Baru berusia 19 tahun, tiga sekawan ini buka kedai makan, dua syarikat media
SINGAPURA: Usia muda bukan penghalang bagi tiga belia, Muhammad Qusyairi, Hanz Haiqyl dan Mohamad Irfan untuk menyerlahkan semangat keusahawanan mereka.
Baru berusia 19 tahun, mereka sudah memiliki dua syarikat media dan baru-baru ini membuka sebuah kedai makan menjual makanan barat.
Malah perniagaan pertama mereka tubuhkan bersama adalah sewaktu pada usia mereka 16 tahun.
Syarikat media The Brindin' yang ditubuhkan pada 2022 lebih menumpukan kepada penerbitan video-video korporat, acara dan muzik video.
Bagi memulakan perniagaan itu, mereka mendapat sokongan daripada keluarga yang banyak mendorong mereka.
"Tastify ialah cabang Brindin’ yang menghasilkan video media sosial bersaiz ringkas untuk jenama yang ingin mengembangkan jangkauan digital mereka merentasi pelbagai platform media sosial, " jelas pengasas bersama syarikat itu, Hanz Haiqyl kepada wartawan Syafeera Sofian.
TAK MAHU SIA-SIAKAN USIA MUDA
Di samping tidak mahu mensia-siakan usia muda mereka untuk merealisasikan impian dan menyahut cabaran serta semangat keusahawanan, banyak juga pengorbanan yang perlu mereka lakukan.
"Sejak kami menengah tiga, kami memang tidak banyak 'lepak' dengan kawan kita. Ada juga, tetapi sedikit sahaja. Saya rasa ia lebih baik kita mula awal seperti sekarang ini di mana kami masih bersekolah dan ada sokongan keluarga daripada nanti ketika sudah 20 atau 30 tahun lebih dan kami bersendirian dan tidak ada masa untuk cuba melakukan sesuatu yang baharu," kata Hanz Haiqyl.
Tiga penuntut diploma di Politeknik Temasek dan Kolej Seni Lasalle itu juga perlu bijak mengimbangi masa dengan pelajaran mereka.
"Kadang-kadang ada juga rasa sedih ketika melihat rakan-rakan yang lain pergi melancong dan sebagainya tetapi kalau nak jadi usahawan yang maju dan membuat ibu bapa bangga, kita harus lalui perjalanan ini dahulu dan insya-Allah satu hari dengan perniagaan ini kita juga dapat melancong seperti kita lihat rakan-rakan kita," tambah Qusyairi.
BUKA KEDAI MAKAN PULA
Pada November 2025, mereka mengambil langkah berani untuk terjun ke dalam sektor Makanan dan Minuman (F&B) pula.
Idea membuka 'Berjaya Western' tercetus dengan cara tak sengaja.
"Selepas kami baru habis menyunting video klien di kawasan Yishun ini dan kami mahu makan tengah hari, kami sedar tak banyak pilihan makanan halal. Banyak kedai mamak, kedai Melayu tapi tidak ada kedai makanan barat untuk dapat perhatian orang muda macam kami," kongsi Qusyairi.
Dengan ilmu yang dituntut sewaktu sekolah menengah menerusi subjek Sains Makanan dan Nutrisi serta bimbingan daripada seorang cef hotel yang pernah menjadi klien The Brindin', ia memberi mereka keyakinan untuk memulakan perniagaan ketiga mereka.
HARGA "MESRA PELAJAR"
Selain untuk memenuhi citarasa orang muda, kedai makan ini juga boleh dianggap "mesra pelajar" kerana harganya yang berpatutan.
Bagi tambahan protein pula, pelanggan boleh menambah S$2 bagi udang atau S$3.50 untuk ayam.
"Konsep untuk membuka kedai ni adalah kami mahu pastikan makanan kami semua berharga rendah untuk semua orang. Kami juga pelajar jadi kami cuba meletak harga yang dekat dengan apa yang kami mampu bayar sebagai pelajar. Kebetulan juga kedai ini kosong jadi mengapa tidak kami ambil kesempatan ini untuk cuba melakukan sesuatu yang baharu," kata Irfan.
Meskipun agak bimbang dengan ketidakstabilan pasaran bagi sektor F&B, mereka yakin dengan strategi yang diatur dan berkat sokongan orang sekeliling.
"Perasaan bimbang itu semestinya terasa. Di Singapura ini banyak kes-kes kedai makanan banyak tutup. Sebab kita ada banyak berkenalan orang dalam bidang F&B ini, kami rasa lebih yakin hidangkan makanan yang sedap dengan taktik pemasaran yang bagus. Banyak (juga) sokongan daripada rakan-rakan dan keluarga, " jelas Hanz Haiqyl.
Memandang ke hadapan, mereka merancang untuk meluaskan lagi perniagaan dan membuka lagi satu cawangan Berjaya Western.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.