#BeliaSG: Semangat Awan
Seberapa rumit konflik di mata dunia, konflik dalam diri sendiri sama dahsyat jika seseorang mengambil langkah yang akhirnya memudaratkan pihak lain. Penulis ini menggambarkan konflik itu menerusi jalan cerita yang cukup menarik.

(Gambar: Michael Weidner/Unsplash)
BERITAmediacorp: Seberapa rumit konflik di mata dunia, konflik dalam diri sendiri sama dahsyat jika seseorang mengambil langkah yang akhirnya memudaratkan pihak lain. Penulis ini menggambarkan konflik itu menerusi jalan cerita yang cukup menarik. Meskipun watak utamanya adalah Awan Mendung, tetapi dilema yang dihadapi mungkin tidak lari daripada apa yang sering kita hadapi dalam kehidupan seharian.
“BIARKAN aku jatuh seribu kali, tetap aku bangkit seribu satu kali...” nyanyiku sambil melambai-lambaikan tangan menyapa Matahari Sejuk.
Kedatangan aku bukanlah satu kebetulan. Aku dihidupkan dengan satu matlamat. Aku akan tumpahkan rahmat kepada kalian semua. Aku akan tunggu masa itu. Masa bila aku diperlukan, dinanti-nantikan dan dihargai. Aku Awan dan ini perjalanan hidupku. Perjalanan yang begitu istimewa. Perjalanan yang sangat sukar untuk diduga dan ditempuhi.
Namun, aku tetap berkhidmat kepada manusia yang tidak pernah menghargai kewujudanku. Aku menghembuskan kabus yang panjang. Bila aku sudah tiada, mereka akan tergesa-gesa mencari aku. Manusia tidak pernah belajar daripada sejarah dan kisah silam yang pernah berlaku empat tahun lalu. Kemarau panjang.
Nama aku Awan Mendung. Aku awan yang selalu tidak digemari golongan orang dewasa. Sebabnya? Aku menyusahkan mereka.
Kanak-kanak juga murung setiap kali aku muncul. Aku dikeji, dipulaukan dan diketepikan oleh manusia yang kelihatan halus seperti semut dari sudut pandanganku. Setiap kali mereka menuding jari ke langit dan melemparkan kata-kata kesat, hatiku jadi pilu.
Aku mula merintih, menitiskan air mata kehibaanku. Semakin banyak titisan air mata ini, semakin dalam rasa benci manusia terhadap aku. Aku tidak sanggup menahan kesedihan ini lagi. Aku meraung seperti bayi baru dilahirkan. Ribut Belas Kasihan datang memujuk aku dari sudut langit yang berdekatan.
“Usah kau menangis lagi Wan. Aku sentiasa di sisimu. Usahlah kau bersedih kerana manusia yang lupa diri ini. Janganlah kau berterusan begini
"Wan, banjir nanti tanah mereka. Yang sudah itu sudah Wan, biar kita beredar dari sini dan menyertai Laut Lembut dan Gunung Gagah. Mereka rindukan kau,“ pujuk Ribut Belas Kasihan sambil menarik tanganku menuju ke rumah Laut Lembut.
Berjam-jam aku menangis sehingga sungai banjir melimpah ke tanah perkampungan itu. Pujukan Ribut Belas Kasihan membuat aku kembali tenang. Tiba sahaja di rumah Laut Lembut, aku disambut dengan mesra oleh Laut Lembut dan Gunung Gagah. Mereka berdua mendakap aku erat.
Rumah mereka berdua masih luas terbentang dan tersergam indah, tatkala dipenuhi ramai penghuni. Ikan-Ikan riang menemani Laut Lembut dan kehijauan pokok-pokok mendampingi Gunung Gagah. Mereka memang bertuah sekali kerana masih ada yang bersyukur dengan perlindungan yang disediakan Laut Lembut dan Gunung Gagah.
Aku pula sudah mula dicaci dan dibenci. Sungguh perit hatiku ini. Kami berempat bersembang dari petang hingga ke malam. Bintang Cerah dan Bulan Gelap pun menyertai kami pada malam itu.
“Hei kawan-kawan, sudah dengar berita petang tadi? Kata manusia, Matahari Sejuk jatuh sakit! Demam panas kata mereka,” kata Bintang Cerah sambil berkerdipan.
“Memang benar kata mereka. Isteriku itu jatuh sakit petang tadi. Katanya, hujan membuatnya demam. Sekarang suhu badannya semakin panas. Aku risau kalau kemarau akan kembali lagi,” keluh Bulan sambil menghela nafas yang panjang.
Aku terdiam buat seketika. Hujan petang tadi membuat Matahari demam? Aku akan menjadi penyebab kemarau panjang buat kali kedua.
Kebimbangan jelas terpancar di raut wajahku sehingga Ribut Belas Kasihan juga menyedari aku berasa begitu khuatir. Dia mengusap-usap diri ini sambil meyakinkan aku walau apa jua yang terjadi pada keesokan harinya, ia akan ditempuhi bersama-sama.
Aku menitiskan air mata. Kata-kata Ribut Belas Kasihan membuat aku begitu terharu. Dia lain daripada yang lain. Mereka hanya tidak mengendahkan rintihanku dan mengatakan setiap masalah ada jalan keluarnya.
Esok pagi pun tiba. Matahari Sejuk bangun dari tidurnya. Dia kelihatan lebih terik daripada semalam. Aku cuba menghampirinya. Cair aku dibuatnya. Aku berundur.
Matahari masih belum menyapa sesiapa. Panas terik mula membakar kulitku. Gunung Gagah berteriak, mengkhabarkan berita tentang pokok-pokoknya yang semakin kering kekontangan. Laut Lembut pun meraung apabila airnya semakin mendidih dan bertukar menjadi wap.
Kedahsyatan keadaan pada ketika itu tidak dapat dibayangkan. Aku menjadi bingung dan tertekan.
Kata-kata “Ini semua salah Awan” mula mengasak-asak benak fikiranku. Ribut Belas Kasihan cuba menenangkan aku sekali lagi. Gagal. Aku melarikan diri sepantas kilat. Aku memandang ke belakang. Aku tidak mampu mengharungi dugaan ini. Ini semua salah aku.
Tidak lama kemudian, berita tentang kemarau yang menimpa tanah bumi itu tersebar luas. Keadaan di bumi mula menjadi huru-hara. Manusia mulai berebut dan bergaduh untuk mendapatkan air.
Aku bertambah tertekan tatkala mendengar berita-berita ini. Aku ingin sekali menjauhkan diri daripada masalah ini. Aku tidak mahu menghampakan sesiapa lagi. Lebih baik jika aku tidak wujud. Aku hanya membawa masalah kepada semua. Aku membatukan diri. Aku menutupi kedua-dua telinga dan mataku.
Tidak! Aku tidak akan kembali untuk menyelesaikan masalah itu. Aku akan pergi jauh dari sini. Panggilan Ribut Belas Kasihan tidak aku endah. Aku merintih kepiluan, seraya membawa diri ke sebuah tempat yang tidak pernah aku lawati.
Bahangnya membuat aku berpeluh. Aku membuka mataku dan terlihat pasir-pasir sehalus gula. Aku di mana? Mengapakah aku menjadi semakin halus?
Tangisan yang aku titiskan tadi sudah tiada. Lesap. Aku semakin keliru. Aku cuba mencari awan-awan yang lain. Sunyi. Aku memandang ke arah Matahari Sejuk yang sudah kian jauh daripada aku. Aku berasa serba-salah.
Aku meninggalkan kawan-kawanku begitu sahaja, terseksa dengan kemarau itu. Aku mesti pulang! Aku mesti menyelamatkan kawan-kawanku dan manusia yang alpa itu.
Aku cuba mencari kehidupan di tempat ini. Sukar bagi aku untuk mencari apa-apa yang bernyawa. Semuanya bersembunyi daripada bahang yang kian terasa. Aku ternampak beberapa batang pokok berduri. Aku menghampiri mereka.
“Apa khabar wahai Pokok Berduri! Aku Awan Mendung dan aku mungkin sudah sesat jalan. Aku perlu pulang ke rumah kerana orang yang aku sayangi memerlukan bantuanku.”
“Awas! Awas! Duriku akan mencalarkan kulitmu! Hati-hati lain kali. Namaku bukan pokok berduri. Aku Kaktus Merdeka. Merdeka kerana tidak pernah ada seekor binatang yang berjaya menjajah isiku. Aku tidak boleh membantu engkau. Engkau harus tahu, tiada sesiapa yang pernah meninggalkan tempat ini dengan selamat. Engkau sedang berada di padang pasir.”
Padang Pasir? Aku di padang pasir? Oh tidak mungkin. Aku mungkin sedang bermimpi. Khayalan sementara. Aku menutup mataku dan membukanya sekali lagi. Sama. Aku tanya Kaktus Merdeka sekali lagi.
"Tiada sesiapa yang pernah meninggalkan tempat ini dengan selamat?" Dia mengangguk-anggukkan kepalanya.
Bagaimanakah aku hendak pulang sekarang? Bagaimanakah hendak aku selesaikan masalah kemarau dan membantu kawan-kawanku?
Aku rebah ke pasir. Terbaring aku bersebelahan Kaktus Merdeka, sambil memandang ke langit yang kosong. Rasanya bagai ingin putus harapan namun aku cekalkan hati. Aku perlu terus bersemangat, pujuk diriku.
Bulan Gelap pun muncul dengan mukanya yang tertunduk hampa. Aku meninggalkan Kaktus Merdeka dan menghampiri Bulan Gelap. Dia teresak-esak seperti bayi yang merengek. Aku hanya bersimpati.
Bintang Cerah juga muncul dan menggeleng-gelengkan kepalanya ke arah aku. Aku hanya terdiam. Aku tahu aku yang bersalah kerana lari daripada masalah kemarau itu.
“Apa yang kau fikirkan, Awan? Binasa kawan-kawan kita di sana. Mereka menantikan kepulanganmu. Sekarang ini usah kau menyalahkan diri kau lagi. Kita juga sama-sama bersalah. Kitakan kawan, bukan? Senang susah, kita harus melaluinya bersama-sama bak kata pepatah, bukit sama didaki, lurah sama dituruni.”
Aku hanya menganggukkan kepalaku tanda akur. Bintang meninggalkan aku dan pulang ke angkasa. Aku menggigil pada malam itu di tengah padang pasir yang dingin. Aku akan mencari jalan keluar esok pagi. Aku melelapkan mata.
Pagi muncul dan Matahari Sejuk masih terik. Aku cuba menyapanya. Gagal. Aku bertekad ingin keluar dari padang pasir ini dan membantu kawan-kawanku.
Aku mengambil langkah yang pertama. Aku menghapuskan segala keraguan. Aku sahaja yang mampu menamatkan kemarau. Manusia memerlukan aku. Walaupun mereka sering lupa diri, aku masih boleh menunjukkan belas kasihan aku seperti Ribut Belas Kasihan.
Aku mesti melembutkan hatiku seperti Laut Lembut yang mengizinkan jutaan ikan hidup di rumahnya. Aku mesti tetap gagah dan berani menghadapi ujian seperti Gunung Gagah. Aku perlu cepat. Masa berlalu dan air semakin berkurangan.
Lama aku mencari jalan keluar dari padang pasir itu. Akhirnya aku ternampak lautan luas yang berada di penghujung padang pasir. Aku bergegas ke sana.
Itu bukan rumah Laut Lembut tepi sepupunya Laut Gelora. Aku menanyakan jalan terpantas untuk pulang ke rumah. Katanya, dia boleh tolong memanggil Angin Kencang untuk membawa aku pulang dengan cepat.
Aku mengiakan pertolongannya. Angin Kencang pun mengheret aku dengan pantas merentasi rumah Laut Gelora dan menuju ke rumah Laut Lembut. Dalam perjalanan itu, aku asyik memikirkan kawan-kawanku yang sedang menderita.
Tiba sahaja di sana, Ribut Belas Kasihan menerpaku. Tanpa mengatakan apa-apa, dia mengheret aku ke tanah perkampungan. Aku tidak sempat meminta maaf langsung.
Ribut Belas Kasihan bekerjasama dengan aku untuk menurunkan hujan lebat. Aku mengukirkan senyuman sebagai tanda terima kasih kepada Ribut Belas Kasihan. Manusia terlompat-lompat keriangan tatkala menerima rahmat daripadaku.
Aku berhenti mencurahkan rasa belas kasihan selepas danau mereka terisi penuh. Matahari Sejuk pun menjadi semakin redup dan menjadi kurang terik. Pokok-pokok Gunung Gagah kembali hidup dari layu mereka.
Laut Lembut berhenti meraung. Semua orang menoleh ke arah aku. Ada yang marah. Ada yang berterima kasih. Aku tetap memainkan perananku. Peranan aku sebagai Awan Mendung untuk melimpahkan rahmat kepada semua orang.
Tanpa aku, hidup tidak sempurna. Tanpa aku, tiada kehidupan yang boleh hidup. Tiada yang membenci kehadiranku kerana akhirnya mereka mengerti mengapa aku wujud.
Aku Awan Mendung dan ini perjalanan hidupku.
KARYA: MUHAMMAD NURHELMAN B ABDUL RAHIM
SEKOLAH: MAKTAB RENDAH YISHUN INNOVA
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.