7 buku Melayu kanak-kanak dan remaja hasil karya penulis SG dilancarkan
Tujuh naskah buku kanak-kanak dan remaja hasil karya penulis Singapura dilancarkan di The Pod, Bangunan Perpustakaan Negara (NLB) pada 19 Julai 2025. (Gambar: Lembaga Perpustakaan Negara)
Buku-buku tersebut adalah hasil karya Peter Augustine Goh, Nazariah Nasir, A. Rahman Basrun, Abdolah Lamat dan Fadilah Abd Malik.
Buku-buku itu juga mewakili pelbagai genre dan gaya penulisan, termasuk 'haiku' tentang kura-kura hingga pengembaraan ke alam jin dan cerpen-cerpen yang menyayat hati.
Majlis anjuran Caliph Readers dengan kerjasama NLB ini turut diserikan dengan kehadiran tetamu kehormat Cik Som Said, iaitu penerima Anugerah Budaya dan pengasas Sri Warisan Som Said Performing Arts.
Antara buku yang dilancarkan termasuk Haikura oleh Fadilah Abd Malik, yang merupakan kumpulan puisi yang menggabungkan 'haiku' dengan gelagat kura-kura di Taman Tasik Jurong.
Buku Tajam Akal oleh Abdolah Lamat pula menghimpunkan peribahasa-peribahasa berirama untuk diikuti anak-anak kecil bagi memudahkan usaha pupuk nilai indah, menggalak penggunaan peribahasa serta memperkasa dan melestarikan bahasa Ibunda.
Buku Aliman di Alam Jin oleh A. Rahman Basrun pula mengisahkan pengembaraan Aliman ke dunia jin yang penuh misteri selepas satu kejadian aneh di bilik air sekolah.
Karya tulisan Nazariah Nasir, Mulianya Hatimu, Ayah menghimpunkan 11 cerpen menyentuh hati tentang kasih sayang seorang ayah dan juga sarat dengan emosi yang mengangkat nilai keprihatinan dan empati terhadap orang lain di sekeliling sosok itu.
Hasil karya Peter Augustine Goh, Lelaki Berwajah Dua, merupakan kisah berunsur keagamaan mengenai seorang lelaki bernama Johan, manakala Sebuah Ikrar Segenggam Sabar menghimpunkan 10 buah cerpen yang mengangkat pelbagai persoalan sejagat dan berunsurkan cinta dan kasih sayang, kemanusiaan dan pengorbanan.
Buku Pokok Rahmat Pengikat Persaudaraan, juga oleh Peter Augustine Goh, pula menceritakan tentang kisah menarik hati tiga sekawan yang memupuk nilai persahabatan dan keajaiban alam.
MAJLIS PELANCARAN RASMI
Majlis pagi tadi dihadiri sekitar 70 orang dan dimeriahkan dengan dua persembahan syair oleh Anis Qurratu`aini Azman, Sahabat Sastera, Majlis Bahasa Melayu Singapura dan Teman Warisan, Yayasan Warisan Melayu .
Penganjur Caliph Readers serta penulis-penulis tersebut turut berkongsi pengalaman dan cabaran serta kepuasan dalam menghasilkan buku-buku tersebut.
Pelancaran rasmi disempurnakan oleh Cik Som Said bersama para penulis dan penerbit, diikuti sesi bergambar dan penjualan buku.
Dalam ucapannya, Cik Som juga menarik perhatian kepada peranan golongan dewasa dalam menggalak penggunaan Bahasa Melayu dalam kalangan anak-anak demi terus memartabatkan bahasa Ibunda itu.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.