Skip to main content

Iklan

Iklan

Nadi Kampus

Bekas pelajar Madrasah Al-Ma'arif ini antara lulusan NYP terbaik kohortnya; mahu jadi pengarah seni

Anggaran Waktu Membaca:
Bekas pelajar Madrasah Al-Ma'arif ini antara lulusan NYP terbaik kohortnya; mahu jadi pengarah seni

Gambar: Harissa Qistina Suwandi

BERITAmediacorp: Tiga tahun lalu, Harissa Qistina Suwandi bertungkus-lumus melakukan kajian bagi memastikan beliau membuat keputusan yang tepat untuk menyertai kursus Diploma Rekaan Grafik Bergerak di Politeknik Nanyang (NYP).

Berkat kesungguhan gadis berusia 20 tahun ini untuk mengambil laluan yang jarang diambil rakan seperjuangannya dari madrasah, ia ternyata berbaloi.

Bekas pelajar Madrasah Al-Ma'arif Al-Islamiah itu baru-baru ini menamatkan pengajiannya di NYP dengan keputusan yang cemerlang sekali gus muncul sebagai antara graduan terbaik bagi kohortnya.

Gambar: Harissa Qistina Suwandi
“Saya fikir meskipun saya tidak dapat menyumbang kembali dari segi ilmiah seperti rakan-rakan saya yang menceburi bidang akademik mahupun ukhrawi, saya barangkali mampu menyumbang kembali dari segi penyampaian ilmiah,” kongsi Harissa kepada BERITAmediacorp.

Beliau menarik perhatian bahawa beliau jarang melihat mana-mana lulusan madrasah sebelum ini yang mengambil laluan serupa dengannya.

Sungguhpun demikian, beliau tidak gentar untuk mengejar impiannya menceburi bidang seni grafik itu.

MINAT DALAM SENI REKAAN GRAFIK PUTIK SEJAK KECIL LAGI

Harissa sudah berjinak-jinak dalam bidang seni ilustrasi serta grafik bergerak sejak kecil lagi.

Beliau bahkan mempelajari kemahiran asas bidang tersebut dengan hanya menonton video di YouTube atau meneroka sofwe ilustrasi pada masa lapangnya.
Gambar: Harissa Qistina Suwandi
Dengan sokongan daripada ibu bapa serta gurunya di madrasah yang menyedari potensinya dalam bidang seni itu, beliau mengambil inisiatif untuk membina rangkaian dengan mentor di dalam bidang tersebut supaya mendapat bimbingan bagi portfolionya untuk memasuki kursus pilihan di NYP menerusi Pendaftaran Kemasukan Awal (EAE).

RINTANGAN DITEMPUHI SEMASA PENGAJIAN

Harissa bagaimanapun mengakui bahawa ia sukar untuk menyesuaikan diri dengan beban kerja tugasan kursusnya, memandangkan terdapat keperluan untuk memenuhi permintaan klien projek serta keterbatasan tempoh projek yang ditetapkan.

Di samping itu, beliau juga perlu memantau tahap kesihatan serta tekanannya dengan teliti memandangkan beliau sedang bergelut dengan penyakit kencing manis jenis 1, yang dideritainya sejak usia 8 tahun.

Tahap kesihatan yang tidak menentu pernah menjejas teruk dirinya sewaktu di Tahun 2 disebabkan kurang upaya untuk mengimbangi tuntutan tugasan di sekolah serta tanggungjawabnya kepada keluarga.

“Pada satu ketika di Tahun 2, semasa salah satu daripada pembentangan mingguan untuk klien kami, saya berasa pening dan seolah-olah ingin pengsan. Mujur rakan-rakan serta pensyarah saya ternampak keadaan saya ketika itu. Mereka menasihati saya untuk mendapatkan rehat secukupnya sebelum saya sambung menyelesaikan tugasan saya,” ujar Harissa.

Beliau bersyukur dikelilingi pensyarah serta rakan-rakan sekelas yang memahami dan sering memberi dorongan.
Gambar: Harissa Qistina Suwandi
HARGAI PELUANG UNTUK MENGASAH BAKAT

Harissa tidak menjadikan rintangan yang perlu dihadapi sebagai hambatan untuk melangkah keluar dari zon keselesaan demi memperkasa bakatnya dalam bidang yang diceburi.

Semasa pengajiannya, beliau menerajui sebuah pasukan pelajar sebagai pengarah seni dalam membentuk konsep seni pemasangan bagi Pesta Light to Night sempena Minggu Seni Singapura tahun lalu. Hasil kerja Harissa serta pasukannya dipancarkan di bangunan ikonik Singapura, The Art House.
Gambar: Harissa Qistina Suwandi
Selain itu, beliau juga berkesempatan menyumbang hasil kerja bagi projek tahun terakhirnya di segmen penutup acara persembahan Perbarisan Hari Kebangsaan (NDP) 2022 menerusi pertunjukan grafik LED, sekalipun mempunyai hanya dua bulan untuk menghasilkannya.
Gambar: Harissa Qistina Suwandi
“Menyaksikan pameran grafik tersebut sewaktu sesi-sesi latihan dan raptai NDP memberikan kepuasan kepada saya, terutama sekali kerana ia merupakan hasil kerjasama antara saya dan pasukan saya. Menyaksikan bagaimana orang ramai menikmati pelbagai halwa deria daripada seni grafik kami, meyakinkan lagi saya mengenai minat saya ini,” ungkap Harissa.

Menanam azam untuk menjadi seorang pengarah seni, Harissa menzahirkan hasrat untuk melanjutkan pengajiannya di luar negara dalam bidang pengiklanan grafik kelak.
Sumber : BERITA Mediacorp/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan