Anak pengasas Asyura Paste buka dua gerai nasi campur pada usia 22 tahun
Aryna Ramlan, 22 tahun, membuka cawangan Selemak Pagi di Hougang dan Canberra. (Gambar: Afiqah Hussain/BERITA Mediacorp)
SINGAPURA: Pada usia 22 tahun, Aryna Ramlan boleh dikatakan sudah melangkah jauh ke dunia keusahawanan.
Baru Ogos lalu, beliau membuka gerai nasi campur di Canberra. Kurang dua bulan kemudian, beliau membuka satu lagi cawangan di Hougang pula. Kedua-dua gerai diuruskan di bawah jenama 'Selemak Pagi'.
Aryna sebenarnya anak kepada pemilik Asyura Pte Ltd, Cik Norhuda Rabani, yang perencahnya begitu popular dan sudah bertahan dalam pasaran selama lebih 20 tahun.
"Dari kecil lagi saya sudah biasa melihat ibu saya di dapur menyediakan pelbagai juadah dan makanan Melayu," cerita Aryna apabila ditanya apa yang mendorongnya untuk membuka gerai nasi campur.
"Dari situ, niat untuk membuka kedai mula menjadi lebih serius. Saya belajar tentang perniagaan makanan - daripada menu, kos, sehinggalah aspek kewangan."
Apa yang lebih menarik, Aryna turut menjadikan produk keluaran keluarganya sendiri - Asyura Paste - sebagai asas dalam penyediaan hidangan di kedainya. Lauk seperti kuah lemak dan rendang di Selemak Pagi dimasak menggunakan perencah ibunya.
HIDANGAN DISESUAIKAN UNTUK CITARASA BUKAN MELAYU JUGA
Sekalipun Selemak Pagi menyajikan lauk-pauk yang disiapkan menggunakan perencah Asyura Paste, Aryna menjelaskan bahawa hidangan yang disajikan semuanya disesuaikan agar dapat juga memenuhi selera pelanggan bukan Melayu.
Selemak Pagi dimulakan hasil kerjasamanya dengan seorang rakan niaga yang sudah cukup berpengalaman dalam industri perkhidmatan. Mereka memutuskan untuk menyasarkan tidak sahaja pelanggan Melayu, tetapi bukan Melayu.
Antara penyesuaian yang dilakukan termasuk memastikan beberapa hidangan tertentu 'tidak terlalu pedas'.
"Terus terang, memang sangat mencabar. Kita ada pelanggan bukan Melayu dengan selera berbeza, dan pelanggan Melayu pula ada cita rasa tersendiri," ujar Aryna tentang pendekatan yang diambil dalam perniagaan ini.
Beliau kemudian mengulas tentang beberapa komen kurang menyenangkan di akaun media sosial Selemak Pagi.
"Dengan adanya media sosial, kita tidak boleh kawal apa yang dikatakan tentang makanan kami. Biasanya komen yang kami terima adalah tentang makanan kami yang tidak menepati cita rasa mereka dan juga tentang pilihan hidangan yang terhad," kata Aryna kepada kru Nadi Kampus.
Belia ini bagaimanapun tekad untuk tidak berputus asa dan menganggap semua komen negatif yang diterima sebagai satu maklum balas untuknya melakukan lebih baik lagi.
"Saya juga baru dalam industri ini. Ada banyak lagi untuk saya pelajari. Tapi yang paling penting untuk saya adalah untuk cekalkan hati dan untuk mempunyai pemikiran yang terbukalah. Saya tidak akan menyerah dan fokus pada matlamat yang telah kami tetapkan," tambah Aryna.
Lulusan Sistem Maklumat Perniagaan ini bagaimanapun memberi jaminan Selemak Pagi mencuba sedaya upaya untuk mengekalkan rasa lauk-pauk Melayu.
KEISTIMEWAAN KONSEP SELEMAK PAGI, RANCANGAN TAMBAH CAWANGAN
Semasa kru Nadi Kampus ke cawangan Selemak Pagi di Hougang, kami mendapati gerai Aryna menawarkan hidangan set seperti set lemak ikan tenggiri, set rendang daging dan set sambal udang. Harga setiap set sudah ditetapkan.
"Kami mahu memudahkan pelanggan untuk memilih makanan. Dengan hidangan set, pelanggan dapat putuskan lebih cepat tentang apa yang mahu dipesan," jelas Aryna.
Pelanggan juga boleh menambah hidangan sampingan seperti bergedil dan sayur-sayuran, dengan harga yang turut dipamerkan di kaunter.
Apa pun, Aryna sudahpun melakar strategi untuk membuka lebih banyak cawangan Selemak Pagi.
Sebagai contoh, beliau sudahpun mencari cara untuk mengemas kini proses menyiapkan hidangan-hidangan Selemak Pagi, di samping menetapkan Prosedur Operasi Standard (SOP) bagi sekitar enam kakitangannya buat masa ini.
"Menyediakan lauk-pauk Melayu ini memang bukan senang kerana ia memerlukan ramai tenaga kerja dan juga memerlukan banyak persediaan.
"Jadi untuk mengatasi isu ini, kami menggunakan ketuhar kombinasi, rempah sedia ada seperti Asyura Paste dan juga bahan-bahan yang sudah disediakan di dapur pusat kami," terang Aryna.
SOP yang diatur pula dipastikan "mudah diikuti" agar operasi harian dapat berjalan lancar, apatah lagi apabila lebih banyak cawangan baharu dibuka kelak.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.