#BeliaSG: Tamsil Teladan Legenda
Musykil kalau anda tidak pernah mendengar tentang kisah seperti Hang Nadim, Raden Mas dan Tun Fatimah. Atau sekurang-kurangnya Puteri Gunung Ledang. Apa pengertian anda tentang kisah yang disampaikan dari generasi ke generasi. Ini buah fikiran pelajar dari Sekolah Menengah Orchard Park.

(Gambar hiasan: Petikan gambar dari video YouTube)
BERITAmediacorp: Musykil kalau anda tidak pernah mendengar tentang kisah seperti Hang Nadim, Raden Mas dan Tun Fatimah. Atau sekurang-kurangnya Puteri Gunung Ledang. Apa pengertian anda tentang kisah yang disampaikan dari generasi ke generasi? Ini buah fikiran pelajar Sekolah Menengah Orchard Park.
BINGKISAN Melayu zaman dahulu
Terpateri dalam kitab, syair dan lagu
Sejarah, legenda, mitos - tiada siapa yang tahu
Namun termaktub citra buatmu, buatku
Budak remaja tajam akal, bergeliga
Walau muda, lantang bersuara
Hang Nadim wira nusa dan bangsa
Diserang todak, Singapura terselamat jua
Seorang anak, ibunya tiada
Sentiasa di sisi, peneman ayahanda
Walaupun hidup didera terseksa
Raden Mas berbakti ke hujung nyawa
Tun Fatimah srikandi waja
Walau saudara terkorban semua
Biar zalim takdir menimpa
Cekal bangkit tiada lelah,
Bukan meratap berputus asa:
Genggam bara api biar arang jadinya
Dua panglima pendekar istana
Tuah bertikam keris bukan diboneka
Jebat bertarung nyawa bukan derhaka
Luhur niat juangkan amanah;
Seorang pada taat setia beraja
Seorang lagi demi sahabat tercinta
Puteri nan agung jelita mestika
Di Gunung Ledang tempat bertakhta
Dilamar Sultan berdaulat berkuasa
Menolak dalam isyarat dan tanda
Menghela rambut dalam tepung
Berseraknya tiada
Lalu ceritera dari istana, dari lidah penglipur lara,
jadi ilham dodoian nenda, pesanan keramat bonda
disemat dalam jiwa sahaya
tamsil teladan hikayat mereka
jati diri Melayu kita.
KARYA: BALQIS ABDULLAH
SEKOLAH: SEKOLAH MENENGAH ORCHID PARK
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.