Skip to main content

Iklan

Iklan

Nadi Kampus

#BeliaSG: Cintaku Aku Tinggalkan Di Okinawa

Cerpen tulisan Dian Firzanah dalam ruangan #BeliaSG minggu ini mengisahkan cinta seorang gadis yang sangat terluka akibat dikhianati kekasih hati dan sahabat sendiri. Lebih menyedihkan lagi, semua itu berlaku ketika beliau berada di luar negeri. Ayuh ikuti kisah ini.

Anggaran Waktu Membaca:
#BeliaSG: Cintaku Aku Tinggalkan Di Okinawa

(Gambar hiasan: @visitokinawajapan/Instagram)

Diterbitkan : 11 Dec 2018 08:51PM Dikemas Kini : 11 Dec 2018 09:01PM

BERITAmediacorp: Cerpen tulisan Dian Firzanah dalam ruangan #BeliaSG minggu ini mengisahkan cinta seorang gadis yang sangat terluka akibat dikhianati kekasih hati dan sahabat sendiri. Lebih menyedihkan lagi, semua itu berlaku ketika beliau berada di luar negeri. Ayuh ikuti kisah ini.

AKU merenung gambarku dengan Saiful. Kenangan-kenangan manis mula menjelma dalam ingatanku. Titik-titik air mataku mula mengalir lalu membasahi pipiku. Mengapakah dia harus meninggalkan aku? Bukankah aku telah melayaninya dengan baik? Apakah salah aku terhadapnya? Aku menangis setiap malam, memikirkan apa yang sudah dilakukannya. Peristiwa hitam bermain kembali di ingatanku... 

Aku asyik melihat jam tanganku. Di manakah Saiful? Sejak kebelakangan ini, dia selalu datang lambat setiap kali kami bercadang untuk berjumpa. Tetapi, aku hanya berfikiran positif. Mungkin dia ada hal penting. Selepas beberapa minit, dia pun muncul.

"Hai Elyana. Maaf, aku lambat. Ada banyak kerja di pejabat tadi. Kau sudah pesan makanan?" tanya Saiful dengan senyuman manis di bibirnya.

Aku menggelengkan kepalaku. Kami pun memesan makanan dan apabila makanan dan minuman sampai, kami pun menjamu selera sambil bersembang dengan asyiknya.

"Erm, Elyana, aku ada sesuatu perkara yang hendak aku beritahu kau. Aku harus ke Okinawa kerana urusan kerja selama enam bulan," Saiful memberitahu aku sambil bermain dengan makanannya.

Aku sempat tergamam. Namun aku pasti, dia pasti ke sana untuk mencari rezeki lebih demi masa depan kami. Aku hanya menguntumkan senyuman.

Beberapa hari kemudian, tibalah hari Saiful harus berangkat ke Okinawa. Aku menghantarnya ke Lapangan Terbang Antarabangsa Changi. Aku melambaikan tangan kepadanya sehinggalah dia memasuki dewan keberangkatan. Beberapa titik air mataku mula mengalir. Aku akan merinduinya.

Minggu dan bulan silih berganti. Perasaan rinduku terhadap Saiful semakin mendalam. Walaupun aku masih boleh berbual dan melihat wajahnya melalui aplikasi Skype, perasaan rindu masih tertanam dalam hatiku. Tiba-tiba, aku mendapat satu idea!

Aku terburu-buru menempah tiket pesawat pagi penerbangan paling awal untuk ke Okinawa. Selepas itu, aku pun segera menyediakan segala keperluan untuk ke sana.

Kring! Jam locengku berbunyi, menandakan sudah jam 4.00 pagi. Hatiku berbunga-bunga. Sinar gembira mengerlip di mataku. Aku tidak sabar untuk berjumpa Saiful, bertemu empat mata dengannya selepas empat bulan yang terasa begitu lama. Saiful tidak tahu-menahu tentang rancangan ini tetapi, aku harap dia akan terkejut dan gembira apabila berjumpa aku nanti. Aku betul-betul tidak dapat mengawal perasaan seronok sehingga aku rasa seperti hendak menjerit kegembiraan.

Selepas aku memasuki pesawat, mulalah aku berkhayal. Bermain di fikiranku tentang bagaimana kami akan berpelukan selepas beberapa bulan merindui satu sama lain. Aku dapat menggambarkan diri kami sebagai pasangan yang begitu sempurna dan tidak terpisahkan. Aku tenggelam dalam dunia khayalanku sehingga tidak menyedari, aku sudah tiba di Okinawa.

Aku segera ke tempat kegemarannya di Okinawa, iaitu The Lemongrass Cafe. Setiap pagi, apabila kami 'bertemu' melalui Skype, dia akan berada di kafe itu. Aku yakin bahawa dia akan ke sana pada pagi itu. Rupa-rupanya, hotel penginapan Saiful berdekatan dengan kafe itu. Aku pun menunggu.

Selepas beberapa minit, aku terdengar pintu kafe itu dibuka. Tanpa berlengah, aku menoleh ke arah pintu tersebut. Aku sungguh terkejut. Jantungku bagaikan hendak terjatuh. Hatiku hancur. Aku cuba menahan air mataku daripada mengalir. Aku melangkah perlahan-lahan ke arah Saiful. Aku menarik tangannya sambil keluar dari kafe itu. Pada mulanya, dia terpekik kerana marah tetapi, apabila dia melihat wajahku, tiada kata yang dapat diungkapkannya.

"lzatti? Kau rampas Saiful daripada aku! Kau sepatutnya menjadi kawan baikku yang sejati, tetapi rupa-rupanya kau mengkhianati aku!" aku memekik sekuat hatiku.

Saiful menundukkan mukanya, malu untuk berkata apa-apa. Pada saat itu, aku tidak dapat mengawal air mataku. lzatti tidak sedikit pun kelihatan rasa bersalah.

"Kenapa kau harus keluar dengan perempuan lain? Kenapa kau harus curang kepada aku? Aku datang sejauh ini untuk melepaskan rindu tetapi ini balasan yang aku terima!"

Perkataan-perkataan itu keluar mengalir seperti sungai dari mulutku.

"Siapa suruh kau datang ke sini? Kau sepatutnya beritahu aku dahulu! Ya! Aku curang sebab aku bosan dengan kau! Puas hati kau?"

Saiful tiba-tiba meninggikan suaranya. Sejurus itu, dengan pantas dia meninggalkan aku. Itu bukan Saiful yang aku kenal. Itu bukan lzatti yang sudah aku kenal selama 10 tahun. Saiful yang aku kenal seorang yang baik, rajin, jujur dan menghormati orang lain. Tetapi, pada hari itu, aku menyedari bahawa Saiful bukan seperti yang aku sangkakan.

Hatiku sakit sekali. Hatiku lebih sakit apabila aku mendapat tahu bahawa Saiful curang kepada aku dengan kawan baikku sendiri. lzatti mengkhianati persahabatan kami. Aku hanya berdiri di luar kafe itu sambil menangis teresak-esak.

Aku mengambil keputusan untuk pulang ke Singapura pada keesokan harinya. Apa gunanya aku berada di Okinawa itu lagi? Tiada sesiapa yang mahukan aku di situ. Dua orang yang aku hormati, sayangi dan percayai telah mengkhianati dan meninggalkan aku. Tarikh hari itu ialah 16 Februari. Tarikh yang istimewa kerana tarikh itu ialah tarikh kami mula menjalinkan hubungan.

Rutinku sejak kejadian itu: hanya berbaring di atas katilku dan menangis dari pagi hinggalah ke larut malam. Aku juga akan merenung gambar-gambarku bersama Saiful. Ibu bapaku mula risau terhadap kesihatanku.

Hatiku masih sakit. Sebulan telah berlalu, aku masih terjejas oleh kejadian itu. Aku hanya berharap dapat membuka lembaran kehidupan baru dan menemui peneman hidup yang setia.

KARYA: DIAN FIRZANAH MOHAMMAD AZLAN
SEKOLAH: SEKOLAH TINGGI PEMERINTAH BUKIT PANJANG

Sumber : BERITA Mediacorp/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan