Skip to main content

Iklan

Iklan

Nadi Kampus

Bangunan bersejarah penjajahan British, sumber ilham penuntut SP cabar imaginasi, sorot kehidupan sekitar Moberly

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Mendapat ilham daripada sebuah mercu tanda bersejarah ketika tempoh penjajahan British yang masih bertapak dalam pekarangan Politeknik Singapura (SP), pementasan “Kisah Moberly” menyingkap kisah tiga sosok daripada latar belakang yang berbeza, yang dipercayai pernah bersua seketika di bangunan Moberly tersebut.

Antara watak yang bakal diselami dalam pementasan “Kisah Moberly” termasuk seorang ibu yang menghadapi cabaran getir untuk membina semula kehidupannya, sekalipun masih meratapi kehilangan orang-orang yang tersayang semasa Perang Dunia Kedua dan seorang pelajar yang menuntut sekitar tahun 2010, yang sedang berusaha untuk memperkasa dirinya dan mencari jati dirinya.

Melibatkan seramai kira-kira 89 penuntut SP dari pelbagai jurusan, pementasan tersebut lebih daripada sekadar persembahan seni lakonan sahaja. Ia bakal turut mengadunkan persembahan dikir barat dan tarian.
Penuntut SP melakukan persiapan bagi persembahan dikir barat di pementasan "Kisah Moberly". (Gambar: SPMLS)
Pementasan itu adalah sebahagian daripada SP Arts Fiesta, sebuah inisiatif yang diadakan setiap tahun sejak 2011 di institusi tersebut, sebagai wadah untuk menonjolkan aneka bakat penuntut SP dalam tarian, muzik dan teater. Ini merupakan tahun kelapan penglibatan SPMLS dalam Arts Fiesta.
Penuntut SP melakukan persiapan bagi persembahan dikir barat mereka di pementasan "Kisah Moberly". (Gambar: SPMLS)
Daripada penulisan serta pengarahan naskhah skrip kepada rekaan kostum dan lakonan, pementasan “Kisah Moberly” dikaryakan sepenuhnya oleh penuntut SP daripada Persatuan Bahasa Melayu Politeknik Singapura (SPMLS).
Naskhah tersebut dihasilkan selepas latihan selama dua bulan dijalani pelajar SP tersebut.

Ditanya bagaimana watak tersebut dilakarkan, Presiden SPMLS, Nur Hannis Rizal berkongsi: “Watak-watak itu bukan dipilih, sebaliknya dicipta dan dieksperimentasi. Artis-artis muda ini menggunakan bangunan itu untuk menyuarakan rasa ingin tahu mereka dan cuba membayangkan kehidupan di sekitar bangunan Moberly dalam era yang berbeza, sehingga rupa bentuk Moberly pada hari ini.”

Berdiri megah di satu sudut di kampus SP di Dover Road, bangunan Moberly itu merupakan antara bekas peninggalan sejarah semasa tempoh penjajahan British yang masih boleh didapati di pekarangan kampus tersebut.

Kampus SP itu didirikan di atas bekas tapak Berek Princess Mary, yang menempatkan askar British dan Malaya dari tahun 1951 sehingga awal 1970-an tahun.

“Watak ini mempamerkan pengalaman generasi yang berbeza dan cabaran, sekali gus memupuk hubungan yang lebih mendalam kepada tema ketabahan, penerokaan diri dan anjakan budaya yang membentuk identiti individu dari masa ke masa,” jelas penuntut Diploma Optometri Tahun 3 itu, kepada BERITA Mediacorp.

Semua tiket bagi tiga pementasan sudah pun habis ditempah, meskipun pihak penganjur telah menambah bilangan tiket bagi memenuhi permintaan tinggi daripada khalayak umum.

Hannis meluahkan rasa besar hatinya terhadap sambutan di luar jangkaan, bagi pementasan tersebut.

“Kami sangat berterima kasih atas sokongan hebat yang diberikan dan tidak sabar untuk mengongsi pengalaman ini bersama mereka yang hadir!” kongsinya dengan nada syukur.

Pementasan "Kisah Moberly" berlangsung pada Jumaat (8 Nov) dan Sabtu (9 Nov) di Blok Moberly di SP.
Sumber : BERITA Mediacorp/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan