Skip to main content

Nadi Kampus

Ammar Nizar teruskan perjuangan arwah ayah di Free Food for All

Anggaran Waktu Membaca:
Ammar Nizar teruskan perjuangan arwah ayah di Free Food for All

Ammar Nizar bersama maskot Free Food For All.

New: You can now listen to articles.

This audio is generated by an AI tool.

Diterbitkan : 03 Jul 2025 08:44PM Dikemas Kini : 25 Jul 2025 05:50PM

SINGAPURA: Siapa yang tidak kenal Free Food For All (FFFA). Badan amal itu aktif mengagihkan makanan kepada golongan memerlukan sejak lebih 10 tahun lalu. 

Bahkan, FFFA masih aktif menjalankan misinya, menyediakan makanan secara percuma kepada golongan kurang bernasib baik tidak kira bangsa atau agama, sekalipun pengasasnya,  Nizar Mohamed Shariff meninggal dunia pada 31 Oktober 2023. Orang yang bertanggungjawab memastikan FFFA dapat meneruskan perjuangan Almarhum ialah Ammar Nizar, anak bongsu Almarhum, yang baru berusia 23 tahun. 

Dalam temu bual bersama Nadi Kampus, Ammar sebak mengenang kembali masanya bersama arwah. Almarhum Nizar disifatkan bukan sahaja sebagai seorang bapa, tetapi juga guru dan suri teladan yang telah mengajar erti sebenar 'memberi tanpa mengharapkan balasan'.

Ammar kini sedang menjalani Perkhidmatan Negara (NS) dan pada masa yang sama, mengikuti program sarjana muda dalam jurusan undang-undang di Universiti Birmingham City. 

Related article image
Ammar (kiri) bersama arwah ayahnya sewaktu kecil. (Gambar: Ammar Nizar)

"Arwah ayah saya suka bantu orang. Dari kecil lagi saya perasan, bila kita keluar makan, dia akan beri duit kepada mereka yang susah,” kongsi Ammar dengan nada sebak.

Belia itu juga berkongsi tentang detik-detik manis bersama ayahnya, seperti ketika dibenarkan ponteng kelas tadika untuk sebaliknya 'belajar' bersama ayahnya yang turut dipanggil 'Big Bear School of Life'.

"Dia selalu berkata... 'Ini benda yang sekolah tak ajar. Tapi kalau baring sebelah ayah, Ammar akan belajar semuanya'," ceritanya lagi. 

PEMERGIAN MENGEJUTKAN

Almarhum Nizar Mohamed Shariff menghembuskan nafas terakhirnya pada 31 Oktober 2023. Ketika itu Almarhum berusia 53 tahun dan Ammar baru sahaja bekerja sepenuh masa di FFFA selama sebulan setengah. Pemergian ayahnya itu satu kehilangan besar bukan hanya buat keluarga, tetapi juga ribuan penerima bantuan makanan FFFA. 

“Saya masih dalam fasa belajar daripada ayah. Dia selalu cakap satu hari nanti saya akan ambil alih. Tapi bila dia pergi, semuanya berlaku terlalu cepat. Tak sempat saya nak tanya semua soalan, tak sempat belajar semuanya,” kongsi Ammar.

Related article image
Ammar (empat dari kanan) bersama ayahnya ketika beliau baru sahaja mulakan libatkan diri di Free Food for All. (Gambar: Ammar Nizar)

Meskipun dalam keadaan duka yang mendalam, Ammar dan abangnya, Dr Ahmad Nizar, kini Pengerusi Lembaga FFFA, dengan segera memikul tanggungjawab, memastikan kebajikan penerima bantuan FFFA tidak terabai.

“Waktu tu kami belum sempat betul-betul bersedih. FFFA jadi saluran kami untuk hadapi kehilangan tu,” kata Ammar.

Bersama abang dan pasukan FFFA, Ammar meneruskan misi yang ditinggalkan arwah bapanya. Antara prinsip yang terus dipegang ialah “What Would Daddy Do?” (Apa yang akan ayah buat?),  frasa yang kini menjadi rujukan tetap setiap kali perlu membuat keputusan penting.

“Kadang-kala bila duduk berbincang, kami cuba bayangkan kalau arwah ada, apa yang akan dia buat? Dia sangat terbuka dengan emosi. Jadi kami rasa kami faham sangat dan jelas cara dia berfikir,” ujar Ammar.

USAHA BAHARU AMMAR

Kenangan paling menyentuh hati buat Ammar adalah kunjungan pertamanya ke Blok 162 Yishun selepas pemergian ayahnya. “Saya takut sebenarnya. Takut orang fikir saya cuma ‘tunjuk muka’. Tapi ramai penerima datang, ucap takziah dan beri sokongan. Baru saya sedar ayah saya bukan saja bapa kepada kami, tapi bapa kepada mereka juga.”

Related article image
Ammar (paling kanan) bersama pasukan Free Food for All. (Gambar: Ammar Nizar)

Kini, Ammar bukan sekadar mahu mengisi kekosongan yang ditinggalkan arwah ayahnya. Beliau sebaliknya mahu memperluaskan lagi impian ayahnya. 

“Dengan misi ayah, kami bukan sahaja fokus pada makanan, tetapi juga pembangunan diri penerima bantuan,” katanya.

Antara inisiatif terbaharu adalah program 'Kids Luv It'. Dari sekadar mengagihkan pek makanan, ia kini merangkumi juga kegiatan lawatan ke tempat-tempat seperti Pulau Sakijang Bendera (St John's)  dan Muzium Negara. Matlamatnya adalah untuk menyuntik keyakinan kepada kanak-kanak daripada keluarga berpendapatan rendah.

“Kami tidak mahu mereka rasa tersisih. Walaupun mereka datang dari keluarga susah, mereka tetap layak merasa keindahan hidup, macam kanak-kanak lain,” kata Ammar.

Walaupun kadangkala rasa terbeban atau letih, Ammar akur ini adalah penat yang ‘baik’. “Saya penat kerana buat benda yang beri makna dan saya sanggup lakukannya. Ayah selalu kata, Tuhan isi poketnya supaya dia boleh kongsi rezeki. Saya harap saya boleh jadi macam itu juga.”

Kini, fokusnya termasuk memperkukuh struktur kewangan FFFA, mengembangkan pilihan makanan yang lebih berkhasiat, dan meneroka program kesihatan mental dan latihan pekerjaan untuk penerima bantuan.

Sumber : BERITA Mediacorp/FT/ft
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita