Belia berusia 21 tahun ini martabat warisan makanan Melayu menerusi bengkel, media sosial

Suria Insyirah Suparja mengendalikan sebuah bengkel pada 10 Mei di Muzium Nasional Singapura, di mana beliau mengajak para peserta mempelajari cara menyiapkan sajian Roti Jala dan Rojak. (Gambar: Syazwani Sanep/BERITA Mediacorp)
Mereka yang dapat melakukan itu pula akan menyedari betapa menyiapkan hidangan tradisional Melayu, mengikut resipi daripada nenek moyang mereka, bukan sekadar soal mengikut sukatan bahan dan cara memasak yang ditetapkan.
Makanan Melayu khususnya mencerminkan identiti, sejarah dan realiti kehidupan masyarakat pada suatu ketika dahulu.

Usaha ini dilakukan melalui inisiatif yang dinamakan Dapur Cahaya. Suria baru berusia 21 tahun!

Bengkel yang diatur mengupas tradisi makanan Melayu, dari seni penyediaan hingga nilai-nilai yang tersirat dalam setiap sajian tradisional air tangan orang Melayu.
"Semasa membesar, malangnya saya tidak berpeluang mengenali datuk dan nenek saya dengan lebih rapat," kongsi Suria, ketika ditemui BERITA Mediacorp.
"(Tapi) apabila saya memulakan Dapur Cahaya, usaha yang saya lakukan ini sering membuat saya teringat dengan datuk dan nenek saya. Banyak (kenangan) daripada makanan yang saya kongsi dengan semua peserta dan dengan orang ramai di luar sana."
TINGGALKAN BIDANG HOSPITALITI DEMI WARISAN MAKANAN MELAYU
Meskipun sudah masuk dapur sejak kecil lagi, bidang kulinari bukanlah impian yang awalnya diburu Suria.
Suria bahkan menceburi bidang hospitaliti semasa dalam peringkat posmenengah.
Namun semakin beliau cungkil kekayaan tradisi makanan Melayu dari dapurnya sendiri, timbul keinginan untuk mendalami warisan Melayu dalam bidang kulinari, seolah-olah ia sudah mengalir dalam sanubarinya.
Berbekalkan semangat yang membara, anak sulung daripada dua beradik ini mengambil langkah berani untuk membina platformnya, Dapur Cahaya.
Selain menganjurkan bengkel, Suria juga rajin mendokumentasikan setiap kajian dan perbualan dengan mereka yang berpengalaman dalam masyarakat melalui perkongsian menarik dan ringkas di media sosial.
Tanpa disangka-sangka, usahanya mendapat sambutan yang memberangsangkan daripada individu pelbagai latar belakang, termasuk mereka yang bukan Melayu.
SUASANA "BALIK KAMPUNG" TARIK MINAT ANAK MUDA MELAYU
Suria bagaimanapun mengakui bahawa menarik minat anak muda Melayu, khususnya terhadap tradisi makanan Melayu, bukanlah satu perkara yang mudah.
Pada masa yang sama, beliau menyedari betapa pentingnya anak muda seusianya memainkan peranan dalam memartabatkan warisan makanan Melayu - tidak kisahlah pendekatan yang diambil. Jika bukan mereka yang melakukannya, barangkali warisan tradisi makanan Melayu akan hilang ditelan zaman.
Untuk menarik minat anak muda Melayu, Suria berusaha menghidupkan suasana kampung dalam setiap kegiatan yang dianjurkan oleh Dapur Cahaya. Beliau sedar bahawa anak muda masa kini mudah 'terpancing' dengan suasana sebegitu.

Untuk mewujudkan suasana kampung, Suria memainkan lagu-lagu zaman P. Ramlee yang mengimbau nostalgia, di samping menyusun barangan antik dengan rapi di sekeliling ruang di mana para peserta mempelajari cara menyiapkan masakan air tangan nenek moyang mereka.
Suria juga pastikan para peserta mempelajari kekayaaan tradisi makanan Melayu, yang lebih daripada sekadar rasanya yang lazat, di tengah-tengah kesibukan menyiapkannya.
"Saya ingin mereka tahu tentang keindahan makanan tradisional Melayu. Saya ingin mereka tahu tentang nilai-nilai di sebalik makanan tradisional Melayu kita," jelas Suria.
"Ia mengambil masa yang sangat lama untuk menyediakan makanan kita kerana anda perlu melalui proses menumis. Kalau nak buat nasi lemak, anda perlu ada daun pisang, perlu belajar cara melipatnya dan ini memerlukan banyak kerja keras, semata-mata untuk menyajikan makanan," tambahnya lagi.
HARAPAN TERHADAP DAPUR CAHAYA
Ditanya apakah harapan beliau bagi platform Dapur Cahaya, ini luahan Suria...
"Sebagai usaha yang kecil, dalam apa jua yang saya lakukan untuk masyarakat saya, saya berharap ia dapat mendekatkan mereka kepada asal usul, budaya kita supaya mereka banggalah dengan identiti sebagai anak Melayu."
Suria menamam hasrat untuk melanjutkan pengajian dalam bidang kulinari dalam waktu terdekat, tanpa mengabaikan Dapur Cahaya.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.