Skip to main content

Nadi Kampus

Abdul Wahab Abdullah: Pembuat songkok terakhir Singapura teguh kekalkan warisan di tengah arus pemodenan

Anggaran Waktu Membaca:
Abdul Wahab Abdullah: Pembuat songkok terakhir Singapura teguh kekalkan warisan di tengah arus pemodenan

Abdul Wahab Abdullah antara segelintir pembuat songkok di Singapura dan masih terus menghasilkan songkok buatan khas untuk pelanggannya. (Gambar: MHC)

Pengenalan

Dalam pelbagai acara dan majlis budaya Melayu, songkok kekal sebagai elemen penting dalam pakaian tradisional lelaki. Ada yang berpandangan bahawa warisan budaya Melayu ini mempunyai jejak sejarah yang berpunca dari zaman Uthmaniyyah. Songkok tradisional ini lazimnya diperbuat daripada baldu hitam, kain felt, atau dalam rekaan berwarna-warni. Walaupun kini songkok siap pakai mudah dibeli di pasaran, penting untuk kita menghargai ketelitian dalam proses pembuatannya.

Abdul Wahab Abdullah, 65 tahun, merupakan antara segelintir pembuat songkok yang masih tinggal di Singapura dan masih terus menghasilkan songkok buatan khas untuk para pelanggannya. Pengalaman seumur hidup Abdul Wahab dalam dunia pembuatan songkok sarat dengan kenangan dan sejarah bersama bapanya, Abdullah Samad. Bapanya yang berhijrah dari Indonesia ke Singapura juga merupakan seorang pembuat songkok, dan telah menanamkan rasa cinta terhadap seni pembuatan songkok kepada anaknya.

Permulaan Perjalanan Songkok
Abdul Wahab Abdullah berjaya menghasilkan songkok pertamanya pada usia semuda 11 tahun, selepas 4 tahun mempelajari seni itu. (Gambar: MHC)
Abdullah Samad pernah bekerja sebagai penarik beca dari tahun 1948 hingga 1970. Pada tahun 1967, beliau mengambil langkah berani untuk membuka sebuah kedai di Pasar Geylang Serai yang lama. Namun, untuk menampung kenaikan kos sewa, beliau terpaksa menjual becanya. Maka, beliau memilih gambar beca sebagai logo jenama songkok buatan tangannya bagi melambangkan usaha dan dedikasinya dalam merealisasikan impian memiliki sebuah kedai. Sebagai penghormatan kepada bapanya, Abdul Wahab masih menggunakan imej beca itu untuk penjenamaan kedai ayahnya itu dan menamakannya ‘Songkok Beca’ yang kita kenali hari ini.

Abdul Wahab mula membantu di kedai bapanya pada usia 7 tahun dan mula mempelajari selok-belok bidang ini. Dorongannya untuk belajar seni pembuatan songkok tercetus daripada semangat dan kesungguhan bapanya terhadap kraf ini. Ketika itu terdetik dalam fikirannya tentang siapa yang akan menyambung legasi bapanya apabila bapanya sudah tiada nanti. Sejak saat itu, Abdul Wahab menanam tekad untuk mewarisi dan memelihara seni kraf ini. Beliau belajar proses khusus membuat songkok termasuk kerja-kerja mengukur dan menjahit secara teliti. Setelah berlatih selama empat tahun, beliau berjaya menghasilkan songkok pertamanya pada usia 11 tahun.

Songkok sebagai Perhiasan Kepala

Ketelitian dalam membuat songkok memerlukan gabungan kemahiran, teknik dan perhatian yang terperinci. Setiap proses, daripada pemilihan bahan hinggalah jahitan terakhir menuntut ketepatan agar hasilnya kukuh dan menarik nilai estetiknya. Bagi Abdul Wahab, bahagian paling mencabar ialah memastikan jahitan kemas semasa mencantumkan bahagian atas dengan bahagian bawah (atau ‘badan’) songkok.
Abdul Wahab Abdullah kini meneruskan perniagaan pembuatan songkok ini dari sebuah gudang di Bedok. (Gambar: MHC)
Rekaan songkok harus disesuaikan dengan bentuk wajah pemakai. Bagi individu yang mempunyai saiz kepala dan tubuh yang kecil, ketinggian songkok tidak seharusnya melebihi 4 inci. Manakala mereka yang berwajah bulat lebih sesuai dengan songkok yang berukuran 4.5 inci atau lebih tinggi agar kelihatan seimbang dan elok dipandang.

Penyebar Budaya: Songkok untuk Masyarakat

Berdasarkan pengalamannya, Abdul Wahab menyatakan bahawa sejak kecil lagi beliau melihat songkok sebagai elemen penting dalam pakaian tradisional, khususnya semasa Hari Raya. Ia seolah-olah satu kewajipan untuk memakainya ketika meraikan hari yang bermakna itu. Tanpa songkok, pakaian tradisional baju Melayu dianggap tidak lengkap. Bagi ramai orang, pemakaian songkok ialah cerminan identiti budaya Melayu.

Dahulu Abdul Wahab mampu menghasilkan sekitar 2,000 songkok setahun di kedainya. Waktu paling sibuk ialah semasa bulan Ramadan apabila keluarga membuat pesanan untuk Hari Raya Aidilfitri. Ramai pelanggannya merupakan pelanggan tetap yang mewarisi hubungan dengan kedai sejak zaman bapanya. Sebagai satu-satunya pembuat songkok sepenuh masa di Singapura, Abdul Wahab memainkan peranan penting dalam memelihara kraf ini, memastikan komuniti terus dapat mengenakan songkok sebagai pelengkap busana tradisional.
Bagi Abdul Wahab Abdullah, bahagian paling mencabar ialah memastikan jahitan kemas semasa mencantumkan bahagian atas dengan bahagian bawah (atau ‘badan’) songkok. (Gambar: MHC)
Namun, dalam era moden hari ini dengan perubahan fesyen budaya moden, songkok kini kurang dihargai. Abdul Wahab mendapati bahawa tidak asing lagi untuk melihat lelaki Melayu berpakaian tradisional tanpa mengenakan songkok. Walaupun beliau mengakui terdapat perubahan tren dan cita rasa, ia tidak mematahkan semangatnya untuk terus menghasilkan songkok. Beliau yakin bahawa walau sejauh mana arus pemodenan kian pesat, songkok tetap mempunyai nilai tersendiri dalam kehidupan masyarakat Melayu dan tetap akan dipakai dalam majlis serta acara penting.

Abdul Wahab juga memahami keperluan masyarakat moden dalam aspek pemasaran songkok. Dua tahun lalu, selepas beberapa kali berpindah dari Pasar Geylang Serai ke Kompleks Tanjong Katong dan kemudian ke City Plaza, beliau kini meneruskan perniagaan dari sebuah gudang di Bedok. Bagi menjangkau khalayak lebih luas, beliau juga telah membawa perniagaan ke dalam talian dengan bantuan anaknya. Melalui laman Instagram ‘@songkokbecaworldwide’, perniagaannya kini telah berkembang ke peringkat antarabangsa.

Abdul Wahab menerima tempahan dari serata dunia, termasuk Jepun, Australia, Nigeria dan United Kingdom. Walaupun beliau tidak pasti siapa pelanggan antarabangsa itu, beliau sangat teruja apabila pelanggan-pelanggan ini sanggup membayar kos penghantaran yang mahal kadangkala melebihi harga songkok itu sendiri. Namun begitu, kebanyakan tempahannya masih datang daripada pelanggan tempatan, terdiri daripada pelanggan setia sejak dulu dan juga pelanggan baharu yang mengenali perniagaannya melalui media sosial.

Melestarikan Warisan Kraf yang Semakin Pupus

Tidak keterlaluan untuk mengiktiraf Abdul Wahab sebagai penjaga warisan songkok Singapura, memandangkan beliau satu-satunya tukang kraf dalam bidang ini yang masih aktif. Walaupun ramai yang memakai songkok, jumlah pembuat yang mahir adalah sangat sedikit. Abdul Wahab menyedari bahawa ramai tukang songkok veteran telah meninggal dunia tanpa sempat mewariskan kemahiran mereka kepada generasi baharu. Prihatin dengan keadaan ini, Abdul Wahab berharap agar anak-anaknya akan belajar daripadanya dan seterusnya mewarisi legasi ini. Walaupun beliau optimistik, Abdul Wahab tidak mahu memaksa atau meletakkan jangkaan terhadap anak-anaknya atau generasi muda untuk mengambil tanggungjawab ini.

Walau bagaimanapun, beliau sentiasa mendapat sokongan daripada isterinya dan tiga orang anak. Anak-anaknya sejak kecil lagi terlibat dalam membantu proses jahitan kecil dan menguruskan aspek dalam talian perniagaan. Antara mereka, anak bongsunya menunjukkan minat paling mendalam untuk mewarisi perniagaan ini, walaupun kini berkhidmat dalam pasukan polis.

Memandangkan kesihatannya masih baik, Abdul Wahab tidak berniat untuk bersara sepenuhnya daripada dunia pembuatan songkok. Beliau merasakan dirinya masih memikul tanggungjawab untuk berkhidmat kepada masyarakat dengan menghasilkan songkok berkualiti untuk mereka.

MENGENAI PENULIS

Amirul Hakim merupakan seorang mahasiswa jurusan Pengajian Melayu di Universiti Malaya. Beliau telah dilantik sebagai Sahabat Sastera 2023 oleh Majlis Bahasa Melayu Singapura (MBMS). Amirul juga bergiat aktif dalam bidang penulisan kreatif dan merupakan salah seorang ahli dalam kolektif penulis muda, Meja Conteng. Sebagai seorang yang gemar akan wacana kritis, Amirul telah berkecimpung dalam dunia perdebatan selama beberapa tahun. Kini, beliau cenderung mengkaji keilmuan yang mencakupi aspek sejarah, budaya, sastera Melayu.

Karya Amirul Hakim ditampilkan sebagai sebahagian daripada koleksi Sahabat Sastera dalam siri Perbualan Warisan Tidak Ternilai, kendalian Taman Warisan Melayu (MHC).
Sumber : BERITA Mediacorp/SS/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita