Skip to main content

Nadi Kampus

Aqil Fitri sanggup tinggalkan kerjaya sebagai jururawat demi kesihatan mental, ceburi teater muzikal

Anggaran Waktu Membaca:
Aqil Fitri sanggup tinggalkan kerjaya sebagai jururawat demi kesihatan mental, ceburi teater muzikal

Aqil Fitri dalam persembahan teater 'Top Me Up' pada 2024. (Gambar: LASALLE)

SINGAPURA: Perjalanan menuju kejayaan berbeza bagi setiap individu. Ada yang lebih selesa memilih laluan dianggap 'konvensional' kerana bimbang akan turun naik ekonomi. Ada pula lebih terdorong untuk mengorak langkah 'berani'.

 

Aqil Fitri misalnya memilih untuk meninggalkan kerjayanya sebagai jururawat dan kembali ke sekolah untuk memulakan perjalanannya sebagai anak seni.

 

Pada Ogos nanti, pada usia 28 tahun, pemegang diploma kejururawatan dari Politeknik Ngee Ann itu bakal menggengam Ijazah Sarjana Muda (Kepujian) dalam Teater Muzikal dari LASALLE.

 

TUNTUTAN KERJA JURURAWAT TERLALU 'BERAT'

 

“Pada mulanya, saya berminat dalam bidang kejururawatan kerana ingin menjaga arwah nenek saya,” cerita Aqil yang mempunyai empat orang adik.

 

Selepas menamatkan pengajian dalam Diploma Kejururawatan di Politeknik Ngee Ann pada tahun 2018, Aqil menjalani perkhidmatan negara sebelum memulakan kerjayanya sebagai jururawat pada tahun 2020.

  


 
Aqil Fitri bersama rakan-rakan sekolah pada Hari Graduasinya pada tahun 2018 di Politeknik Ngee Ann. (Gambar: Aqil Fitri)

Namun, sebaik sahaja beliau melangkah ke alam pekerjaan dalam bidang jagaan kesihatan, pandemik COVID-19 melanda Singapura. Ketika itu, beliau ditugaskan menjaga pesakit COVID-19 di sebuah pusat jagaan kesihatan di Tuas.

 

"Kesihatan mental saya amat terjejas dan ini membuat saya memutuskan untuk membuat sesuatu yang menggembirakan saya," luah belia itu.

 

"Keluarga dan rakan-rakan saya terkejut kerana saya membuat keputusan tanpa berbincang dengan sesiapa tetapi mereka menyokong saya dalam perjalanan saya menjadi seorang penghibur."

Aqil Fitri bersama ibu dan adiknya selepas persembahan. (Gambar: Aqil Fitri)

Aqil selanjutnya mendedahkan bahawa minatnya dalam bidang seni mula berputik ketika masih lagi seorang pelajar Darjah 6 di Sekolah Rendah Concord.

 

"Saya mengikuti pertunjukan bakat di sekolah rendah dan mewakili kelas saya untuk membuat persembahan nyanyian," ujar Aqil.

 

TULIS MUZIKAL, AJAK BELIA LAIN BURU MINAT

 

Aqil memulakan pengajiannya dalam jurusan Teater Muzikal di LASALLE sebagai pelajar seni pada tahun 2022. Sepanjang tempoh tiga tahun, beliau mengasah kemahirannya dalam pementasan teater seperti menguasai teknik lakonan, nyanyian dan tarian.

 

Pelajar jurusan ini juga didedahkan kepada kemahiran menulis skrip dan menggubah lagu sendiri.

 

"Pada mulanya saya bimbang jika tak dapat berjaya sebagai seorang penghibur di Singapura. Tetapi selepas mengenali beberapa orang di dalam industri seni di Singapura, saya percaya akan kerja keras dan semangat yang mampu cipta pelbagai peluang untuk mereka sendiri," kata Aqil kepada kru Nadi Kampus.



 
Persembahan terakhir Aqil Fitri, 'Ride The Cyclone' pada April lalu. (Gambar: LASALLE)

Bagi Aqil sendiri, beliau sudah menyiapkan satu pementasan muzikal berlatarkan sambutan Hari Raya, bagi tesis tahun akhir pengajiannya di LASALLE.

 

Penulisan itu antara perkara yang melayakkan beliau memperoleh Ijazah Sarjana Muda (Kepujian) dalam Teater Muzikal pada Ogos ini. Namun, ijazah tersebut bukanlah garis penamat buat Aqil. Jika boleh, Aqil berharap dapat mementaskan muzikal yang ditulisnya pada suatu hari nanti.

 

Apa pun, Aqil sama sekali tidak menyesali keputusannya untuk meninggalkan kerjayanya dan 'terjun' ke dalam bidang yang diminati.

 

"Saya menyokong belia yang ada cita-cita untuk menjadi seorang penghibur atau yang dalam pekerjaan yang tidak membahagiakan bagi mereka untuk mengejar perkara yang menggembirakan mereka," nasihat anak seni itu kepada belia lain.



 
Sumber : BERITA Mediacorp/SF
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita