Skip to main content

Iklan

Iklan

Nadi Kampus

#BeliaSG: Hukuman Mahkamah Agung

Umumnya ramai memang suka berkongsi pandangan dan pengalaman hidup di media sosial. Namun, perlulah berpada-pada. Pengalaman tersemat dalam cerpen ini boleh dijadikan ikhtibar agar jangan sewenang-wenangnya melepaskan kata-kata yang menghasut kebencian. 

Anggaran Waktu Membaca:
#BeliaSG: Hukuman Mahkamah Agung

(Gambar hiasan: Rami Al-zayat/Unsplash)

Diterbitkan : 04 Sep 2019 08:31PM Dikemas Kini : 04 Sep 2019 08:36PM

BERITAmediacorp: Umumnya ramai memang suka berkongsi pandangan dan pengalaman hidup di media sosial. Namun, perlulah berpada-pada. Pengalaman tersemat dalam cerpen ini boleh dijadikan ikhtibar agar jangan sewenang-wenangnya melepaskan kata-kata yang menghasut kebencian. "Media sosial, kaulah kawan dan kau jugalah lawan!"

“TIDAK, saya tiada niat untuk mengatakan semua itu. Saya berani sumpah! Saya benar-benar tidak berniat... sa... ya... ti... dak..."

Diri ini benar-benar ingin mempertahankan diri tetapi tiada kata yang dapat diungkapkan, leherku bagai dicerut ketat.

Jantungku berdegup kencang. Titik-titik peluh mula membasahi dahi. Aku cuba mengawal diri dengan perlahan-lahan menghela nafas. Tidak kusangka akan dihukum sekeji ini.

Kekesalan mula menyelinap ke dalam jiwa. Aku kini berada di dalam sebuah mahkamah. Namun, mahkamah ini kelihatan amat ganjil. Aku duduk di hadapan ramai juri yang "tidak sabar" menghukum aku.

Peliknya, tangan mereka diikat. Di belakang mereka, ada seorang pemuda digelar Hakim Besar, yang seperti aku kenal. Apakan tidak! Wajahnya seakan-akan sama dengan raut wajahku!

Aku tidak dapat mendengar apa yang dikatakannya. Suara juri di hadapanku terlalu kuat, hinggakan ia membisukan Hakim Besar. Tiba-tiba, salah seorang daripada mereka berdiri.

“Bolehkah kamu terangkan apa yang kamu sedang fikirkan ketika melakukan jenayah ini?”

“Saya…er...er... saya hanya ingin meluahkan perasaan. Saya tidak bermaksud untuk melukakan hati sesiapa pun, mahupun memfitnah atau mengutuk.”

Mataku berpinar-pinar. Aku menutup rapat kelopak mataku. Gambaran peristiwa itu masih jelas dalam fikiran. Aku cuba mengimbas kembali kejadian yang berlaku beberapa hari lalu.

“Mak, kenapa ni bising-bising! Aip nak tidur la Mak! Bising!!”

“Saif, di kolong blok kita ada upacara kematian. Memang biasa ada iringan pancaragam dalam upacara ini. Sabar ya nak...Sekejap lagi selesailah semuanya.”

Mak dengan lembut memujuk aku. Namun, kelembutan itu tidak mampu menyejukkan hati.

“Ah!!! Aduh bisingnya!!!”

Aku cuba menutup telingaku dengan bantal-bantal namun dentuman dram dan tiupan trompet bagai ingin memecahkan gegendang telingaku. Tidak tahan lagi, aku bingkas bangun dan menjenguk ke bawah. Merah padam mukaku menahan perasaan berang yang mencengkam hati. Aku menggenggam tanganku. Tapi perasaan marah semakin meluap-luap.

Aku menoleh ke arah jam di dinding. Lagi dua jam aku harus berangkat ke tempat kerja, bermakna aku hanya dapat tidur selama tiga jam sahaja. Dengan serta-merta api amarahku memarak menjadi dendam. Aku mahu menghentikan segala kesengsaraan yang aku rasakan pada detik itu juga!

Tanpa berfikir panjang, aku bergegas masuk ke bilik dan mencari telefonku. Aku buka akaun Twitter dan mula menaip. Menaip, menaip, menaip dan menaip sepuas-puas hati. Aku ingin satu dunia tahu bagaimana aku sedang merana akibat sifat tidak bertimbang rasa orang-orang ini. Namun, tanpa aku sedari, aku sedang mencaci dan menghakimi seluruh kaum itu. Matlamatku hanya satu; untuk meluahkan perasaan tidak puas hatiku terhadap para pengguna. Aku tidak peduli. Biar mereka semua tahu perasaanku!

“Kamu sedar bukan bahawa kelakuan kamu ini SALAH?”

Salah seorang daripada mereka turut berdiri.

“Kamu juga tahu bukan bahawa apa yang kamu lakukan ini akan membawa padah? Tiada apa yang boleh membuktikan bahawa kamu tidak bersalah. Sudah tentu kamu salah! “

Titisan air mata mula mengalir. Aku masih lagi fikir bahawa aku tidak salah. Aku berhak bersuara. Namun aku rasa seperti aku tidak berkuasa kerana semua pihak sedang menghukum aku.

Walaupun tangan dan mulutku tidak diikat, aku berasa bahawa aku hilang kuasa dan hilang segala kudrat untuk menggerakkan lidah dan mulut.

Aku tahu yang paling berkuasa ialah Hakim Besar. Mataku mula mencarinya yang berada di belakang mereka. Sebaik-baik sahaja aku melihat wajahnya, entah mengapa aku berasa seolah-olah aku sedang melihat diriku sendiri. Dia cuba untuk memberitahu aku sesuatu namun suara juri terlalu kuat sehinggakan aku tidak dapat mendengar apa yang ingin disampaikan.

“Saya mengaku bahawa saya tidak sepatutnya berkelakuan demikian. Saya kesal… tolong beri saya peluang kedua untuk membetulkan kesalahan saya... saya merayu,” aku merintih, meminta keampunan mereka.

“Ah! Tidak! Kami tetap akan menghukum kamu. Kami tidak akan berdiam diri sehinggakan hidup kamu musnah. Sifat perkauman tidak akan dipandang remeh! Kami akan pastikan kamu terima balasan kamu."

Mengapa dia harus melibatkan kaumku? Apakah aku sudah memalukan kaumku? Aku terpaksa menelan sindirannya terhadap kaumku. Aku sudah mencaci kaum lain… aku berasa lemah untuk menentang mereka.

Suaraku hanya satu, sedangkan mereka ramai. Apa yang harus aku lakukan sekarang? Aku buntu. Aku tidak menyangka bahawa perkara ini akan berlaku. Namun aku harus bersikap positif. Aku harus tabah menghadapi rintangan ini. Setelah aku menerima segala hukumanku, aku ingin memulakan kehidupan baru.

Beberapa hari kemudian, aku menerima khabar bahawa aku dipecat. Segala usahaku untuk mendapatkan pekerjaan itu laksana mencari sungai yang tiada berhulu.

Mukaku terpapar di muka surat khabar. Rasa malu yang timbul akibat perbuatanku sendiri bukan sahaja perlu aku tanggung. Malah keluarga dan kaumku juga terkena tempiasnya. Aku kesal. Aku telah membunuh kerjayaku, maruahku, maruah keluargaku dan martabat kaumku. Aku memutuskan untuk membawa nasib dan meninggalkan tanah airku. Aku tidak mahu lagi memalukan keluargaku.

Ternyata platform media sosial adalah mahkamah agung yang paling kejam! Sebuah mahkamah superfisial, dan hanya juri yang boleh berteriak tanpa bertindak. Namun kita harus mendengar diri kita sendiri, yang merupakan Hakim Besar kerana kita yang mempunyai kuasa sebenar untuk membetulkan kesilapan kita. Media sosial, kaulah kawan dan kau jugalah lawan!

KARYA: NAUMAN ADIEL MUHAMMAD NIZAMULMULUK
SEKOLAH: MAKTAN RENDAH TAMPINES MERIDIAN  

Sumber : BERITA Mediacorp/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan