Skip to main content

Iklan

Iklan

Nadi Kampus

Belia SG alu-alukan Nadi Kampus diperluas; sifatkannya 'ruang selamat' untuk suarakan pandangan

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Sejak dilancarkan dua tahun lalu, Nadi Kampus masih menerima sambutan yang memberangsangkan dalam kalangan golongan belia yang menyifatkannya sebagai wadah untuk menyuarakan pandangan dan menyumbang karya mereka.

Para belia, malah melahirkan harapan agar Nadi Kampus akan diperluaskan lagi supaya ia dapat mendampingi lebih ramai belia dengan lebih berkesan lagi.

Sentimen ini rata-rata disuarakan hampir 60 belia daripada pelbagai latar belakang yang menghadiri Sesi Perkongsian Nadi Kampus pada Sabtu (2 Mac).
Gambar: Eva Adriana/BERITA Mediacorp
Diadakan di The Malayan Council @Bussorah Street, sesi tersebut bermatlamat untuk mendampingi golongan belia, daripada pelbagai institusi dari peringkat sekolah menengah hingga ke karyawan muda yang berusia bawah 30 tahun, agar memanfaatkan platform tersebut menerusi sumbangan karya dan daya kreativiti anak muda Melayu/Islam tempatan dan juga dari rantau ini.

Di samping itu, para belia turut dipelawa untuk menyuarakan pandangan mereka mengenai keberkesanan kandungan media sosial dalam mengupas isu-isu yang menjadi keprihatinan setempat dan global menerusi dialog yang diadakan sempena sesi perkongsian tersebut.
Gambar: Eva Adriana/BERITA Mediacorp
Platform Nadi Kampus merupakan wadah sehenti BERITA Mediacorp, yang dikhususkan untuk golongan muda.

PLATFORM NADI KAMPUS 'RUANG SELAMAT' UNTUK SUARAKAN PENDAPAT

Nurul Najibah Musa, pelajar Politeknik Ngee Ann, adalah antara yang menyuarakan sokongan untuk platform tersebut dikembangkan lagi demi mendampingi lebih ramai belia.
"Pada pendapat saya, platform Nadi Kampus telah memberi saya peluang untuk berbual tentang pendapat saya tentang isu-isu yang sedang terjadi di luar sana. Platform Nadi Kampus adalah tempat yang selamat untuk saya berbual tentang isu-isu tersebut," ujarnya.

Seorang lagi peserta, Amirul Hakim, mahasiswa Universiti Malaya bahkan, menganggap platform tersebut sebagai "ampuh" untuk para belia tempatan "menonjolkan, menayangkan seluas mana sayap yang telah ditebar daripada usaha para belia di Singapura sama ada di luar atau di dalam negara", selain "meraih manfaat daripada kisah-kisah yang dikongsikan melalui wadah Nadi Kampus".
Bagi Norazim Azami, siswa Universiti Nasional Singapura (NUS) yang sedang melanjutkan pengajiannya ke peringkat sarjana, beliau menjangkakan platform tersebut berpotensi memacu "usaha (supaya) membentuk sebuah generasi yang lebih 'berani', menjadi generasi yang lebih kritis dan berkongsi ilmu antara satu sama lain yang boleh dimanfaatkan demi kemaslahatan bersama."
ALU-ALUKAN RAMAI LAGI BELIA REBUT PELUANG MANFAATKAN NADI KAMPUS

Ditanya sama ada sesi perkongsian itu berhasil menepati sasarannya, wartawan kanan BERITA Mediacorp yang juga Ketua Projek Nadi Kampus, Nurulkhasanah Agost berbesar hati melihat respons para peserta yang begitu spontan dan bersemangat untuk berkongsi pandangan masing-masing.
"Ini satu perkara yang baik dan positif, yang mana dapat kami pertimbangkan cara yang lebih baik dan kreatif untuk mendekati golongan belia," tambahnya.

Berkongsi harapannya bagi platform Nadi Kampus seterusnya, beliau berkata: "Kami berharap para belia yang hadir hari ini dan juga belia-belia di luar sana -mereka akan rebut peluang untuk memanfaatkan platform Nadi Kampus ini menerusi sumbangan-sumbangan kreatif mereka."
Sumber : BERITA Mediacorp/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan