Adakah pelajar SG mendapat masa rehat secukupnya semasa cuti sekolah?
SINGAPURA: Semasa cuti sekolah bulan Jun baru-baru ini, ia bukan sesuatu yang menyeronokkan bagi pelajar Menengah 3 Chua Lee-Ann.
Dia mempunyai latihan matematik, lembaran kerja kimia, karangan bahasa Cina dan kerja rumah online untuk disiapkan.
"Saya berasa tertekan (tentang) jumlah kerja rumah ini, kerana walaupun saya melancong ke luar negara, saya tetap bimbang sama ada saya mempunyai masa yang mencukupi untuk menyiapkan kerja rumah saya," katanya.
Keluarganya berada jauh dari Singapura selama kira-kira satu setengah minggu semasa cuti bulan Jun, dan Lee-Ann tidak dapat menyelesaikan beberapa tugasan sekolah.
"Guru saya agak marah kerana saya mempunyai masa sebulan untuk melakukannya," katanya.
Pelajar Maktab Rendah Katolik Chloe Wong, 17 tahun, masih teringat bagaimana dia tergesa-gesa untuk menyelesaikan banyak kerja rumah seminggu sebelum sekolah bermula ketika dia di sekolah menengah.
Tahun ini, dia tidak mendapat apa-apa kerja rumah semasa cuti sekolah. Malangnya, peperiksaan pertengahan tahunnya akan berlangsung sejurus selepas cuti sekolah berakhir.
"Cuti sekolah sepatutnya untuk saya berehat tetapi ada peperiksaan yang perlu saya hadapi sebaik saya kembali ke sekolah, jadi saya semakin tertekan," katanya.
Antara kelas-kelas tambahan, kerja rumah dan peperiksaan menjelang permulaan penggal baru, sejauh mana cuti sekolah adalah masa berehat untuk para pelajar di Singapura?
KENAPA CUTI SEKOLAH PENTING
Adalah mudah untuk memahami mengapa pelajar mahukan masa untuk bermain dan berseronok, tetapi para pakar menjelaskan bahawa mempunyai masa rehat yang baik sebenarnya penting untuk kanak-kanak dan remaja.
“Cuti sekolah memainkan peranan penting dalam mengimbangi pendidikan kanak-kanak dan perkembangan peribadi,” kata Cik Tan Su-Lynn, ahli psikologi pendidikan kanan di Promises Healthcare.
Dr Gregory Arief D Liem, seorang profesor bersekutu di Institut Pendidikan Nasional (NIE), berkata mewujudkan "jarak psikologi" daripada tugas rutin boleh membantu pembangunan perspektif baru dan lebih positif. Bagi pelajar, masa berehat boleh meningkatkan motivasi mereka.
"Apabila kita berfikir bahawa kita sebagai orang dewasa - yang sepatutnya lebih mengawal diri dalam menguruskan tekanan dan menjaga kesejahteraan kita - perlu bercuti untuk berehat, demi mencergaskan semula dan memulihkan tenaga, kita boleh bayangkan betapa pentingnya cuti sekolah untuk kanak-kanak dan belia kita,” kata Dr Liem, yang merupakan ahli psikologi dan kumpulan akademik pembangunan kanak-kanak dan manusia NIE.
TIADA KERJA RUMAH KETIKA CUTI SEKOLAH?
Para pakar yang diwawancara oleh Mediacorp berkata ia tidak semudah mengisytiharkan kerja rumah dan ulang kaji dilarang semasa cuti sekolah.
"Pendekatan ideal untuk kerja rumah semasa cuti sekolah harus mengambil kira keadaan dan keperluan khusus pelajar," kata Cik Tan, ahli psikologi pendidikan.
Chloe, pelajar maktab rendah, berkata dia tidak menjangkakan cuti sekolah tanpa kerja rumah, malah tugasan yang diberikan boleh menjadi pendorong.
Sesetengah kerja rumah wajib mungkin telah membantunya lebih bersedia menghadapi peperiksaan yang perlu didudukinya pada permulaan penggal baru, katanya.
KERJA RUMAH TIDAK PRODUKTIF?
Kuantiti dan kualiti tugasan itu penting, kata Dr Liem dari NIE. Kualiti merujuk kepada matlamat tugasan dan cara ia sejajar dengan objektif pembelajaran, serta pengalaman pelajar - sama ada ia menarik dan dirasakan berguna.
"Kerja rumah yang terlalu banyak juga tidak bermanfaat kerana jumlah masa yang diluangkan oleh pelajar untuk kerja rumah akan mengambil alih masa yang mereka perlukan untuk berehat," katanya.
Guru sekolah menengah yang enggan namanya didedahkan juga berkata ulang kaji secara paksa boleh menjadi tidak produktif.
"Jika matlamat utama mereka adalah untuk menyelesaikan kerja mereka supaya guru mereka tidak memarahi mereka apabila sekolah dibuka semula, saya mempersoalkan sama ada membuat kerja rumah itu berguna.
PERANAN IBU BAPA
Sebagai sebahagian daripada usaha untuk mengalihkan penekanan daripada ujian dan keputusan akademik, Kementerian Pendidikan (MOE) secara bertahap-tahap menggugurkan peperiksaan pertengahan tahun untuk murid sekolah rendah dan pelajar sekolah menengah.
Mereka yang memasuki maktab rendah dan Institut Millennia mulai 2024 juga tidak perlu menduduki peperiksaan pertengahan tahun. MOE menyatakan ia memberi garis panduan mengenai penjadualan dan skop penilaian yang diberikan timbangan.
Encik Teo Wee Toon, bapa kepada Chee Hern dan Chee Le, berkata keluarganya pergi bercuti pada pertengahan tahun untuk berehat.
Sungguhpun demikian, beliau berpendapat bahawa empat minggu adalah masa rehat yang agak panjang dan menghabiskan masa itu menonton Netflix atau bermain juga tidak sihat.
KELONGGARAN UNTUK PELAJAR
Encik Teo, yang memiliki Pusat Pembelajaran Matematik Mavens, juga cuba memberikan kelonggaran kepada pelajarnya.
Semasa cuti sekolah, bukannya kelas biasa, pelajaran dipecahkan kepada tiga modul ulang kaji. Pelajar boleh memilih untuk menghadiri modul ini dalam sebarang susunan.
Mereka juga boleh memutuskan sama ada untuk menghadiri ketiga-tiga modul dalam masa seminggu atau membahagikannya kepada selama tiga minggu.
"(Ini) supaya mereka dapat menyesuaikan (pelajaran) sekitar percutian keluarga dan masa rehat mereka," kata Encik Teo, sambil menambah bahawa tiada kerja rumah diberikan semasa cuti sekolah.
Seorang guru sekolah menengah yang enggan namanya didedahkan berkata, beliau cuba tidak memberikan kerja rumah kepada pelajarnya atau mengatur pelajaran semasa cuti sekolah.
"Pelajar juga cenderung untuk tergesa-gesa menghabiskan kesemua kerja rumah mereka, jadi saya tidak nampak apa-apa manfaat daripada itu," katanya.
Kadangkala, beliau memberikan kerja rumah pilihan supaya pelajar boleh memilih sama ada untuk menyelesaikannya atau tidak.
“Bagi saya, tidak mengapa jika pelajar meluangkan, katakanlah, selama empat minggu penuh cuti bulan Jun untuk berehat dan melakukan aktiviti riadah bersama rakan dan keluarga. Jika mereka mahu memilih untuk menghabiskan masa belajar, itu sepatutnya menjadi pilihan mereka.”
BAGAIMANA UNTUK MENDAPATKAN MASA REHAT YANG SECUKUPNYA
Untuk membantu pelajar mempunyai keseimbangan yang baik antara masa rehat dan bermain, Dr Liem dari NIE berkata ibu bapa boleh mengajar anak-anak mereka "menyekat masa".
Ini mungkin menghabiskan satu jam yang bermutu untuk melakukan kerja rumah tanpa gangguan, sebelum beralih kepada sesuatu yang lebih menyeronokkan.
Aktiviti yang lebih menggembirakan boleh bertindak sebagai motivasi untuk menyelesaikan kerja rumah.
Cik Tan, ahli psikologi pendidikan, berkata pelajar harus mengekalkan jadual tidur yang konsisten. Senaman yang kerap atau aktiviti menenangkan seperti membaca dan mendengar muzik juga boleh meningkatkan mutu tidur.
Ibu bapa dan para pendidik juga boleh memainkan peranan dengan menunjukkan teladan yang baik, kata Cik Tan.
"Dengan menunjukkan tabiat rehat yang sihat dan mengutamakan kesejahteraan mereka sendiri, mereka menunjukkan contoh yang positif kepada pelajar mereka."
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.