Skip to main content

Nadi Kampus

6 anak Melayu raih biasiswa jalani latihan ikut jejak bintang FC Barcelona

Seramai 90 pelajar menyertai sesi uji bakat untuk merebut biasiswa Akademi Barca Singapura yang buat julung-julung kalinya ditawarkan tetapi hanya lapan saja yang dipilih dengan enam daripadanya adalah anak Melayu. 

Anggaran Waktu Membaca:
6 anak Melayu raih biasiswa jalani latihan ikut jejak bintang FC Barcelona

Para pelatih semasa di Qingdao,China bagi Kejuaraan Akademi Barca China. (Gambar: @barcaacademysingapore/Instagram)

BERITAmediacorp: Walaupun baru berusia 11 tahun, Nur Muhammad Muhammad Fadly sudah bercita-cita besar.

Pelajar Sekolah Rendah Seng Kang Green itu menanam cita-cita bermain bola sepak secara profesional di Sepanyol dan mengikut jejak idolanya dari FC Barcelona.

Nur Muhammad Muhammad Fadly. (Gambar: FCBEscola Singapore/Facebook)

“Saya ingin menjadi pemain bola sepak yang terbaik, sama seperti Lionel Messi,” katanya semasa ditemui BERITAmediacorp di padang Sekolah Menengah St Patrick’s.

Sedang para pelajar lain meluangkan masa di rumah, pemain cilik ini gigih menjalani sesi latihan Akademi Barca Singapura sebanyak tiga kali seminggu.

Selepas sebulan lamanya menempuhi beberapa pusingan saringan yang bermula pada 14 Julai lalu, beliau akhirnya berjaya meraih biasiswa daripada akademi tersebut yang akan menampung kos latihan yang dianggarkan mencecah hampir $900 setiap penggal iaitu sepanjang dua bulan.

Sesi percubaan terbuka berlangsung selama sebulan. (Gambar: @barcaacademysg/Instagram)

Seramai 90 pelajar menyertai sesi uji bakat untuk merebut biasiswa yang buat julung-julung kalinya ditawarkan itu tetapi hanya lapan saja yang dipilih dengan enam daripadanya adalah anak Melayu. 

PELUANG BERAKSI DI SEPANYOL

Bernilai sehingga S$12,000 setiap satu, biasiswa tersebut dikhaskan buat para pelajar Skim Bantuan Kewangan (FAS) yang dilahirkan antara 2005 dengan 2009 untuk mengasah bakat di luar bidang akademik.

Sejak 1 Ogos lalu, para penerima biasiswa menjalani Program Latihan Lanjutan yang akan berlangsung selama setahun, bersama pelatih-pelatih terbaik dalam kategori usia mereka.

Sepanjang tempoh tersebut, mereka berpeluang mewakili Akademi Barca Singapura, iaitu satu-satunya Akademi Barca di Asia Tenggara, menentang para pemain daripada akademi-akademi kendalian FC Barcelona lain dari merata dunia.

Ini termasuk perlawanan-perlawanan di luar negara seperti Pertandingan Sekolah Bola Sepak Bangkok, Pertandingan Akademi Barca China dan Piala Gothia.

Rata-ratanya, yang menjadi buruan ramai pelatih adalah peluang untuk bermain dalam Pertandingan Antarabangsa Akademi Barca di Sepanyol sekitar April tahun depan.

“Saya rasa teruja kerana FC Barcelona adalah kelab yang besar di dunia. Saya gembira dapat masuk akademi ini … Saya mahu bermain di Barcelona di Sepanyol kelak,” luah Muhammad Adam Mohd Faisal, 11 tahun, pemain midfield dari Sekolah Rendah Wellington. 

Adam Mohd Faisal. (Gambar: FCBEscola Singapore/Facebook)

BERLATIH SEPERTI BINTANG FC BARCELONA 

Apabila ditanya tentang latihan yang dilaluinya sejauh ini, penerima biasiswa bagi pemain bawah 15 tahun, Dhamiri Zahid Imran pula berkata: “(Ia) Amat berbeza berbanding (latihan) sekolah saya kerana di sini kami bermain dengan pantas dan banyak berlari.”

Sememangnya latihan di Akademi Barca berlainan kerana anak didiknya dibimbing mengikut kaedah yang tersendiri.

Malah, kaedah yang sama digunakan untuk melatih bintang-bintang FC Barcelona termasuk Lionel Messi, Sergio Busquet, Andrés Iniesta dan Xavi Hernández ketika mereka masih dalam skuad pembangunan La Masia.

Bintang-bintang FC Barcelona. (Gambar: FCBEscola Singapore/Facebook)

Antara 2008 dengan 2012, para graduan La Masia dikatakan memainkan peranan besar dalam membantu FC Barcelona di bawah bimbingan Pep Guardiola, menjuarai 14 daripada 19 kejohanan yang ditandingi termasuk tiga piala La Liga, dua trofi Liga Juara-Juara UEFA dan 2 trofi Piala Raja Sepanyol (Copa del Rey).

Pada September 2013, kaedah tersebut diimport ke tanah air kita pula oleh Akademi Barca Singapura bagi melatih generasi pelapis bola sepak negara di bawah bimbingan Pengarah Teknikal Marc Reyes Custal. Beliau diterbangkan dari Sepanyol khas untuk memberi tunjuk ajar.

Pengarah Teknikal Marc Reyes Custal. 

“Bagi saya, kaedah itu adalah sesuatu yang meluas dan mendalam … yang utama adalah nilai-nilai kami. Ia berdasarkan nilai hormat-menghormati, berusaha gigih, rendah diri, berwawasan dan bekerjasama. Perkara kedua yang penting adalah falsafah permainan… falsafah ini membuat kami unik dan lain daripada yang lain,” ujar Marc Reyes Custal, 29 tahun.

KAEDAH LATIHAN BARCA 

Sepanjang lima tahun sejak ia ditubuhkan, Akademi Barca Singapura sudah berjaya melahirkan lebih 1,000 pelatih yang dibimbing menggunakan kaedah itu, yang turut disebut sebagai Kaedah Latihan Barca.

Namun, apakah yang membuat ia “lain daripada yang lain”?

Encik Shahrin Zainuddin, salah seorang jurulatih tempatan yang sudah dua tahun bersama akademi tersebut berkongsi kunci kejayaan akademi tersebut.

Encik Shahrin Zainuddin (baju biru) di sebuah sesi latihan. (Gambar: @barcaacademysg/Instagram)

“Pertama, kita membawa masuk Pengarah Teknikal khas dari Barcelona untuk mengajar para jurulatih di sini cara-cara dari Barca. Kedua, para pemain kita didedahkan kepada situasi dalam permainan yang berbeza. Ketiga, para pemain kita dilatih dengan cara yang dinamik – mereka diajar untuk menguasai perlawanan. Akhir sekali, kami mengajar pemain (untuk) menggunakan akal dengan menggalakkan mereka bertanya,” dedah jurulatih yang berusia 42 tahun itu.

Tambahan pula, antara ciri-ciri menarik yang ditawarkan akademi tersebut adalah latihan-latihan khusus bagi penjaga gawang.

Musim ini, sepasang adik-beradik, Aniq Matin Zulfadli, 11 tahun dan Audi Putra Zulfadli, 7 tahun, bertuah dapat menjalani latihan sedemikian selepas berjaya menerima biasiswa akademi itu.

“Bapa saya yang menggalakkan saya menjadi penjaga gawang kerana tidak ada ramai di dunia,” kata si abang yang berkata bahawa sebelum ini, mereka berdua terpaksa mencari latihan khusus bagi penjaga gawang di luar sekolah.

Apapun posisi mereka di padang bola sepak, Marc Reyes Custal berharap para penerima biasiswa Akademi Barca Singapura dapat memanfaatkan peluang keemasan yang diberikan ini untuk terus memperbaiki diri mereka.

“Bagi para pelajar yang terpilih, harapan saya adalah agar mereka dapat belajar dan terus belajar setiap masa. Selepas pengalaman ini, mereka pastinya akan menjadi insan yang lebih baik dan pemain yang lebih handal,” jamin beliau. 

Sumber : BERITA Mediacorp/sm
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita