan orang ramai.”
 
Sumber : BERITA Mediacorp/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita