Skip to main content

Iklan

Iklan

Nadi Kampus

Alami disleksia tapi Nuryanee Anisah dapat masuk NUS, sudah punya perusahaan sosial yang bantu lebih 70 suri rumah

Anggaran Waktu Membaca:
Alami disleksia tapi Nuryanee Anisah dapat masuk NUS, sudah punya perusahaan sosial yang bantu lebih 70 suri rumah

Nuryanee Anisah mengalami disleksia tetapi ia tidak dibenarkan menjadi satu hambatan buatnya. (Gambar: Afiqah Hussain/BERITA Mediacorp)

SINGAPURA: Waktu dalam Darjah 2, Nuryanee Anisah, tidak dapat membezakan abjad 'P' daripada 'D' mahupun 'Q' daripada 'Y'.

Ada juga nombor yang sukar untuk beliau kenal pasti, menyukarkan lagi usahanya untuk memahami konsep semudah '2 kali 2'.

"Skor saya bagi Matematik hanya satu angka. 7/100. Ia benar-benar menjejas saya. Yanee sedih kerana terkejar-kejar dalam pembelajaran walaupun Yanee mencuba untuk mengulang kaji dan tanya Cikgu dalam kelas," cerita belia berusia 24 tahun itu yang mesra disapa sebagai Yanee.

Pada ketika itulah ibunya mula mengesyaki Yanee mengalami disleksia. Cabaran yang dihadapi Yanee persis kesukaran yang dilalui anak sulung beliau yang terdahulu sudah didiagnos mengalami masalah pembelajaran itu.
Nuryanee bersama abangnya.
Jangkaannya ternyata benar.

Namun ini tidak bermakna semuanya berakhir bagi Yanee.

Lebih 15 tahun kemudian, Yanee mendapat tempat dalam Universiti Nasional Singapura (NUS) untuk menceburi bidang pentadbiran perniagaan.

Bukan itu sahaja. Pada usia semuda 24 tahun, Yanee sudah mempunyai perusahaan sosial sendiri yang dipanggil Commenhers.

Syarikat itu mengupaya lebih 70 suri rumah untuk menjana pendapatan. Ia bahkan dilanggani syarikat-syarikat besar seperti H&M dan Decathlon.
Ini perjalanan Yanee, dari saat didiagnos dengan disleksia sehinggalah dapat mencapai pelbagai pencapaian luar biasa...

HADIR KELAS TAMBAHAN LEPAS SEKOLAH

Yanee, yang juga merupakan anak penyanyi kumpulan Nuradee, akur beliau pernah terfikir: "Wah kenapa Yanee ada kesukaran ini?"

Pun begitu, anak muda itu mencuba sedaya upaya untuk berfikiran positif.

"Saya memasuki kelas DAS (Persatuan Disleksia Singapura). Jadi ia sebagai satu kelas tambahan yang Yanee harus sertai selepas waktu sekolah," cerita Yanee.

"Jadi di dalam DAS, Yanee menggunakan kad fonik di mana cikgu akan tunjuk abjad, vokal dan perkataan-perkataan berbeza untuk Yanee fahamkan. Semua ini membantu memperbaiki pembacaan dan penulisan Yanee," tambah beliau.
Nuryanee bersama rakan-rakan sekolah.
Selepas mengikuti DAS, Yanee mula yakin bahawa dirinya dapat mencapai kecemerlangan akademik asalkan beliau mencuba, kerja keras dan tidak putus asa.

Prinsip ini beliau pegang sehinggalah dapat masuk universiti.

"Jangan rasa sedih kalau dikritik 'lembab' kerana semua itu dapat membuat kita lebih kuat dan mendorong kita mencari erti sebenar (kehidupan).

"Jangan juga rasa malu untuk katakan anda alami disleksia kerana ia bukan satu penyakit. Anda cuma perlu masa untuk mekar," nasihat Yanee yang akui sehingga sekarang beliau memerlukan masa untuk menghadam apa yang diajarkan di dalam kelas.

MULAKAN PERNIAGAAN DENGAN S$0

Yanee percaya sesiapa yang mengalami disleksia pasti ada bakat tersendiri.

Bagi Yanee sendiri, beliau suka melakukan sesuatu yang memerlukan daya kreativiti seperti seni dan kraf tangan.
Siapa sangka, minatnya itu juga beliau dapat kembangkan menjadi satu perniagaan - semasa beliau masih lagi menuntut di politeknik.

"Masa tu COVID-19 melanda dan Yanee sedang menonton BERITA di Suria. Ada laporan yang menyatakan kedai-kedai 'thrift' perlu buang pakaian mereka yang sudah berkulat disebabkan ramai tidak boleh membeli pakaian itu semasa 'circuit breaker'. Jadi Yanee rasa sayangnya (dibuang begitu sahaja)," kongsi bekas pelajar Politeknik Singapura itu.

"Tekstil-tekstil ini akan dibuang dan menambah kepada jumlah sisa yang sudah ada di Singapura. Jadi saya katakan, mengapa tidak kita gunakan tekstil itu untuk menghasilkan sesuatu yang baharu lalu menjualnya, sekaligus melanjutkan lagi kesan fesyen mampan," ujar Yanee lagi yang pernah menjalani kursus menjahit.

Itulah titik permulaan Commenhers yang diusahakan bersama rakan-rakan lain.

"Commenhers benar-benar bermula daripada S$0. Kami ambil apa yang ada dan menggunakan bahan-bahan itu dengan sebaik-baiknya. Kami juga mempelajari bagaimana untuk mendapatkan dana menerusi geran atau pelabur, mahupun menerusi pertandingan," tambahnya.
Beg-beg yang dihasilkan daripada sisa tekstil Decathlon. (Gambar: Commenhers)
Pada dasarnya Commenhers menjual produk seperti beg tangan dan pakaian yang dihasilkan daripada sisa tekstil. Perusahaan itu juga mengendalikan bengkel buat syarikat-syarikat besar seperti H&M, Decathlon, HSBC dan Gain City.

COMMENHERS JUGA BANTU SURI RUMAH JANA PENDAPATAN

Selepas tamat pengajian politkenik, Yanee mula mempunyai masa lapang dan lantas dapat memikirkan bagaimana beliau boleh mengembangkan lagi perniagaannya.

"Dalam pembelajaran keusahawanan, kita diajar tentang perlunya memikirkan tentang skala, daya maju dan kebolehlaksanaan perniagaan. Yanee persoalkan tentang skala perniagaan. Jika Yanee mahu mewujudkan kesan lebih besar, bagaimana Yanee boleh kembangkan lagi perniagaan itu?" terang beliau.

Semasa di politeknik, Yanee pernah bekerjasama dengan lapan suri rumah, warga emas dan tukang jahit tempatan.

Ini menjadi pencetus idea untuk mengembangkan perniagaan.
Nuryanee dengan sekumpulan tukang jahit menyiapkan apron daripada sisa tekstil.
"Jadi Yanee rasa jika Yanee mahu mengembangkangkan lagi perniagaan - mengitar semula lebih banyak tekstil dan memperkasa lagi masyarakat - Yanee perlu berusaha lebih keras bagi kedua-dua aspek itu. Ia sama seperti memikirkan tentang bekalan dan permintaan," jelas anak bongsu dua beradik itu.

Sisa tekstil diperolehi daripada syarikat-syarikat, termasuk Decathlon, sementara peluang pekerjaan disediakan kepada lebih ramai suri rumah.

Setakat ini, Yanee memberitahu BERITA Mediacorp bahawa Commenhers sudah berjaya mendapatkan geran berjumlah kira-kira S$70,000 daripada beberapa pertubuhan termasuk NUS Enterprise.
Perusahaan sosial itu juga mendapat dua ruang menjahit dan 73 tukang jahit daripada rakan-rakan masyarakat.

"Pada tahun lalu, kami mengitar semula 1,500kg sisa tekstil. Intinya saya juga ada melihat pada pendapatan kami, ia sedang naik, tapi saya juga meneliti kesan sosial oleh Commenhers juga," kata CEO Commenhers itu.

TIDAK KESAL HIDAP DISLEKSIA

Mengimbas kembali perjalanannya dari sebagai seorang pelajar sekolah rendah sehinggalah kini 'tauke' perusahaan fesyen, Yanee bersyukur kerana dikelilingi ramai orang yang terus menyuntik inspirasi kepadanya.

"Saya rasa persekitaran seseorang itu penting. Jika anda bertemu dengan mereka yang menjadi sumber inspirasi, secara semula jadi anda akan menjadi baik seperti mereka dari segi pengetahuan mereka. Kesan dan pengaruhnya ketara," cerita Yanee.

Anak muda itu juga tidak menyesali dirinya, sebagai seorang pelajar disleksia, "diuji dari waktu kecil" dan bahkan menganggapnya sebagai satu perangsang.

"(Ia) merangsang saya untuk berusaha lebih keras agar sebarang kesukaran lain yang saya hadapi selain disleksia, saya tahu saya kuat dan ia membantu saya menghadapi semua (cabaran). Ia boleh dikatakan membina semangat saya untuk terus kuat," kata Yanee.

Beliau juga menitipkan nasihat buat para pembaca Nadi Kampus:

"Untuk pelajar-pelajar disleksia, jangan rasa sedih. Anda harus yakin yang anda boleh mencapai apa yang diinginkan kerana sebagai seorang pelajar disleksia, kami cuma perlukan masa yang sedikit lagi."
Nuryanee bersama bapanya.
Apa yang pasti juga, Nuryanee Anisah sudah menjadi contoh, di mana tekad luar biasa berupaya membawa sesiapa sahaja ke menara gading.
Sumber : BERITA Mediacorp/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan