Skip to main content

Nadi Kampus

#BeliaSG: Kehilangan Kaki

"Aqil, ada sepucuk surat universiti di atas meja makan!" Pekik ibu dengan suara yang lantang. Hatiku berdegup pantas dan ketakutan mula bergayut di sudut hatiku. Aku mengambil surat tersebut dengan tangan yang menggigil.

Anggaran Waktu Membaca:
#BeliaSG: Kehilangan Kaki

(Gambar hiasan: Noorullah Shirzada/AFP)

Diterbitkan : 26 Sep 2018 07:18AM Dikemas Kini : 26 Sep 2018 09:19AM

BERITAmediacorp: "Aqil, ada sepucuk surat universiti di atas meja makan!" Pekik ibu dengan suara yang lantang. Hatiku berdegup pantas dan ketakutan mula bergayut di sudut hatiku. Aku mengambil surat tersebut dengan tangan yang menggigil. Dengan perlahan, aku mengeluarkan surat dari universiti idamanku itu dan berselawat lalu membaca surat itu.

“Tahniah! Permohonan biasiswa awak telah diterima oleh pihak Jabatan Sains kami dan kami akan mengumumkan setiap keperluan awak sebelum pengajian awak dimulakan.” Air mata yang bertakung di kelopak mataku akhirnya mengalir deras ke pipiku. Kuntum kegembiraan mengembang di hatiku sekaligus menghalau debaran yang memukul dada ketika aku membaca surat tersebut. Aku terpekik kegembiraan. Ibuku yang berada di dapur terkejut dan bergegas menuju ke arah aku. Aku memberitahu khabar gembira itu kepadanya. Air matanya juga mula mengalir di pipinya dan dia terus mendakap aku dengan erat. "Ibu berasa sangat bangga mempunyai anak seperti kamu," kata ibuku.

Beberapa hari kemudian, aku sudah bersiap sedia untuk pergi ke Melbourne. Walaupun sangat payah untuk aku meninggalkan ibuku keseorangan, aku terpaksa melakukannya untuk mencapai cita-citaku. Ibukulah pendorong utama diriku untuk melanjutkan pelajaranku di Melbourne. Di sekolah dahulu, aku selalu meraih banyak anugerah sebagai pelajar terbaik dan dihormati sahabat-sahabatku. Kini, inilah masa untuk aku menunjukkan kecemerlangan dan kewibawaanku di luar negara.

Malamnya aku bermimpi kononnya aku sudah tiba di Universiti Melbourne, aku terus ke kampusku, lalu aku berjumpa dengan Hakim, rakan sedarjahku yang masih mengekalkan budaya Melayunya dan tidak pernah keluar dari batasan Islam. Kononnya, Hakim sudah berada di kampus tersebut selama setahun kerana dia seorang pelajar tahun kedua. Oleh sebab itu, dia banyak memberi aku bimbingan selama aku berada di situ.

Esoknya ketika berada di sekolah aku begitu riang. “Aqil! Saya berasa bangga dengan awak. Saya harap awak dapat meneruskan usaha awak yang baik itu,” kata Cikgu Suzi. Aku melonjak kegembiraan dan tidak sabar untuk pulang ke rumah berjumpa dengan ibuku. Setelah aku keluar dari kelasku, Hakim menelefon aku dan menyuruh aku menemaninya ke pusat membeli-belah yang berhampiran dengan sekolah kami. Aku pun bersetuju dan mula mengorak langkah ke tempat perjanjian kami. Dalam perjalananku, aku teringat bahawa aku belum menelefon ibuku. Tentu dia risau. Dengan segera, aku menyeluk sakuku untuk mendapatkan telefon bimbitku lalu menelefon ibuku.

Semasa berbual dengan ibuku di telefon bimbit itu, aku ternampak Hakim lalu mengangkat tanganku supaya dia dapat melihat aku. Tiba-tiba, aku terdengar pekikan seorang wanita yang agak kuat. Aku pun menoleh dan terlihat sebuah kereta meluncur laju ke arah aku. Aku terkejut dan cuba mengelak kereta itu tetapi terlewat. 'Phoom!' Penglihatanku mula kabur dan aku pengsan.

Apabila aku sedar, aku mendapati diriku di atas katil di sebuah hospital. Aku pun mengimbas kembali perkara yang berlaku itu dan terkejut apabila melihat diriku hanya mengalami kecederaan yang ringan. Aku pun mendapatkan jururawat yang berada di situ dan menyoalnya tentang kejadian yang menimpa diriku. Dia mengatakan bahawa seorang remaja lelaki telah mempertaruhkan nyawanya bagi menyelamatkan aku. Tergambar wajah Hakim di depan mataku. 'Bukankah dia di hadapan aku? Tidak! Tidak mungkin!' aku menjerit sekuat-kuatnya. Aku memaksa doktor itu membawa aku ke wad remaja yang telah menyelamatkan aku itu.

Hatiku hancur bagaikan gelas yang pecah seribu ketika aku melihat Hakim terbaring di katil wad tersebut. Aku menghampirinya dan mendapati kaki kirinya telah kodong. "Kenapa Hakim? Kenapa kau menyelamatkan aku? Bukan kau tetapi aku yang sepatutnya mengalami semua ini!" bertubi-tubi soalan bermain di fikiranku.

Air mata mula mengalir dari mata Hakim. "Aku tidak menyesal sedikit pun atas musibah yang berlaku ke atasku. Ini adalah ketentuan Illahi dan aku reda. Malah aku bangga kerana dapat menyelamatkan engkau yang ku anggap sebagai adikku," kata Hakim dengan suaranya yang lemah.

Hatiku mula berasa sebak dan bertubi-tubi air mata berguguran mengalir di pipiku. Aku berasa bangga kerana mendapat seorang sahabat yang sangat prihatin pada diriku sehingga sanggup berkorban untuk menyelamatkan aku. Aku tidak akan melupakan pengorbanannya itu. Aku juga berjanji aku akan sentiasa berada di sisinya.

KARYA: MARIAM OSMAN
SEKOLAH: SEKOLAH MENENGAH ANDERSON

Sumber : BERITA Mediacorp/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita