Skip to main content

Nadi Kampus

Aiman Lim pecah rekod boling SG, tanam impian jadi juara dunia pula

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Minat dalam sukan boling mula berputik sejak Aiman Raedyn Lim Jen pertama kali mewakili sekolahnya dalam pertandingan boling.

Beliau juga mengharumkan nama sekolahnya, Sekolah Katolik Hai Sing dengan kemenangan.

Kini, kapten pasukan lelaki Politeknik Temasek itu mewakili negara pula di dalam dan luar negara.

Namun, boling bukan sukan pilihan pertamanya.

DARIPADA BOLA SEPAK, KINI JUARA BOLING

Aiman, 19 tahun, merupakan bekas pemain Akademi Bola sepak F17 sebelum beralih tumpuan kepada sukan baharu di sekolah menengah.

"Sekolah saya tidak menawarkan bola sepak sebagai kegiatan ko-korikular (CCA). Jadi saya sertai boling," kongsi Aiman.

"Jurulatih saya berkata saya mempunyai banyak potensi, jadi saya berhenti main bola sepak dan memberi tumpuan kepada boling," tambahnya.
(Gambar: Facebook/Temasek Polytechnic)
Kerja keras dan dedikasinya membuahkan hasil selepas digelar naib juara di Kejohanan Terbuka Antarabangsa Singapura tahun lalu.

Pada ketika itu, beliau berdepan saingan daripada para pemain boling terbaik dunia.

"Saya dianugerahkan Biasiswa Peter Lim - Yayasan Olimpik Singapura disebabkan persembahan saya tahun lepas," kata Aiman.
(Gambar: Instagram/aiman_bowling)
PINGAT EMAS PERTAMA SG SEJAK 1999

Pada Ogos lalu, Aiman menunjukkan prestasi lebih baik di Kejohanan Boling Sepuluh Pin Belia Asia yang dianjurkan di Kuala Lumpur, Malaysia.

Beliau merangkul pingat emas dalam kategori perseorangan lelaki yang juga merupakan pingat emas pertama Singapura dalam kategori tersebut sejak 1999.

"Saya amat gembira kerana sudah lama Singapura tidak menang pingat emas. Saya bangga untuk menyarung jersi Singapura," kata Aiman.

Beliau berjaya mengalahkan peserta lain dari Korea Selatan, Malaysia dan Qatar.

Menurut Aiman, kemenangan tersebut memberi pengiktirafan kepada sukan boling tempatan.

"Kemenangan ini memberi kami pengiktirafan, walaupun sukan ini tidak sebesar sukan lain, kami mempunyai pemain boling yang hebat juga. Ini menunjukkan bahawa kami juga boleh jadi atlet terbaik dunia," jelas Aiman.
(Gambar: Instagram/aiman_bowling)
IMPIAN JADI JUARA DUNIA

Selepas lima tahun bersama pasukan negara, Aiman kini menetapkan sasaran untuk menjadi juara dunia pula.

"Impian saya sama seperti atlet lain, untuk jadi juara dunia", tegas Aiman.

Namun, beliau akur impiannya akan tercapai hanya dengan kerja keras.

"Saya mempunyai impian, saya akan bekerja keras untuk capai impian itu, sehingga saya menang baru saya akan berhenti. Saya tahu saya perlu bekerja keras. Bila menang, mungkin kita boleh membawa pengiktirafan untuk Singapura", kata Aiman.

Seterusnya, Aiman bakal bertanding di Kejohanan Nasional Belia pula pada November ini serta mewakili Politeknik Temasek di Pertandingan POL-ITE, yang disertai para penuntut politeknik dan Institut Pendidikan Teknikal (ITE).
Sumber : BERITA Mediacorp/ae
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita