Skip to main content

Nadi Kampus

Belia anggap kemahiran insani lebih penting daripada kepakaran teknikal

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 25 Nov 2025 07:43PM Dikemas Kini : 12 Dec 2025 04:08AM
SINGAPURA: Lebih ramai belia tempatan berpendapat bahawa kemahiran insani seperti komunikasi dan kemahiran hubungan sesama manusia merupakan sesuatu yang diperlukan untuk berjaya di tempat kerja.

Malah, ia lebih penting berbanding kepakaran teknikal seperti dalam bidang kecerdasan buatan (AI) atau kecelikan digital.

Ini menurut dapatan satu tinjauan baharu melibatkan seribu orang belia.

Namun, bagi pemerhati industri, kemahiran teknikal tersebut penting untuk membantu belia mula menggunakan alat digital yang baharu supaya dapat bersiap sedia untuk dunia yang dipacu AI.

Seorang pelajar, Durai Manickam Nizanth, meluangkan banyak masa membantu belia lain membina kemahiran baharu dan memadankannya kepada pekerjaan.

Beliau percaya kemahiran insani seperti komunikasi baik dan keupayaan menyesuaikan diri dapat menjadikan seseorang lebih menonjol di tempat kerja.

"Dalam pasaran kerja hari ini, ia tidak begitu baik untuk menjadi pakar dalam satu arena. Anda perlu menjadi lebih rencam dan bersedia untuk peluang berbeza. Kita tidak tahu bagaimanakah cabaran memberi kesan kepada keadaan global hari ini," kata beliau.

Diumumkan dalam satu forum belia, tinjauan itu juga mendapati bahawa hanya suku daripada responden menganggap AI sebagai satu kemahiran penting untuk berjaya di tempat kerja.

Ini sama taraf dengan sifat-sifat seperti kepimpinan dan pengurusan kakitangan.

Ada juga yang berpendapat bahawa para belia perlu mula menggunakan AI bagi tujuan yang baik memandangkan teknologi itu semakin penting dalam kebanyakan sektor.

"Terdapat banyak bahan sumber di luar sana, contohnya kit peralatan atau PDF yang sangat panjang. Namun belia umumnya tidak mempunyai masa untuk membaca semua bahan ini.

"Tetapi apa yang kami boleh bantu adalah untuk menyediakan platform di mana mereka boleh mencari bimbingan atau 'mentorship' bila-bila masa yang mereka perlukan," kata seorang lagi pelajar, Shermaine Kuah.

Menurut satu syarikat, para belia bertanggungjawab keluar daripada zon selesa mereka.

Manakala institusi dan mentor pula perlu membimbing mereka untuk mengharungi masa depan dalam pekerjaan.

"Saya benar-benar mendorong belia untuk bereksperimen, untuk melibatkan diri dalam sistem ini. Sekolah juga perlu ada pengalaman imersif supaya orang ramai boleh fikirkan tentang bagaimana anda boleh gunakan AI untuk menyelesaikan masalah," kata rakan kongsi KPMG, Lee Sze Yeng.

Belia yang ditinjau juga inginkan lebih banyak bimbingan dari segi perancangan kerjaya dan kewangan misalnya.

Ini bagi memastikan mereka mendapat sokongan yang sewajarnya ketika melangkah ke alam dunia yang sebenar.
Sumber : CNA/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita