Skip to main content

Nadi Kampus

Belia diseru rebut peluang lakar Singapura yang diinginkan, perkukuh keharmonian berbilang masyarakat

Anggaran Waktu Membaca:
Belia diseru rebut peluang lakar Singapura yang diinginkan, perkukuh keharmonian berbilang masyarakat

(Gambar: Instagram/md.a2222)

SINGAPURA: Di tengah ketidaktentuan geopolitik dunia, golongan belia diseru agar melihat setiap cabaran sebagai peluang untuk terus membangunkan Singapura dan memperkukuh keharmonian masyarakat berbilang bangsa.

Berucap di majlis ulang tahun kelima pertubuhan sukarelawan MudaSG pada Sabtu (4 Apr), Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam Dr Faishal Ibrahim menekankan pentingnya belia melakar “cerita Singapura yang baharu”, sambil memanfaatkan kestabilan negara sebagai landasan untuk membuka lebih banyak peluang kepada masyarakat dan negara.

ANUGERAH MUDA IKTIRAF SUMBANGAN DAN KEPIMPINAN SUKARELA

Seruan itu disampaikan sempena penganjuran sulung Anugerah MUDA yang diperkenalkan bagi mengiktiraf sukarelawan yang secara konsisten menyumbang kepada masyarakat sepanjang lima tahun pertubuhan itu.

Anugerah utama MUDA diberikan kepada Muhammad Aqasha Bin Juhari yang selain aktif menyumbang kepada masyarakat, turut mempamerkan ciri-ciri kepimpinan yang boleh dicontohi.

Related article image
(Gambar: Aqil Ezat)

Encik Aqasha, 24 tahun, mula melibatkan diri bersama MudaSG sejak 2021.

Sebagai Naib Pengerusi pertubuhan tersebut, beliau turut memainkan peranan penting dalam program #TERAWIH4YOUTH selaku Ketua Projek.

Inisiatif tersebut bertujuan untuk mewujudkan ruang selamat, dinamik dan relevan bagi belia di masjid.

"Mereka menjadi lebih yakin dan mempunyai rasa pemilikan terhadap masjid. jadi ramai yang mula sedar bahawa mereka juga mempunyai peranan penting dalam institusi keagamaan," kongsi Encik Aqasha.

Beliau juga menggalakkan lebih ramai belia mengambil langkah kecil sebagai permulaan.

"Saya percaya setiap sumbangan kecil boleh membawa impak yang besar, yang penting adalah niat dan konsistensi," kata Encik Aqasha.

Enam lagi sukarelawan turut diberi pengiktirafan kerana menyerlah dari segi tanggungjawab melaksanakan tugas, keberanian untuk membawa perubahan, kreativiti dalam memperkenalkan idea-idea baharu, membina kerjasama kukuh antara sukarelawan dan menunjukkan sifat ihsan dalam melaksanakan tugas.

Menurut Pengasas Bersama dan Ketua Pegawai Eksekutif MudaSG, Sherlita Almeyra Sherhan, dedikasi para sukarelawan tersebut perlu dicontohi dan dihargai.

"Mereka akan datang pada hujung minggu mereka akan membuat perancangan perancangan untuk aktiviti aktiviti untuk komuniti sehingga lewat malam selepas sekolah. Dan pada saya ini merupakan satu perbuatan dan inisiatif daripada mereka yang sungguh bermakna dan sebenarnya tidak ramai belia yang mampu meluangkan begitu banyak masa bagi membantu masyarakat kita," kata Cik Sherlita.

"Pada pendapat saya ia sangat penting untuk kita betul mengiktiraf mereka dan ini juga menjadi satu motivasi supaya bukan sahaja mereka sendiri akan teruskan dengan kerja sukarelawan mereka tetapi mereka juga boleh menjadi sebuah inspirasi bagi mereka yang belum pernah cuba," tambahnya lagi.


MudaSG ialah sebuah pertubuhan yang diterajui belia dan dikendalikan sepenuhnya oleh sukarelawan. Ia bertujuan untuk memperkasa golongan belia melalui kerja-kerja sukarelawan, mendedahkan mereka kepada isu-isu sosial di lapangan serta menggalakkan mereka untuk memulakan projek kemasyarakatan bagi menangani isu-isu tersebut.

Pertubuhan itu mempunyai kira-kira 1,600 sukarelawan berdaftar yang berusia antara 16 hingga 25 tahun.

Lebih 50 projek masyarakat telah dijalankan sejak MudaSG ditubuhkan pada 2021. Ini termasuk membantu keluarga berpendapatan rendah, pekerja hijrahan, kanak-kanak berkeperluan khas serta kanak-kanak dari rumah kebajikan.

Sumber : BERITA Mediacorp/ae
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita